Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konvensyen DPPMS perkenal wadah baru untuk usahawan permulaan

Anggaran Waktu Membaca:
Konvensyen DPPMS perkenal wadah baru untuk usahawan permulaan

Gambar: Emillia Amin

BERITAmediacorp: Satu platform baru diperkenalkan untuk mereka yang bercita-cita menjadi peniaga.

Buat pertama kali, Konvensyen Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyediakan wadah untuk mengangkat idea perniagaan inovatif dalam bentuk pertandingan.

Konvensyen itu kembali diadakan tahun ini selepas dua tahun ditiadakan akibat COVID-19.

Selepas tempoh mencabar itu, Naib Presiden DPPMS, Fadilah Majid memberitahu BERITAmediacorp, konvensyen kali ini menggalak masyarakat perniagaan untuk berkembang ke pasaran global.

"Selepas dua tahun kita melihat ada sinar di sebalik tabir jadi kita harus memanfaatkan peluang ini. Para peniaga harus bersedia, tangkas memanfaatkan potensi untuk bukan saja berniaga di Singapura tetapi di luar negara," kata Cik Fadilah.

Bagi memberi pendedahan kepada kepakaran bidang niaga, pelbagai sesi pembelajaran dan perbincangan disediakan untuk para peserta.

USAHA GALAK USAHAWAN MUDA & WANITA

Satu wadah baru dipanggil 'Illuminate' yang dianjurkan oleh cabang belia DPPMS pula membolehkan peniaga menjalin kerjasama dan meningkatkan ilmu pemasaran.

"Ini fokusnya adalah untuk usahawan muda. Mereka dapat mempelajari daripada pakar dan juga beberapa peniaga muda tetapi telah mencipta nama dan telah berjaya. Menariknya dalam 'Illuminate' ini kita ada pertandingan idea perniagaan yang mana kita akan memilih para peniaga yang boleh memaparkan cadangan perniagaan mereka dan ada panel pengadil yang akan memilih siapa yang akan menang dalam sesi itu," jelas Naib Presiden DPPMS,

Sejajar trend digital yang pesat berkembang dalam landskap perniagaan, para usahawan dapat meraih manfaat daripada perkongsian teknologi baru.

Ini termasuk daripada Meta, Amazon dan beberapa syarikat lain yang dapat membantu usahawan meningkatkan ilmu pemasaran dan skala perniagaan mereka melalui wadah DEWIDIGI.

"Ia adalah satu platform untuk usahawan wanita, fokusnya kepada usahawan wanita untuk mempelajari cara-cara pendigitalan kerana dalam dunia sekarang menggunakan teknologi baru, menggunakan media sosial. Menggunakan pelbagai platform digital adalah penting tapi jika mereka tidak datang ke konvensyen seperti ini, mungkin mereka akan terlepas peluang. Banyak tip yang akan diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing."

'Illuminate' dan DEWIDIGI masing-masing sudah menarik sekitar 100 peserta sejauh ini. DPPMS berharap lebih ramai usahawan akan menyertai konvensyen tiga hari itu untuk meraih manfaat daripada perkongsian kepakaran dan pengetahuan.

Konvensyen DPPMS bermula pada 19 Oktober dan berakhir dengan acara kemuncak, Malam Anugerah DPPMS pada 21 Oktober yang akan dihadiri tetamu terhormat Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan