Kopi S$0.50, jawatankuasa latihan syarikat antara usaha NTUC bantu pekerja
Para anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) boleh menikmati minuman kopi atau teh pada harga S$0.50 secawan pada bulan Mei ini.
Kedai NTUC Foodfare di Choa Chu Kang. (Gambar: Foodfare/Facebook)
SINGAPURA: Para anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) boleh menikmati minuman kopi atau teh pada harga S$0.50 secawan pada bulan Mei ini.
Tawaran itu disediakan setiap hari pada seluruh bulan Mei di lebih 90 pusat makanan dan kedai kopi NTUC FoodFare serta Kopitiam di sini.
Anggota-anggota kesatuan juga akan berpeluang untuk terus menikmati minuman panas pada harga diskaun tersebut setiap Rabu mulai Jun nanti. Tawaran itu adalah bagi tempoh selama setahun.
Berita baik itu juga bagi para anggota Generasi Perintis dan Generasi Merdeka. Mulai Julai ini hingga hujung Jun tahun depan, mereka boleh membeli secawan kopi atau teh pada harga S$0.50 setiap Rabu di kesemua cawangan NTUC Foodfare serta Kopitiam.
Inisiatif yang dijangka memanfaatkan lebih 1.7 rakyat Singapura diumumkan sebagai sebahagian daripada Amanat Hari Buruh NTUC pada Khamis (25 Apr).
Ia dilakukan di tengah-tengah langkah FairPrice untuk membantu meredakan keprihatinan terhadap kos sara hidup, seperti pembekuan harga bagi 100 produk jenama keluaran NTUC sehingga Jun tahun depan.
Set sarapan pada harga yang dimampui akan ditawarkan di 52 cawangan mulai Jun, naik daripada 25 cawangan sekarang. Set-set makanan yang meliputi secawan minuman panas, roti bakar dan dua telur separuh masak berharga S$1.80 bagi para anggota kesatuan NTUC manakala orang awam pula membayar S$2.20.
NTUC Foodfare juga sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah cawangan Rice Garden miliknya kepada 55 menjelang hujung tahun ini.
Buat masa ini, ia mempunyai 45 cawangan yang menawarkan hidangan nasi campur murah - sebahagian daripada program sosial untuk mendampingi masyarakat yang dibangunkan khusus buat golongan berpendapatan rendah.
BANTUAN LATIHAN BAGI PEKERJA
Selain meredakan keprihatinan utama, NTUC juga memikirkan tentang keperluan jangka panjang para pekerja di tengah-tengah gangguan yang pantas berlaku.
Maka itu, NTUC akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat untuk menubuhkan jawatankuasa latihan yang akan merancang serta melaksanakan program-program yang bertujuan membantu para pekerja meningkatkan kemahiran seiring dengan teknologi baru. Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng menjelaskan demikian kepada para wartawan semasa satu sesi berasingan.
Setakat ini, 18 syarikat - seperti SIA Engineering Company dan penyedia khidmat katering penerbangan SATS - sudahpun bekerjasama dengan NTUC untuk menubuhkan jawatankuasa latihan tersebut.
NTUC merancang untuk meningkatkan lagi bilangan itu dan menubuhkan jawatankuasa latihan dalam 1,000 syarikat merentasi kesemua enam kumpulan perancangan perubahan industri sepanjang tiga tahun akan datang. Ia dijangka memanfaatkan sekitar 330,000 pekerja.
Bagi melakukan demikian, NTUC akan mempunyai sekumpulan pakar latihan untuk bekerjasama dengan para pemimpin kesatuan dan pegawai-pegawai perhubungan industri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.