Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konvokesyen Youth aLIVE rai 511 graduan dari 36 pusat

Anggaran Waktu Membaca:
Konvokesyen Youth aLIVE rai 511 graduan dari 36 pusat

Muhammad Danish Hanafi diberi Anugerah Pelajar Terbaik bagi Zone 1. (Gambar: ILHAM/MUIS)

SINGAPURA: Seramai 511 belia dari program pendidikan agama Youth aLIVE diraikan dalam majlis konvokesyen yang diadakan pada Sabtu (23 Nov) di Sofitel Singapore City Centre.

Acara tahunan anjuran Hab Pembelajaran dan Pengurusan Islam (ILHAM) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu lebih istimewa tahun ini kerana buat julung-julung kalinya, ia melibatkan penyertaan daripada kesemua 36 pusat aLIVE di Singapura.

Majlis konvokesyen tersebut dibahagikan kepada dua sesi, dengan sesi pertama menghimpunkan graduan dari pusat-pusat di Zone 1, manakala sesi kedua pada sebelah petang pula khusus untuk graduan di Zone 2.

Zone 1 merangkumi 18 masjid, termasuk Masjid Al-Ansa, Masjid Al-Mawaddah, Masjid Hajjah Rahimahbi Kebun Limau, dan Masjid Salim Mattar.

Sementara itu, Zone 2 terdiri daripada 16 masjid, termasuk Masjid Ahmad Ibrahim, Masjid Assyafaah-Darul Makmur, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, serta Online Academy.

Format dwi-sesi itu menurut pihak penganjur bukan sahaja meningkatkan penglibatan lebih ramai orang tetapi juga menggariskan impak dan jangkauan program aLIVE yang semakin baik dalam masyarakat Islam Singapura.

Sijil dan anugerah disampaikan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Kadir Maideen dan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Khairul Anwar.

"Ramai daripada anda bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga mempertingkatkan diri sebagai pemimpin dan penyumbang aktif di masjid dan masyarakat anda. Sebahagian daripada anda menjadi sukarelawan dalam acara dan mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat.

"Ada yang berkhidmat sebagai imam, bilal, dan sukarelawan, mewujudkan kitaran pembelajaran dan menyumbang kembali kepada masyarakat. Anda sudah menjadi teladan, memberikan contoh untuk generasi akan datang dan menjiwai nilai aLIVE: asas rohani, tanggungjawab sosial dan komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat," kata Encik Kadir dalam ucapannya.

DANISH HANAFI PELAJAR TERBAIK ZONE 1

Muhammad Danish Hanafi, 18 tahun, dinobatkan sebagai pelajar terbaik untuk Zone 1.

Danish yang menyertai program aLIVE pada usia tujuh tahun kini menuntut di Maktab Rendah Victoria.

Sepanjang perjalanannya, beliau tidak hanya memperdalamkan ilmu agama, tetapi juga mengasah kemahiran dalam menangani isu-isu kontemporari dengan bijak.

Menurut Danish, program aLIVE memberikan platform untuknya berfikir secara kritikal dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat moden.

Penglibatan Danish dalam pelbagai projek komuniti aLIVE, seperti "Oceans of Joy," aLIVE Service Learning 2023, serta kutipan zakat pada 2023 dan 2024, telah membentuk nilai-nilai peribadinya.

Kemahiran yang diperolehnya daripada program aLIVE turut mengukuhkan minatnya untuk membantu masyarakat, mendorongnya untuk aktif dalam aktiviti sukarela.

Namun, Danish menegaskan bahawa pencapaian tersebut adalah hasil sokongan padu daripada ibu bapa, adik-beradik, dan mentornya.

Danish juga berharap untuk melanjutkan pelajarannya, menggabungkan ilmu agama dan sekular di masa depan.

QASRINA AIDA PELAJAR TERBAIK ZONE 2

Bagi Zone 2, Qasrina Aida Abdul Aziz, 18 tahun, dianugerahkan Anugerah Pelajar Terbaik.

Anugerah Pelajar Terbaik bagi Zone 2, Qasrina Aida Abdul Aziz. (Gambar: ILHAM/MUIS)
Qasrina, yang menyertai program aLIVE pada 2017 di Masjid Maarof ketika berusia 11 tahun, mengakui bahawa program tersebut bukan sahaja meningkatkan ilmu agamanya, tetapi juga mengajarnya nilai-nilai teras seperti kepimpinan, perkhidmatan masyarakat, dan belas kasihan.

Beliau juga menekankan pentingnya menyumbang kembali kepada masyarakat, dengan aktif melibatkan diri sebagai anggota Duta Belia Mukminin (MYA).

Qasrina berkongsi bahawa aLIVE telah membentuk cara beliau melihat dunia dan kehidupan, mengajarnya tentang kepentingan memberi kembali dan membina hubungan yang bermakna dengan orang di sekelilingnya.

ANUGERAH KECEMERLANGAN PUSAT DISAMPAIKAN DALAM ACARA SAMA

Selain Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Pusat turut disampaikan dalam majlis yang sama.
Masjid Al-Muttaqin salah satu penerima Anugerah Kecemerlangan Pusat. (Gambar: ILHAM/MUIS)
Anugerah itu mengiktiraf pusat aLIVE yang cemerlang dalam beberapa bidang utama, termasuk penglibatan guru, pembangunan pelajar, persekitaran pembelajaran yang kondusif, serta perkongsian dengan pihak berkepentingan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan