Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konvensyen Nasional Ke-4 AMP bakal bincangkan isu-isu dari perspektif belia, pejuang masyarakat, keluarga dan warga emas

Para belia berharap perbincangan dalam lembaga jawatankuasa badan-badan Melayu/Islam tidak sahaja menyentuh perihal operasi tetapi juga isu-isu kemasyarakatan yang lebih luas.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para belia berharap perbincangan dalam lembaga jawatankuasa badan-badan Melayu/Islam tidak sahaja menyentuh perihal operasi tetapi juga isu-isu kemasyarakatan yang lebih luas.

Ini bagi menjadikan badan-badan itu lebih relevan dan peka dengan isu-isu semasa.

Dapatan itu hasil tinjauan yang dilakukan AMP Singapura menjelang Konvensyen Nasional keempatnya pada Oktober ini.

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 2012. 

BELIA INGIN LEBIH BANYAK PELUANG KEPIMPINAN

Dalam sidang media yang berlangsung pada Rabu (18 Ogos), AMP berkongsi antara luahan para belia tentang keengganan sesetengah pemimpin lebih berusia dalam badan-badan Melayu/Islam untuk melepaskan jawatan dan berikan peluang kepada yang lebih muda untuk ambil alih.

Dalam tinjauan yang dijalankan ke atas lebih 40 belia menerusi berbagai wadah sejak 2020, AMP mendapati golongan tersebut merasakan generasi pemimpin lebih tua kurang atau sukar memberikan peluang kepada pemimpin muda. 

Oleh itu, AMP menyarankan agar badan-badan Masyarakat dan Melayu/Islam melakukan semakan bagi mengenal pasti dan melantik pemimpin belia yang berpotensi untuk diberi peluang menjadi pemimpin.

"Kepimpinan belia amat penting kerana pucuk pimpinan politik selalunya berasal dari pelantikan ahli dari ahli perlembagaan badan-badan Melayu/Islam setempat. Maka itu penting untuk kita memastikan proses pelantikan itu sistematik supaya kita mempunyai pemimpin yang berkaliber," kata Ketua Panel Belia, Dr Humairah Zainal.

Selain Dr Humairah, panel itu turut dianggotai Encik Faris Ridzuan, Cik Farisha Ishak, Encik Kaven Siddique Lim dan Encik Khairul Rusydi.

"Kajian akademik juga telah menunjukkan bahawa golongan belia yang bukan dari golongan elit atau profesional juga mampu menyumbang idea-idea bernas kepada masyarakat jika mereka diberikan peluang, wadah dan juga kemahiran tertentu," tambahnya.

AMP juga menyarankan agar penglibatan dan sumbangan golongan wanita tidak dihadkan kepada peranan-peranan kecil sahaja.

"Perwakilan wanita dalam lembaga jawatankuasa badan-badan Melayu/Islam setempat amat rendah. Maka itu kita memerlukan banyak suara wanita dalam ahli lembaga ini," ujarnya.

Selain itu, stigma berkaitan kesihatan mental turut menjadi keprihatinan para belia.

Mereka yang terlibat dalam tinjauan itu berkongsi bahawa mereka kurang mendapat sokongan atau masalah mereka disalah erti.

"Isu kesihatan mental yang membelenggu golongan belia bersangkut paut dengan isu sistemik dan juga struktur seperti isu perumahan dan juga isu-isu yang mereka hadapi dalam sistem pendidikan seperti tekanan dengan pelajaran dan sebagainya," jelas Dr Humairah.

KELAINAN KALI INI TERMASUK PERSPEKTIF DARI PELBAGAI GOLONGAN

Isu-isu tersebut dan banyak lagi akan dikupas pada Konvensyen Nasional AMP yang keempat pada 15 Oktober ini di MAX Atria, Singapore Expo.

Acara itu akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong selaku tetamu terhormat.

Konvensyen yang diadakan sekali dalam sedekad itu bertujuan untuk menyediakan wadah bagi golongan karyawan Islam Singapura untuk membincangkan strategi-strategi baru yang boleh mendorong masyarakat Islam Singapura untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

Pada konvensyen kali ini, 500 peserta akan membincangkan isu-isu dari perspektif empat persona iaitu kaum belia, pejuang masyarakat, keluarga dan warga emas.

"Kelainan pada konvensyen tahun ini berbanding dengan konvensyen yang lalu termasuk format iaitu menggunakan prinsip pemikiran reka bentuk berpusatkan manusia atau dalam istilah Inggerisnya 'Human-Centric Design Thinking'. Dengan cara ini, daripada melihat isu-isu secara sendirian, sebenarnya isu-isu ini terkait antara satu sama lain dan ia melibatkan persona-persona yang telah kami kemukakan," kata Pengerusi, Jawatankuasa Pandu Konvensyen, Hazni Aris.

Menjelang acara tersebut, AMP akan mendedahkan beberapa lagi dapatan tinjauan mereka secara bertahap-tahap.

Pendaftaran untuk konvensyen tersebut dibuka pada Khamis, 1 September 2022.

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri www.instagram.com/convo_4 dan www.facebook.com/convo4.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan