Kontrak 100 bas baru dengan 3 pintu diberi kepada pembekal sedia ada
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menganugerahkan tender untuk memperoleh 100 bas dua tingkat dengan tiga pintu kepada dua pembida.

Lakaran artis bagi bas dua tingkat dengan tiga pintu. (Gambar: LTA)
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menganugerahkan tender untuk memperoleh 100 bas dua tingkat dengan tiga pintu kepada dua pembida.
Demikian diumumkan pihak berkuasa itu dalam kenyataannya pada Khamis (25 Apr).
Menurut LTA: "Bas-bas itu akan tiba di Singapura secara berkelompok dan akan digunakan di jalan raya mulai tahun depan."
Alexander Dennis (Singapore) Services Pte Ltd dan ST Engineering Land Systems Ltd memenangi tender bagi 50 bas diesel Euro 6 setiap satu, masing-masing pada sekitar S$34 juta dan S$30 juta.
LTA menyatakan kedua-dua syarikat merupakan pembekal bas sedia ada, masing-masing membentuk sekitar 4 peratus dan 23 peratus daripada jumlah bas di Singapura.
Mereka dipilih setelah semua bidaan dinilai berdasarkan kriteria yang termasuk harga, pengalaman pembida, rekod prestasi, keupayaan teknikal dan sama ada ia mematuhi peraturan-peraturan setempat.
Pihak berkuasa membuka tender untuk mendapatkan bas-bas dua tingkat dengan tiga pintu itu pada Mei tahun lalu setelah ujian kendalian Tower Transit menjana "keputusan memberangsangkan".
Ujian tersebut dijalankan dari Mac hingga September 2017 bagi bas nombor 143. SMRT Buses juga mengendalikan bas tiga pintu bagi khidmat-khidmat bas nombor 190 dan 901 antara Jun 2017 hingga Januari 2018.
"Para penumpang secara amnya mengalu-alukan tambahan pintu ini kerana ia membuatkan masa naik dan turun bas lebih pantas dan lancar," kongsi LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.