Kontinjen kenderaan NDP tampilkan peserta berbilang generasi
Kemeriahan dan kehangatan sambutan ulang tahun Singapura ke-54 sudah dapat dirasakan sejak beberapa minggu lalu.
SINGAPURA: Kemeriahan dan kehangatan sambutan ulang tahun Singapura ke-54 sudah dapat dirasakan sejak beberapa minggu lalu.
Tahun ini, acara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) kembali ke Padang sempena memperingati sejarah Singapura sepanjang 200 tahun lalu.
Tahun 2015 adalah kali terakhir NDP diadakan di Padang, tempat yang menyaksikan pelbagai detik penting dalam sejarah Singapura.
Pada 9 Ogos nanti, pelbagai acara dan kontinjen yang tidak pernah dilihat sebelum ini ditampilkan, termasuk kembalinya kontinjen kenderaan yang turut memberi penghormatan kepada Generasi Merdeka.
Tahun ini menandakan tahun ke-50 sejak kontinjen kenderaan muncul buat pertama kali di Padang pada NDP 1969.
Sejajar dengan tema Singapura Kita, kontinjen kali ini menampilkan peserta daripada pelbagai generasi.
Sejarah tercipta dengan 171 aset dipamerkan dari SAF, SPF dan SCDF.
94 daripadanya adalah kenderaan baru atau sudah dipertingkat.
Konvoi tahun ini sepanjang 1.3 km.
Ia dijayakan 646 peserta dengan bantuan 415 kakitangan sokongan.
Segmen perarakan kenderaan itu hanya mengambil masa sekitar 14.5 minit tetapi persiapan dan sesi latihannya, mengambil masa sekitar 82,000 jam!
Ini bermakna, jarak yang sudah ditempuh kesemua kenderaan terbabit sudah mencecah hampir 4,300 km.
Antara kenderaan terbaru tahun ini adalah kenderaan berperisai generasi baru Angkatan Bersenjata Singapura, iaitu Kenderaan Penggempur Berperisai Hunter.
Kenderaan Hunter tersebut boleh dipandu selaju 70 km/j dan menembak sasaran pada jarak 500 km.
Ia memerlukan tiga pegawai untuk mengendalikannya, selain komander, pemandu dan penembak.
Angkatan Udara Republik juga memiliki kenderaan baru - Sistem Peluru Berpandu Darat-ke-Udara Aster-30.
Kenderaan itu mampu memusnahkan pesawat perang dari jarak 70 km dan boleh beroperasi dalam apa juga keadaan cuaca.
Bukan itu sahaja buat pertama kalinya, aset tentera laut juga dipamerkan dalam kontinjen kenderaan, seperti Bot Penggempur Combatant Craf Medium.
Dengan kelajuan 40 batu nautika sejam, kenderaan itu boleh membawa sehingga 15 penyelam.
Kontinjen Kenderaan akan dibawa ke kawasan kejiranan pada 10 Ogos melalui Bishan, Geylang Serai, Jurong East, Punggol dan Woodlands.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.