Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konvokesyen SUSS 2021: Hampir 80% graduan terima ijazah secara fizikal

Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) mengadakan 24 sesi majlis konvokesyen bagi kohort graduannya tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) mengadakan 24 sesi majlis konvokesyen bagi kohort graduannya tahun ini.

Jumlah itu lima kali ganda daripada biasa, bagi membolehkan lebih ramai graduan menghadiri acara itu secara fizikal dan tetap mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

77 peratus daripada sekitar 2,593 graduan menerima ijazah mereka secara fizikal dalam sesi majlis itu yang diadakan hingga 12 Oktober nanti.

JURULATIH BOLA SEPAK BURU IJAZAH UNTUK TINGKATKAN DIRI; UBAH PERSEPSI

Sepanjang 12 tahun menjadi jurulatih bola sepak bagi para pelajar dari sekolah rendah hingga maktab rendah, Encik Michael Adam mendapati bahawa masyarakat masih mempunyai persepsi yang negatif terhadap sukan itu.

(Gambar: Michael Adam)

Itulah yang mendorongnya untuk kembali ke sekolah pada usia 50-an tahun untuk mengambil Sarjana Muda dalam Sukan dan Pendidikan Jasmani secara separuh masa di SUSS bagi mengubah tanggapan tersebut.

"Jika dilihat anak-anak bermain bola, persepsinya ini (mereka) tidak bagus dalam bidang akademik kerana itu mereka bermain bola. Jadi pada saya anak-anak yang saya ajar di sekolah melihat saya seorang yang berumur masih bermain dan masih belajar. Dengan pengetahuan baru yang saya dapat daripada sekolah, ia membuat saya lebih efektif dalam mengajar bola sepak dan mengajar senaman kepada anak-anak muda," kata Encik Michael, yang mengambil sekitar tiga setengah tahun untuk menghabiskan kursusnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Namun, perjalanannya untuk menuntut di universiti bukanlah semudah yang disangkakan bagi bapa tiga orang anak ini.

Encik Michael yang sebelum itu sudah mendapatkan diploma di Politeknik Republik, cuba untuk memohon bagi kursus tersebut di SUSS namun permohonannya ditolak.

Beliau tidak berputus asa dan cuba sekali lagi dan akhirnya berjaya menempah tempat di universiti berautonomi termuda di Singapura.

"Masa terus berlalu jadi kalau saya tidak melengkapi diri saya dengan pengetahuan yang terbaru, saya akan terus menggunakan teknik-teknik lama yang mungkin tidak sesuai dengan waktu sekarang," ujar Encik Michael, yang turut mempunyai seorang anak yang mengambil kursus Sarjana dalam Psikologi di SUSS.

Antara modul yang menarik perhatian beliau adalah Pendidikan Jasmani yang Disesuaikan di mana beliau perlu mengalami sendiri bagaimana individu kurang upaya melakukan kegiatan sukan. Dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang sukan, modul tersebut memberinya kesedaran tentang perlunya untuk menjadikan sukan itu lebih inklusif.

Selain perlu bijak membahagikan masanya antara pelajaran, tugas dan keluarga, beliau pada mulanya kekok untuk berkomunikasi dengan para penuntut yang lain kerana perbezaan usia.

"Cara saya berinteraksi kerana rakan-rakan kursus saya semua muda, dalam 20-an dan awal 30-an. Jadi saya yang lebih 50-an ini macam pakcik-pakcik," kata Encik Michael sambil tertawa.

Pada Khamis (7 Okt) Encik Michael antara 788 lulusan dari Sekolah Pembangunan Manusia SR Nathan yang menerima ijazah mereka.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Walaupun sudah menginjak usia 55 tahun, semangatnya untuk terus mendakap ilmu tidak pernah luntur.

Dengan ijazah yang diterima, beliau merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana Sains dalam Senaman dan Pengajian Sukan pula di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada Januari 2022.

"Tiap-tiap hari kita mempelajari sesuatu yang baru. Mungkin bukan di dalam kelas, mungkin bukan daripada buku tetapi daripada pengalaman, daripada interaksi. Jika kita boleh belajar daripada wadah yang begitu, apakah yang membuat kita tidak boleh belajar daripada kelas dan buku?

"Segala impian boleh menjadi kenyataan. Persoalannya adalah sama ada kita mahu membuat atau kita tidak," tambah Encik Michael.

UTAMAKAN PELAJARAN MESKI SIBUK DENGAN AKTIVITI KEMASYARAKATAN

Seorang lagi lulusan dari Sekolah Pembangunan Manusia SR Nathan di SUSS ialah Natasha Mohd Thazah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Dalam kesibukannya mengejar ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Sumber Manusia, gadis berusia 24 tahun itu juga giat melalukan kerja-kerja kemasyarakatan.

"Saya memang suka budak-budak dan saya tinggal di sebuah estet yang berdekatan dengan pelbagai sekolah untuk budak-budak yang berkeperluan khas. Saya selalu mendengar mereka menjerit dan saya selalu ingin tahu sebabnya. Bila saya melihat wajah dan senyuman mereka yang saya bantu, ia membuat saya gembira," kata Natasha yang berkongsi bahawa pengalaman tersebut telah membantu meningkatkan keyakinan dirinya.

(Gambar: Natasha Mohd Thazah)

Di samping itu, Natasha juga handal beraksi di padang dalam sukan bola sepak. Malah dia juga pernah bermain dalam pasukan bola sepak wanita SUSS dan mewakili universiti itu.

Ibarat pepatah ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi, Natasha juga berbakat dalam seni muzik seperti ibunya, penyanyi Wann dan pernah berkongsi pentas semasa acara Sinar Lebaran pada 2020.

(Gambar: Natasha Mohd Thazah)

Dia mengikuti kelas piano selama 15 tahun dan juga sudah mencapai pensijilan Gred 5.

Namun, semua itu tidak menjejas tumpuannya terhadap pelajaran dan hari ini Natasha boleh menghela nafas lega kerana berjaya membanggakan ibu bapanya.

"Saya selalu belajar pada pukul 10 malam hingga pukul 5 pagi. Memang penat dan susah, tetapi saya memang sabar dan tekal, hingga saya boleh kerana saya tahu ianya berbaloi," kata Natasha.

(Gambar: Instagram/Wann_Rashidah)

Atas prestasinya yang baik semasa menjalani latihan amali di syarikat Grab, Natasha terpilih dan ditawarkan pekerjaan sepenuh masa dan kini menyandang jawatan sebagai Pegawai Pakar Pemerolehan Bakat di syarikat itu sejak Julai lalu.

Justeru, dia merancang untuk 'berehat' seketika daripada pelajaran dan memberi tumpuan kepada kerjayanya.

"Insya-Allah satu hari nanti, saya ada rezeki atau semangat lebih untuk melanjutkan pelajaran saya nanti. Untuk buat masa sekarang saya lebih fokus pada mencari pengalaman dalam segi kerja sumber manusia," kata Natasha.

Tahun ini, sekitar 2,600 graduan SUSS menerima ijazah mereka.

Jumlah itu tujuh peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Kohort tahun ini termasuk para graduan dari tiga program baru yang ditawarkan SUSS - Sarjana dalam Pengurusan, Sarjana Muda dalam Undang-undang dan Transformasi bagi Kepimpinan Perusahaan.

Majlis Konvokesyen SUSS berlangsung dari 5 hingga 12 Oktober 2021.

Sebelum ini, majlis konvokesyen bagi kohort 2020 diadakan pada Mei lalu selepas ia ditunda akibat pandemik COVID-19. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan