Skip to main content

Singapura

Konspirasi penetapan harga di Amerika: Teo Siong Seng ambil cuti ketidakhadiran dari SBF

Anggaran Waktu Membaca:
  Konspirasi penetapan harga di Amerika: Teo Siong Seng ambil cuti ketidakhadiran dari SBF

Encik Teo Siong Seng, Pengerusi SBF. (Gambar fail: CNA/Liew Zhi Xin)

Diterbitkan : 22 May 2026 08:20PM Dikemas Kini : 22 May 2026 08:21PM
SINGAPURA: Eksekutif perkapalan Teo Siong Seng, yang dituduh bersubahat untuk mengehadkan pengeluaran dan menetapkan harga kontena kering, akan mengambil cuti ketidakhadiran seketika daripada jawatan beliau di Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Pasukan Petugas Ketahanan Ekonomi Singapura (SERT) dan Enterprise Singapore, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Jumaat (22 Mei).

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan pihak Mediacorp, MTI menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan oleh Encik Teo bahawa keputusan beliau untuk mengambil cuti itu adalah bagi "menumpukan perhatian untuk menangani pertuduhan oleh Jabatan Keadilan AS".

MTI menambah bahawa pihaknya “tidak dapat mengulas lanjut memandangkan proses undang-undang di Amerika Syarikat masih berjalan”.

Encik Teo menjadi pengerusi SBF pada Mei 2025. Sebagai pengerusi SBF, beliau menganggotai SERT, yang ditubuhkan tahun lalu untuk membantu perniagaan dan pekerja menangani kesan daripada cukai tarif Amerika Syarikat.

Encik Teo, yang merupakan CEO dan pengerusi syarikat Hong Kong, Singamas Container Holdings, adalah salah seorang daripada tujuh eksekutif daripada syarikat pembuatan kontena perkapalan yang dinamakan oleh Amerika Syarikat dalam konspirasi penetapan harga tersebut.

Pakatan sulit yang didakwa itu berlangsung selama lebih empat tahun, iaitu dari November 2019 sehinggalah sekurang-kurangnya Januari 2024.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyatakan bahawa akibat daripada konspirasi tersebut, harga kontena perkapalan standard melonjak dua kali ganda antara tahun 2019 dan 2021.

Hal ini meningkatkan keuntungan pengeluar kontena sebanyak kira-kira 100 kali ganda semasa pandemik COVID-19 dan krisis rantaian bekalan global.

Dokumen mahkamah menunjukkan beberapa hari selepas satu mesyuarat pada Disember 2019 antara individu-individu yang didakwa bersubahat itu, seorang eksekutif Singamas melaporkan kepada Encik Teo bahawa beliau mengingatkan yang lain “supaya tidak menarik perhatian kerana ia mungkin melanggar undang-undang monopoli atau dituduh memanipulasi harga oleh pelanggan kami”.

Encik Teo didakwa menulis maklum balas kepada laporan eksekutif tersebut mengenai mesyuarat itu bahawa “kita juga perlu mengambil pendekatan tidak menonjolkan diri”.

Apabila seorang lagi ahli lembaga pengarah Singamas menyatakan dalam e-mel bahawa perbincangan tersebut “kelihatan seperti anti-persaingan” dan mencadangkan agar rantaian e-mel itu dipadamkan,

Encik Teo didakwa membalas: “Ya, saya juga rasa perkara yang sama”.

Selain Singamas, syarikat lain yang didakwa terlibat dalam konspirasi itu ialah China International Marine Containers (Group), Shanghai Universal Logistics Equipment Co (yang memiliki Dong Fang International Containers), dan CXIC Group Containers Co.

Pengarah Pemasaran Singamas, Vick Nam Hing Ma, ditangkap di Perancis pada 14 April lalu.

Proses ekstradisi beliau ke Amerika Syarikat kini masih tertangguh.

Individu lain yang dituduh termasuk bekas presiden dan ketua eksekutif CIMC, Mai Boliang (yang kemudiannya menjadi pengerusi syarikat itu dari Ogos 2020), Naib Presiden CIMC Huang Tianhua, dan Pengurus Besar Pusat Pengurusan Operasi CIMC, Wan Yongbo.

Pengurus Besar Dong Fang, Li Qianmin, dan CEO CXIC, Zhang Yuqiang, turut menghadapi pertuduhan.

Jika didapati bersalah, defendan boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda AS$1 juta (S$1.28 juta) bagi individu, serta denda AS$100 juta (S$128 juta) bagi syarikat korporat.

Jumlah denda tersebut boleh dinaikkan sehingga dua kali ganda daripada jumlah keuntungan yang diperolehi daripada jenayah berkenaan, atau jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa sekiranya jumlah tersebut melebihi had maksimum undang-undang.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita