Skip to main content

Singapura

Kontraktor SG serap kos lebih tinggi supaya dapat siapkan projek ikut jadual susuli konflik Timur Tengah

Beberapa firma binaan menyerap kos bahan yang lebih tinggi demi memastikan projek menepati jadual, sedang harga melonjak menyusuli perang berterusan ke atas Iran, menurut Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL).
Anggaran Waktu Membaca:
Kontraktor SG serap kos lebih tinggi supaya dapat siapkan projek ikut jadual susuli konflik Timur Tengah
Sebuah tapak pembinaan di Singapura. (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 16 Mar 2026 12:40PM
SINGAPURA: Beberapa firma binaan menyerap kos bahan yang lebih tinggi demi memastikan projek menepati jadual, sedang harga melonjak menyusuli perang berterusan ke atas Iran, menurut Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL).

Harga beberapa bahan binaan meningkat sekitar 20 peratus dan dijangka kekal tinggi.

Beberapa syarikat pengangkutan dan jentera pula menjangkakan kerugian sehingga S$1 juta sebulan, tambah persatuan tersebut.

Bahan-bahan penting seperti membran kalis air, cat dan bahan pengedap – yang berasaskan petroleum – menjadi lebih mahal apabila harga minyak meningkat menyusuli gangguan strategik di Selat Hormuz.

Pemborong bahan binaan Eastern Win, misalnya, melabur dalam stok penampan bagi menghadapi gangguan jangka pendek, sambil mengambil kira tempoh jangka hayat setahun bagi bahan-bahan tersebut.

“Pengumpulan stok adalah sesuatu yang perlu kami kaji dan lakukan dengan teliti kerana jika kami menyimpan terlalu banyak, terdapat risiko ia rosak dan kami perlu membuangnya, dan itu akan (menambah) kos yang perlu kami tanggung,” kata ketua perniagaan pembinaan syarikat itu, Sylvester Lim.

“Kami perlu merancang stok keselamatan dengan teliti – dan sebab kami menyimpan stok keselamatan adalah untuk memastikan kami dapat membekalkannya kepada para pelanggan apabila mereka memerlukannya. Jika tidak, jadual pembinaan … akan dilanjutkan.”

Langkah membina stok penampan boleh meningkatkan kos sehingga 15 peratus bagi syarikat tersebut, tambah Encik Lim.

Mengenai sama ada harga akan kembali ke paras sebelum perang itu tercetus, beliau berkata ia akan “mengambil masa yang lama” untuk kos turun, bergantung kepada permintaan pasaran dan jumlah projek yang dikendalikan syarikat itu.

KELENGAHAN PENGHANTARAN

Pemerhati industri memberi amaran bahawa Singapura, sebagai pasaran pembinaan yang bergantung kepada import, mungkin berdepan tempoh menunggu yang lebih lama dan kos lebih tinggi akibat ketidaktentuan penghantaran.

Beberapa syarikat sudah mengalami kelengahan.

United Tec Construction, yang mengimport batu marmar secara langsung dari Iran bagi salah satu projeknya, menyaksikan penghantaran tertangguh sehingga 10 hari disebabkan oleh lencongan laluan kapal dan jadual penghantaran yang tidak menentu.

Perang terhadap Iran, yang bermula hampir dua minggu lalu, menjejaskan penghantaran, khususnya dari Eropah dan China, kata pengasas dan pengarah urusan United Tec Construction, Allan Tan.

Walaupun syarikat tersebut masih mempunyai masa untuk mencari pengganti dan sumber alternatif, ia bimbang sesetengah projek mungkin tergendala jika konflik itu meningkat.

Ini khususnya kerana industri tersebut baru sahaja pulih daripada pandemik COVID-19, kata Encik Tan.

“Setiap projek mengambil masa sekitar tiga hingga empat tahun untuk disiapkan, jadi (kami perlu berfikir) tiga hingga empat tahun ke hadapan,” kata beliau.

Kesan setakat ini masih boleh ditanggung, namun ia boleh menjadi “sangat buruk” bagi industri jika konflik tersebut berlarutan, tambah Encik Tan.

“Sepanjang tempoh itu, jika perang berpanjangan dan krisis tidak berakhir … banyak bahan akan terjejas. Semua penghantaran akan tertangguh … ia tidak dapat ditangani dengan mudah.”

Firma perundingan Linesight berkata Singapura boleh menjangkakan harga keluli yang lebih tinggi, didorong oleh bekalan tenaga yang tidak menentu, peningkatan kos penghantaran dan insurans.

Ia menambah bahawa lencongan laluan kapal, antara faktor lain, boleh menyebabkan tempoh menunggu lebih lama bagi bahan import, ketidakpastian lebih besar dalam jadual penghantaran, serta kesukaran bagi kontraktor untuk menetapkan harga dan jadual projek.

Namun, kekurangan bekalan fizikal yang teruk tidak dijangka berlaku, kata beliau.

KESAN TERHADAP SEKTOR AWAM

Bagi kebanyakan projek awam pula, agensi pemerintah berkemungkinan akan menyesuaikan harga kontrak apabila kos bahan berubah.

Ini meliputi bahan binaan utama seperti bar keluli dan konkrit siap dicampur.

SCAL, yang mewakili lebih 3,000 firma pembinaan dan perniagaan berkaitan, menyatakan ia berharap dapat memperluaskan senarai bahan tersebut bagi membantu lebih banyak syarikat menyesuaikan diri semasa krisis.

Presiden SCAL Lee Kay Chai menambah kontraktor khusus yang mengendalikan projek jangka pendek amat terdedah kepada turun naik harga.

“Harga minyak meningkat dengan begitu tinggi. Maka kos operasi akan meningkat dengan ketara, tetapi mereka tidak boleh berhenti … jadi mereka akan menanggung kos yang tinggi dari segi bahan dan bahan api. Ia pasti akan mengurangkan margin keuntungan mereka,” kata Encik Lee.

“Dalam sektor awam, terdapat mekanisme pelarasan kos bahan … jadi mereka sedikit sebanyak dilindungi. Namun bagi sektor swasta, peruntukan ini langsung tidak ada, jadi (kontraktor khususnya) akan terjejas dengan teruk.”

Kerja-kerja penyediaan tapak dan kerja tanah juga dijangka terjejas akibat peningkatan kos, tambah Encik Lee.

Menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), bahan-bahan seperti pasir dan granit boleh diperoleh dari negara-negara dalam rantau ini dan tiada gangguan bekalan dijangka berlaku.

Namun, ia menyatakan bahawa pihak berkepentingan bagi sesebuah projek harus menimbangkan untuk berkongsi risiko dan ganjaran pada masa hadapan, memandangkan harga mungkin menjadi lebih tidak stabil di tengah-tengah prospek yang tidak menentu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita