Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsert tahun baharu 'Let's Celebrate 2025' ukir memori istimewa buat ALYPH dan Munah Bagharib

Buat julung-julung kalinya, konsert sambutan ambang tahun baharu anjuran Mediacorp akan diadakan di OCBC Square, Hab Sukan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, konsert sambutan ambang tahun baharu anjuran Mediacorp akan diadakan di OCBC Square, Hab Sukan Singapura.

Sebelum ini, acara itu diadakan di kawasan Marina Bay untuk beberapa tahun.

Antara yang ghairah untuk beraksi di lokasi dan pentas yang baharu ini ialah ALYPH.

Walaupun pernah beraksi di pentas 'Let's Celebrate' dua tahun lalu, ALYPH berasa lebih ghairah tahun ini kerana lokasi baharu di OCBC Square.

"Saya tidak sabar hendak melihat bagaimana pentas dan kawasannya. Saya anggap ini sebagai sebuah pengalaman yang belum lagi saya alami dan saya tidak sabar," jelasnya.

Pelantun lagu 'Swipe' itu menambah, penonton juga boleh menjangkakan beberapa persembahan lagu-lagunya dalam bahasa Inggeris.

Beliau berharap lagu-lagunya itu dapat membangkitkan semangat dan rasa gembira dalam menyambut tahun baharu.

"Saya lebih fokus kepada pemilihan lagu yang saya akan buat pada malam itu. Sebab acara ini membawa satu tenaga yang lain daripada lain sebab ia melambangkan akhir tahun tetapi juga pembangunan tahun baharu. Jadi pilihan lagu itu penting bagi saya," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Beliau juga akan membuat persembahan dengan penyanyi dan model Iman Fandi buat pertama kalinya.

"Kami berdua akan mempersembahkan medley lagu-lagu saya dan beliau. Di akhir rancangan, kami akan bersama-sama menyanyikan sebuah lagu daripada saya. Ia tentunya sesuatu yang segar dan menyeronokkan," kata ALYPH, 35 tahun.

Selain mereka berdua, konsert 'Let's Celebrate 2025' itu nanti akan turut menampilkan barisan artis termasuk Taufik Batisah, Shigga Shay, Tasha Low dan Regina Song.

Konsert 'Let's Celebrate 2025' akan membuka tirai pada 10 malam namun para hadirin boleh menjangkakan pelbagai kegiatan menarik dan hiburan tanpa henti dari 5 petang lagi pada 31 Disember nanti.

Buat pertama kalinya juga, kemuncak acara iaitu pancaran bunga api pada detik 12 tengah malam juga akan berterusan selama 15 minit, menjadikannya yang paling lama pernah diadakan.

Selain persembahan bakat-bakat tempatan, para penonton akan dihiburkan oleh penampilan ahli silap mata terkenal dari Australia, Cosentino.
(Gambar: Mediacorp)
MUNAH BAGHARIB SERASI DIGANDINGKAN DENGAN JOAKIM GOMEZ

Selama lebih dua jam, konsert itu akan dikemudikan oleh dua orang pengacara iaitu deejay radio 987, Joakim Gomez dan pelakon dan pempengaruh media sosial, Munah Bagharib.

Berkongsi dengan wartawan Syawal Yusoff, Munah berasa teruja diberikan kepercayaan untuk menjadi hos acara itu buat pertama kalinya.

"Selalunya saya tidak ada di Singapura semasa tahun baharu disebabkan tugas. Jadi ini seperti bonus kerana dapat berada di Singapura untuk mengacarakan 'Let's Celebrate'. Sudah tentunya sebuah pesta. Ia akan menjadi sebuah perayaan yang hebat," kata Munah, yang sudah lebih 10 tahun menceburkan diri dalam bidang seni.
(Gambar: Mediacorp)
Meskipun ini kali kedua digandingkan dengan Joakim, Munah berasa cukup serasi dapat bekerjasama dengan personaliti yang cukup berpengalaman itu.

"Saya sudah mengenali beliau untuk beberapa tahun tapi kami tidak pernah bekerja sama-sama. Jadi ia sangat mengejutkan apabila ada keserasian dengan dia (Joakim). Saya dapat belajar banyak hanya dengan memerhatikannya dan bekerja dengannya," jelas Munah yang juga sibuk dengan persiapan sebuah persembahan teater.

Pasangan itu juga digandingkan dalam program nyanyian realiti terbaharu 'I Can See Your Voice' yang akan ditayangkan di Saluran 5 Mediacorp bermula 13 Januari depan.
Acara percuma bagi meraikan sambutan besar-besaran SG60 itu adalah antara 22 sambutan tahun baharu yang diadakan kali ini di pusat bandar dan kawasan kejiranan.

Orang ramai juga boleh menyaksikan 'Let's Celebrate 2025' di mewatch, saluran Youtube Mediacorp Entertainment dan Saluran 5 Mediacorp pada 31 Disember, bermula 10 malam.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh lungsuri lelaman berikut: mediacorp.sg/letscelebrate
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan