Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kontraktor didenda S$15,000 kerana sogok pengurus kondominium

Seorang kontraktor menyogok pengurus kondominium sebagai ganjaran untuk mendapatkan kontrak bagi syarikatnya.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Kontraktor didenda S$15,000 kerana sogok pengurus kondominium

Parc Life Condominium di Sembawang. (Gambar: Google Street View)

SINGAPURA: Seorang kontraktor menyogok pengurus kondominium sebagai ganjaran untuk mendapatkan kontrak bagi syarikatnya.

Menurut dokumen mahkamah, Panneerselvam Elumalai memperolehi tender untuk menggantikan jubin bagi jalan masuk kondominium dengan memberi suapan kepada pengurus kondominium tersebut.

Bagaimanapun, cat mula mengelupas dari jalan masuk kondominium berkenaan hampir seminggu selepas kerja-kerja selesai, dan serpihan serta rekahan mula muncul tidak lama kemudian.

Lelaki berusia 41 tahun itu didenda S$15,000 pada Khamis (8 Mei) selepas dia mengaku bersalah bersubahat untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Ini kerana memberi dokumen kepada pengurus kondominium yang mengandungi kenyataan palsu berkaitan tawaran untuk tender, yang mengelirukan majlis pengurusan Hak Milik Strata Korporat Pengurusan Parc Life (MCST).

Dua lagi tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Panneerselvam, seorang warga India, adalah pengarah operasi dan pemilik Mountec, sebuah syarikat yang menawarkan khidmat pembaikan dan penyenggaraan.

Dia menyelia operasi harian Mountec dan menyediakan kertas kerja seperti sebut harga.

Pengurus kondominium pada masa itu ialah Bobby Augustine Andrews. Dia digajikan oleh syarikat ejen pengurusan Ocean IFM dan telah ditempatkan di Parc Life Condominium dari Mac 2021 hingga Mac 2023.

Dia menjaga hal ehwal harian, termasuk melaporkan sebarang kerosakan yang dikesan di kondominium tersebut dan berurusan dengan pihak kontraktor. Kes terhadap Andrews belum selesai.

Pada Disember 2021, Andrews menghubungi Panneerselvam untuk membaiki jubin di kawasan kolam renang kondominium itu. Dia terus berurusan dengan Panneerselvam selepas itu.

Antara 20 Jan 2022 dan 15 Jan 2023, Panneerselvam memberi rasuah kepada Andrews dalam bentuk pinjaman berjumlah S$2,950.

Andrews meminta pinjaman daripada Panneerselvam kerana dia menghadapi masalah kewangan semasa tempoh itu.

"Bagi membalas bantuannya, (Andrews) berasa terhutang budi kepada (Panneerselvam) dan akan cuba mempengaruhi majlis pengurusan MCST Parc Life Condominium untuk memberikan lebih banyak pekerjaan kepada Mountec," kata Timbalan Pendakwa Raya Zhou Yang kepada mahkamah.

Sekitar Januari 2023, Panneerselvam memberitahu Andrews bahawa dia tidak berpuas hati dengan "pekerjaan kecil" dan meminta "pekerjaan yang lebih besar" secara lebih kerap.

Andrews cuba memenuhi permintaan itu kerana dia tidak dapat memulangkan pinjaman tersebut.

Beberapa bulan kemudian, Panneerselvam mengadu kepada Andrews tentang "masa sukar" yang dialaminya kerana majlis pengurusan tidak memberikan kontrak kepada syarikatnya. Dia berharap Andrews akan memberinya aliran kontrak yang stabil.

"(Andrews) tahu bahawa (Panneerselvam) telah membantunya dengan meminjamkan wang kepadanya, dan (Andrews) mahu membalas bantuan (Panneerselvam) dengan memberikan kontrak Parc Life Condominium kepada Mountec," kata Encik Zhou.

TENDER PENGGANTIAN JUBIN

Pada Februari 2022, Andrews memberitahu Panneerselvam tentang tender untuk menggantikan jubin di jalan masuk kondominium tersebut.

Dia meminta Panneerselvam membida tender itu dan mengesyorkan dua kontraktor lain untuk mencapai minimum tiga sebut harga.

Kerana mahu mendapatkan tender berkenaan, Panneerselvam mendekati pengarah dua kontraktor lain yang tidak berhasrat untuk membuat bidaan bagi tender tersebut.

Panneerselvam meminta kedua-dua syarikat kontraktor - Alpha Engineering and Consultancy dan SNP Engineering - untuk menyebut harga yang lebih tinggi supaya sebut harga Mountec adalah yang terendah dan dia akan mendapatkan tender tersebut.

Panneerselvam menyerahkan tiga sebut harga kepada Andrews pada Mei 2022, dengan sebut harga Mountec dipercayai paling rendah.

Mountec tidak diberikan kontrak kerana majlis pengurusan membatalkan tugas itu disebabkan oleh isu belanjawan.

Bagaimanapun, tender dibuka semula pada Jun 2022 untuk jenis jubin yang lebih murah bagi jalan masuk.

Panneerselvam menyerahkan sebut harga bernilai S$66,000 kepada MCST, yang memperuntukkan S$67,000 bagi tender tersebut, atas arahan Andrews.

Andrews telah meminta S$5,000 daripada Panneerselvam sebagai upah, tetapi Panneerselvam tidak memberikan wang itu seperti yang dijanjikan.

Kerja-kerja penggantian jubin untuk jalan masuk telah dijalankan pada Oktober 2022, tetapi cat mula mengelupas hampir seminggu selepas kerja-kerja selesai, dan serpihan serta rekahan muncul tidak lama kemudian.

Panneerselvam pada mulanya memberikan jaminan selama setahun untuk membaiki isu itu tetapi masalah itu akan berulang.

Pada awal 2024, Panneerselvam enggan membaiki masalah tersebut dan menegaskan bahawa MCST sepatutnya membayarnya untuk kerja-kerja pembaikan selanjutnya.

MCST telah menghubungi seorang jurutera awam untuk menentukan punca isu tersebut dan sedang menimbangkan tindakan undang-undang terhadap Mountec.

Atas kesalahannya, Panneerselvam boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau didenda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan