Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konvensyen keempat AMP dorong karyawan muda main peranan lebih aktif demi masa depan masyarakat

Konvensyen Nasional ke-4 AMP bakal diadakan di MAX Atria, Singapore Expo pada 15 Oktober ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Konvensyen  keempat AMP dorong karyawan muda main peranan lebih aktif demi masa depan masyarakat

(Gambar: AMP Singapore/Facebook)

SINGAPURA: Lima isu utama akan dibincangkan di Konvensyen Nasional ke-4 AMP, yang akan diadakan di MAX Atria, Singapore Expo pada 15 Oktober ini.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuk menyediakan ruang yang selamat untuk advokasi berkembang maju, penggunaan media sosial yang berkesan serta mengamalkan nilai-nilai Islam, seperti adab dan rasa tanggungjawab, dalam kerja advokasi.

Isu-isu lain yang juga bakal disentuh adalah memahami lapisan yang berbeza dalam rangkaian advokasi, seperti keperluan dan ruang untuk kumpulan yang berbeza serta peranan wanita sebagai penyokong.

Konvensyen Nasional Ke-4 AMP dianjurkan dengan tujuan menggerakkan golongan karyawan muda supaya memainkan peranan lebih aktif dalam merancang masa depan masyarakat Islam di Singapura.

Malah ia juga berhasrat melengkapi karyawan muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi penyokong (advocates) yang berkesan dalam masyarakat.

Usaha tersebut turut dijalankan menyusuli gesaan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong di Forum Menteri Kent Ridge Universiti Nasional Singapura (NUS) baru-baru ini.

Beliau menggesa golongan belia supaya menjadi warga yang aktif dalam membentuk masa depan Singapura.

ORANG RAMAI DIPELAWA SERTAI FORUM ONLINE

Bagi memulakan perbincangan, Panel Penyokong Masyarakat mempelawa orang ramai supaya menyertai forum dalam talian di sini.

Mereka juga boleh mengunjungi saluran media sosial Konvensyen di Instagram dan Facebook bagi maklumat lanjut.

TAMPIL DENGAN PERBEZAAN

Konvensyen Nasional ke-4 AMP ini juga berbeza daripada konvensyen-konvensyen lalu.

Buat pertama kalinya, ia akan menggunakan pendekatan pemikiran reka bentuk yang berpusatkan manusia (human-centred design thinking approach).

Menerusi pendekatan tersebut, Konvensyen itu akan melihat isu-isu dari perspektif empat persona yang penting di dalam pembangunan jangka panjang masyarakat, iaitu kaum belia, penyokong masyarakat (community advocates), keluarga dan warga emas.

Empat panel yang akan meneliti keempat-empat kumpulan persona itu juga sudahpun ditubuhkan dan terdiri daripada para karyawan daripada pelbagai latar belakang.

Mereka turut menyumbang kepakaran mereka dalam mengenal pasti isu-isu penting bagi empat persona ini bagi membantu proses menjana idea demi melakarkan strategi dan penyelesaian bagi isu-isu berkenaan.

HASIL TINJAUAN

Malah penganjuran konvensyen tersebut juga didorong hasil tinjauan online yang dikendalikan Panel Penyokong Masyarakat dari Konvensyen AMP.

Dalam tinjauan itu, majoriti responden (88 peratus) berpandangan bahawa penyokong masyarakat memainkan peranan penting dalam membawa perubahan positif dalam masyarakat.

Tinjauan yang melibatkan 432 individu itu juga mendapati bahawa 86 peratus bersetuju bahawa penyokong masyarakat dan pemimpin politik harus bekerjasama untuk meraih hasil yang terbaik bagi masyarakat.

Lantaran itu, konvensyen nasional yang dianjurkan sekali setiap 10 tahun menawarkan wadah bagi golongan karyawan Islam Singapura untuk membincangkan strategi-strategi baru yang boleh mendorong masyarakat Islam Singapura untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

Bahkan, setiap konvensyen menghasilkan strategi yang penting dalam pembangunan masyarakat Islam Singapura, termasuk penubuhan AMP pada tahun 1991, iaitu setahun selepas Konvensyen pertama diadakan.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan