Kontrak harga tetap elektrik ditawarkan buat syarikat S'pura di tengah kekurangan bekalan tenaga global
SINGAPURA: Pelan bekalan elektrik pada harga tetap buat tempoh lebih panjang kini ditawarkan kepada syarikat-syarikat Singapura di tengah-tengah naik turun harga yang tidak menentu.
Demikian menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Khamis (10 Mac).
"Di tengah-tengah naik turun harga yang tidak menentu di pasaran borong untuk bekalan elektrik akibat kekurangan tenaga di seluruh dunia, beberapa syarikat menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pelan bekalan elektrik pada harga tetap," menurut EMA dalam satu kenyataan media.
"Oleh itu, EMA bekerjasama dengan syarikat pembekal elektrik untuk menawarkan lebih banyak pelan harga tetap buat tempoh lebih panjang bagi pengguna perniagaan pada kadar yang berdaya saing."
Sehubungan itu, syarikat Sembcorp Power dan Keppel Elektrik akan menawarkan kontrak harga tetap jangka panjang untuk pengguna dengan purata penggunaan bulanan antara empat megawatt sejam hingga 50 megawatt sejam.
"Pelan harga yang ditawarkan juga termasuk tempoh kontrak yang lebih lama, antara enam bulan hingga tiga tahun, dengan kadar tenaga elektrik bagi pelan dua dan tiga tahun ditetapkan pada 25 sen untuk setiap kilowatt sejam," menurut EMA.
"Harga ini lebih rendah berbanding kadar di bawah Skim Sokongan Elektrik Sementara (TRECS) sebanyak 39.9 sen untuk setiap kilowatt sejam pada Mac 2022."
Tempoh permohonan untuk kontrak baru sudah dibuka, dan EMA menggalakkan pengguna yang layak dan tiada pelan runcit untuk "mempertimbangkan kontrak-kontrak ini yang memberi harga terjamin."
Kontrak baru itu diumumkan di Parlimen minggu lalu oleh Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Dr Tan menarik perhatian terhadap krisis di Ukraine dan berkata bahawa Pemerintah akan "berusaha sebaik mungkin" untuk memastikan bekalan kuasa di Singapura kekal selamat dan boleh dipercayai.
"Saya sedia maklum tekanan kos yang dihadapi keluarga dan syarikat. Kami akan terus memantau perkembangan pasaran dan tidak akan teragak-agak untuk memperkenalkan lebih banyak langkah, jika perlu, untuk membantu pengguna yang memerlukan," kata Dr Tan.
EMA juga mengumumkan pada Khamis (1o Feb) bahawa butiran lanjut kontrak TRECS dan pilihan kontrak runcit yang lain bagi April 2022 akan diumumkan minggu depan.
TRECS diperkenalkan pada Disember tahun lalu di tengah-tengah "ketidakstabilan yang luar biasa" dalam pasaran kuasa elektrik, dan membolehkan syarikat-syarikat untuk memanfaatkan kemudahan bahan api EMA yang sedia ada untuk menjana elektrik, sekali gus mengurangkan risiko gangguan.
Syarikat-syarikat besar boleh mendapatkan pelan elektrik harga tetap selama sebulan di bawah skim tersebut, yang dilanjutkan bulan lalu daripada Mac hingga Mei 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.