Kontinjen Operasi Lionheart SCDF disambut sebagai wira selepas operasi menyelamat di Turki
SINGAPURA: Para pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang pulang ke tanah air selepas menjalankan operasi menyelamat mangsa gempa bumi di Turki disambut sebagai wira di Lapangan Terbang Changi pada pagi Sabtu (18 Feb).
Sorakan puluhan ahli keluarga, rakan sekerja SCDF dan anggota masyarakat Turki bergema sebaik sahaja kontinjen Operasi Lionheart seramai 68 anggota melangkah keluar dari pintu lapangan terbang pada pukul 5.10 pagi.
Kontinjen itu turut disambut oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Muhammad Faishal Ibrahim dan Duta Turki ke Singapura Mehmet Burcin Gonenli.
Gempa bumi yang melanda pada 6 Februari itu mengorbankan lebih 45,000 jiwa, sekali gus menjadikan bencana tersebut antara 10 gegaran paling dahsyat sepanjang seabad lalu.
Kontinjen SCDF berada di Turki selama kira-kira seminggu, dengan pasukan pertama seramai 20 anggota tiba di sana pada 8 Februari dan pasukan kedua pula menyusul pada 10 Februari.
Di tempat kejadian, pasukan SCDF tersebut berjaya menyelamatkan dua mangsa, mengeluarkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun daripada runtuhan sebuah bangunan tiga tingkat dan membantu mencari seorang lelaki yang terperangkap di bawah bangunan yang separuh runtuh.
"Berbekalkan peralatan Kaedah Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR) yang dibawa, kontinjen Operasi Lionheart (OLH) bekerjasama dengan pasukan-pasukan penyelamat antarabgnsa untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam operasi pemulihan serta mencari dan menyelamat mangsa.
"Usaha mereka memainkan peranan penting dalam menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa," kata Dr Faishal Ibrahim dalam hantarannya di Facebook pada Sabtu.
"Saya, dan semua rakyat Singapura, bangga dengan semangat serta sumbangan anda meskipun dalam keadaan yang amat mencabar," ujar Encik Shanmugam sambil menarik perhatian kepada suhu yang amat sejuk serta risiko lebih banyak bangunan runtuh.
Encik Shanmugam berkata SCDF dihampiri untuk menghulurkan bantuan gempa bumi pada 6 Februari dan pasukan itu bersetuju dengan serta-merta.
SCDF disenaraikan sebagai Pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar Utama yang diiktiraf oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa.
Ketua kontinjen Kolonel Chew Keng Tok memberitahu media ia bermakna bahawa SCDF mempunyai keupayaan untuk beroperasi di dua tempat kejadian secara berterusan selama 24 jam sepanjang tempoh 10 hari.
Apabila ditanya sama ada SCDF akan pulang ke kawasan bencana di Turki, Kolonel Chew berkata Operasi Lionheart akan terus diletakkan di bawah keadaan siap siaga bagi sebarang bencana di seluruh dunia, khususnya di rantau Asia Pasifik.
Operasi Lionheart merangkumi 79 anggota dan diletakkan di bawah keadaan siap siaga 24 jam. Ia ditubuhkan pada tahun 1990 dan sudah dikerahkan bagi menjalankan 20 misi bantuan kemanusiaan atau mencari dan menyelamat mangsa.
Ini merupakan kali pertama pasukan itu dikerahkan ke Eropah. Kolonel Chew berkata cabaran utama di Turki adalah cuacanya, di mana suhu berada dalam lingkungan satu angka pada siang hari dan boleh menjunam ke -3 darjah Celsius pada waktu malam.
"Kontinjen Operasi Lionheart yang dikerahkan ke Turki adalah pasukan yang berupaya dalam semua aspek yang bersedia untuk menghulurkan bantuan pada waktu-waktu mendesak.
"Syabas dan selamat pulang Wira kami!" kata Dr Faishal lagi.
MASYARAKAT TURKI BERTERIMA KASIH
Menyifatkan gempa bumi itu sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Turki, Encik Gonenli berkata kerosakan yang dialami "terlalu besar untuk ditanggung sesebuah negara".
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada SCDF atas bantuan yang dihulurkan.
"Di Turki, mereka menyelamatkan nyawa. Orang ramai memeluk para anggota SCDF sebelum mereka berangkat pulang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka," kata Encik Gonenli.
Antara mereka yang menantikan kepulangan kontinjen itu ke Singapura adalah kira-kira 20 anggota masyarakat Turki.
Jale Akin, yang sudah menetap di Singapura selama empat setengah tahun, berada di lapangan terbang bersama suami dan dua rakannya dari pukul 4.00 pagi.
Suri rumah itu berasal dari Iskendurun, sebuah bandar yang terjejas oleh gempa itu, dan semua rakan serta sanak saudaranya masih menetap di sana.
"Kami kehilangan ramai anggota keluarga dalam gempa bumi itu," katanya kepada Mediacorp sambil menahan air mata.
Memegang sejambak bunga anggerik, Cik Akin berkata ia penting baginya untuk mengucapkan terima kasih kepada kontinjen SCDF secara peribadi.
"Hati saya amat luluh untuk melihat semua keluarga kehilangan orang tersayang dan rumah mereka serta segala-galanya," ungkapnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.