Kontrak pemandu teksi tidak divaksin jelang 1 Februari akan digantung, kata Amy Khor
SINGAPURA: Kontrak para pemandu teksi yang tidak lengkap divaksin terhadap COVID-19 menjelang 1 Februari akan digantung untuk "mengurangkan beban kewangan mereka".
Demikian menurut Menteri Kanan Pengangkutan Amy Khor hari ini (13 Jan).
Ini sejajar dengan langkah-langkah vaksinasi di tempat kerja yang diumumkan pada bulan lalu, yang memerlukan para pekerja - termasuk golongan bekerja sendiri, seperti pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet - lengkap divaksin supaya dapat kembali ke tempat kerja mulai Februari.
Para pemandu teksi lazimnya menyewa kenderaan mereka daripada pengendali-pengendali teksi. Pemandu teksi yang kontraknya digantung tidak perlu membayar sewa sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
Lebih kurang 300 pemandu aktif yang layak menerima vaksin - atau sekitar 0.5 peratus daripada semua pemandu aktif - masih belum menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut Dr Khor dalam satu catatan di Facebook.
Dr Khor menambah bahawa beliau sudah bertemu dengan wakil-wakil daripada Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) dan juga Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), yang meminta tempoh itu dilanjutkan menjangkaui 1 Februari untuk membolehkan pemandu teksi dan kereta sewa privet mematuhi langkah-langkah tersebut.
"Melanjutkan tempoh untuk pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa privet sebenarnya akan meletakkan mereka dalam risiko kesihatan yang lebih besar," katanya lagi.
"Oleh itu, kami menggesa semua pemandu yang layak dan masih belum divaksin untuk menerima suntikan vaksin anda secepat mungkin."
"Untuk mengurangkan beban kewangan para pemandu teksi yang memerlukan lebih masa selepas 1 Februari 2022 untuk lengkap divaksin, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sudah bekerjasama dengan pengendali-pengendali teksi untuk membenarkan para pemandu berkenaan menggantung kontrak mereka sehingga mereka lengkap divaksin," tambah Dr Khor.
Beliau juga mengatakan bahawa para pemandu yang memerlukan bantuan untuk mematuhi langkah-langkah tersebut boleh berjumpa dengan persatuan-persatuan mereka ataupun LTA untuk melihat bagaimana mereka dapat membantu, berdasarkan kes masing-masing.
Untuk mereka yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, mereka mempunyai masa sehingga 31 Januari untuk menyelesaikan regim vaksinasi mereka.
"Dalam tempoh itu, mereka dapat teruskan memandu, sekiranya mempunyai keputusan negatif ujian setiap hari daripada salah satu pengendali ujian COVID-19 yang diluluskan Kementerian Kesihatan (MOH)," menurut Dr Khor.
Sembilan puluh sembilan peratus daripada sekitar 66,500 pemandu teksi dan kereta sewa privet aktif sudah lengkap divaksin, dengan lebih 75 peratus sudah pun menerima suntikan dos penggalak mereka, tambah Dr Khor.
Varian Omicron yang lebih mudah berjangkit bermakna ia lebih penting untuk para pemandu yang layak mematuhi langkah-langkah vaksinasi di tempat kerja menjelang 1 Februari untuk "melindungi mereka dan memperkukuhkan perlindungan Singapura daripada gelombang besar kes-kes COVID-19 tempatan," ujarnya.
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), bersama dengan NTA dan NPVHA, menzahirkan sokongan mereka kepada pendekatan yang disarankan pihak berkuasa untuk mengalak dan menyokong lebih 300 pemandu tidak divaksin menerima suntikan vaksin mereka, catat Dr Khor.
"Kami sedang berusaha bersama dengan rakan-rakan perikatan tiga pihak kami untuk mendekati kelompok pemandu ini dan akan teruskan usaha kami," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.