Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kontraktor BTO dengan masalah kewangan juga terlibat projek lain

Kontraktor-kontraktor yang menarik diri daripada lima projek perumahan Bina-Ikut-Tempahan (BTO) disebabkan masalah kewangan juga terlibat dalam beberapa projek pemerintah termasuk kompleks pembakaran mayat di Mandai dan depot bas di Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:
Kontraktor BTO dengan masalah kewangan juga terlibat projek lain

Pejabat Greatearth di Ang Mo Kio. (Gambar: Neo Rong Wei)

Diterbitkan : 26 Aug 2021 11:54PM Dikemas Kini : 26 Aug 2021 11:57PM

SINGAPURA: Kontraktor-kontraktor yang menarik diri daripada lima projek perumahan Bina-Ikut-Tempahan (BTO) disebabkan masalah kewangan juga terlibat dalam beberapa projek pemerintah termasuk kompleks pembakaran mayat di Mandai dan depot bas di Woodlands.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan ia menjangkakan penangguhan tarikh siap kompleks pembakaran mayat tersebut.

NEA dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan kepada Mediacorp pada Khamis (26 Ogos) bahawa kedua-duanya sedang mempertimbangkan bagaimana untuk mengurangkan kesan ke atas projek-projek yang melibatkan kontraktor Greatearth Corporation dan Greatearth Construction.

Awal dari itu, diumumkan bahawa kedua-dua kontraktor tidak dapat meneruskan lima projek BTO meskipun dengan bantuan pemerintah.

Kedua-dua syarikat memaklumkan kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) minggu lalu tentang masalah kewanganya. Kesemua kerja di kelima-lima tapak binaan sudahpun ditangguh sejak 20 Ogos dan HDB menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Greatearth untuk melantik kontraktor baru untuk menghabiskan baki kerja.

Ini bermakna penangguhan lanjut mungkin akan menjejas projek-projek BTO yang tarikh siapnya sudahpun ditangguh sebelum ini akibat pandemik COVID-19.

Greatearth Construction adalah kontraktor utama kompleks baru pembakaran mayat di Mandai, menurut NEA dalam jawapannya kepada Mediacorp.

"Dengan kontraktor utama digantikan dengan yang baru, kami menjangkakan kompleks pembakaran mayat yang sebelum ini dijadualkan siap pada hujung 2022, ditangguhkan," tambah jurucakap itu.

"NEA akan menilai pilihan-pilihan kami untuk mengurangkan kesan penangguhan itu."

LTA pula menyatakan bahawa ia sedang dalam perbincangan dengan rakan usaha sama Greatearth tentang pembangunan Depot Bas Gali Batu di Woodlands.

Kontrak bagi depot bas itu dianugerahkan kepada usaha sama antara Greatearth Corporation dan Gamuda Berhad Singapura pada November 2019.

"LTA sedang dalam perbincangan dengan Gamuda Berhad Singapura tentang bagaimana untuk memastikan projek diteruskan dan mengurangkan kesan ke atas tarikh siap depot itu," kata jurucakap tersebut.

Sekitar 15 peratus projek sudahpun selesai dan ia dijangka siap sepenuhnya sekitar 2024.

"LTA akan terus memantau perkembangan projek dengan teliti," tambah penguasa itu.

Sementara itu JTC pula mempunyai dua projek yang dianugerahkan kepada usaha sama membabitkan Greatearth Construction pada 2019 dan 202.

Kedua-dua projek melibatkan pembinaan sebuah bangunan utama dan kerja-kerja prasarana di Bulim, salah satu kawasan di Daerah Inovasi Jurong yang bakal dibina.

JTC menyatakan "rakan-rakan usaha sama itu sudahpun bersetuju untuk mengambil alih dan memenuhi komitmen kontrak".

"Buat masa ini, kami tidak menjangkakan sebarang penangguhan kepada kerja-kerja yang sedang dijalankan ekoran masalah kewangan Greatearth," tambah jurucakap itu.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan