Skip to main content

Singapura

Kontrak khidmat bas ulang-alik percuma Marine Parade bakal tamat 20 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Kontrak khidmat bas ulang-alik percuma Marine Parade bakal tamat 20 Nov

Khidmat bas ulang-alik percuma untuk penduduk Marine Parade mula beroperasi pada Julai 2024. (Gambar: CNA/Renald Loh)

Diterbitkan : 13 Oct 2025 11:31PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 11:34PM
SINGAPURA: Kontrak bagi khidmat bas ulang-alik percuma Marine Parade tidak akan dilanjutkan apabila ia berakhir pada 20 November, menurut pertubuhan akar umbi yang memulakan projek tersebut pada Isnin (13 Okt).

Dalam satu catatan di Facebook, pertubuhan-pertubuhan tersebut menyatakan bahawa pihaknya memutuskan untuk tidak berbuat demikian selepas menimbangkan maklum balas dan faktor-faktor lain dalam semakan terbaharunya.

Sumber akan sebaliknya disalurkan semula "dengan cara yang lebih bersasar".

"Kami sedar bagaimana ini boleh menjejas penduduk yang sedang menggunakan khidmat ini," menurutnya.

"Oleh itu, kami akan segera melibatkan penduduk yang terjejas dan juga berkongsi lebih lanjut tentang langkah-langkah yang seterusnya."

Khidmat bas ulang-alik percuma itu bermula pada Julai 2024 sebagai projek rintis selama setahun untuk penduduk GRC Marine Parade ketika itu, serta SMC MacPherson dan Mountbatten.

Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia ketika itu Alvin Tan berkata projek rintis tersebut memerlukan kos sekitar S$1 juta untuk beroperasi, dengan S$200,000 datang daripada geran permulaan daripada Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tenggara, dan selebihnya daripada sumbangan orang ramai.

Pada bulan September dan Oktober 2024, wartawan Mediacorp mengambil empat daripada tujuh laluan yang ditawarkan kepada penduduk untuk memeriksa populariti khidmat tersebut setiap hari bekerja selama dua minggu.

Mereka mendapati tahap penumpang yang sangat berbeza, dengan beberapa laluan hampir tiada penumpang pada waktu-waktu tertentu tetapi yang lain mempunyai lebih 20 penumpang.

Seorang jurucakap bagi pertubuhan akar umbi Marine Parade berkata ketika itu bahawa khidmat tersebut menyaksikan "penggunaan yang stabil di kebanyakan laluan", sambil menambah bahawa inisiatif itu akan diperhalusi berdasarkan data penumpang dan maklum balas.

Pertubuhan akar umbi tersebut menyatakan dalam satu catatan di Facebook pada Isnin bahawa penyesuaian sudah dibuat pada bulan Januari tahun ini, dan kontraknya dilanjutkan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita