Skip to main content

Singapura

Koperasi perlu ada kewangan mampan untuk ahli, tujuan sosial, kata Menteri Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebagai sebuah perusahaan dengan misi sosial, koperasi mesti terlebih dahulu mempunyai kemampanan kewangan.

Ini mesti dicapai, bukan sebagai matlamat akhir semata-mata, tetapi untuk membolehkan perusahaan-perusahaan sosial berkhidmat dengan lebih baik kepada ahlinya dan tujuan sosial masing-masing dalam sekitaran ekonomi yang pantas berubah.

Demikian menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong dalam catatan di Facebook pada Ahad (5 Ogos), sebagai menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan akhir-akhir ini mengenai tawaran firma insurans Jerman, Allianz untuk membeli saham majoriti dalam Income Insurance.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menyelia tadbir urus dan fungsi koperasi.

"Ia merupakan sebahagian penting masyarakat penyayang dan inklusif yang ingin kita bina. Ia juga bertujuan meningkatkan kemampuan membeli dan ketersediaan barangan serta perkhidmatan kepada masyarakat kita serta membina semangat berdikari yang kukuh dalam masyarakat."

Beberapa soalan Parlimen telah dibangkitkan mengenai perjanjian yang dicadangkan antara Income dan Allianz itu, dan ia akan dijawab apabila Parlimen bersidang minggu ini, kata Encik Tong.
Tambahnya lagi, perkara tersebut sebelum ini dibangkitkan kepada Pejabat Pendaftaran Koperasi (RCS) di bawah MCCY.

RCS kemudian menasihatkan semua pihak bahawa perkara itu harus diselesaikan bersama oleh NTUC Income dan ahli-ahlinya.

"Apa yang penting adalah perlunya untuk bersikap telus tentang aturan yang dibuat dan membolehkan ahli Income memutuskan sama ada hendak meneruskan keputusan mengkorporatkan koperasi itu atau tidak.

"NTUC Income sudah melakukan demikian ketika itu, menerusi rundingan dengan ahlinya dalam beberapa mesyuarat. NTUC Income membuat beberapa pendedahan yang perlu kepada ahlinya dan diberikan peluang yang mencukupi untuk mendapatkan penjelasan mengenai tersebut," tambah Encik Tong.

Dari segi perspektif kawal selia, RCS berpuas hati bahawa proses-proses yang wajar sudah dijalankan dalam usaha tersebut, ujar Encik Tong.

"MCCY akan terus menyokong koperasi, untuk memperkukuh keupayaannya dan berkhidmat mengikut keperluan rakyat Singapura.

"Khususnya, Pemerintah menghargai misi sosial NTUC. Sepanjang beberapa tahun lalu, semua rakyat Singapura sudah melihat manfaat koperasi NTUC dalam mengawal harga makanan, insurans, rawatan pergigian dan khidmat jagaan kanak-kanak. Baru-baru ini, ia tampil memberi respons kepada keperluan-keperluan baharu seperti khidmat jagaan warga tua," menurut Encik Tong.

Encik Tong berharap NTUC meneruskan dengan misi sosialnya untuk meningkatkan kehidupan dan taraf hidup pekerja di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita