Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Konsert Rock Untuk Rakyat 2' kumpul lebih $S171,000 buat mangsa Gaza, melebihi sasaran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah inisiatif untuk menyatukan masyarakat melalui muzik dan menyokong mereka yang berbakat, termasuk bekas pesalah.

Itulah antara tujuan utama konsert 'Rock Untuk Rakyat' anjuran Suara Utara yang kembali buat edisi kedua dan menggegarkan Stadium Woodlands pada Jumaat malam (25 Okt).

Bezanya kali ini, sebuah komponen baharu disertakan dalam acara.

Selain dapat menikmati persembahan lagu-lagu rok dari penyanyi dan penghibur tanah air dan seberang tambak, mereka yang hadir juga dapat memberikan impak yang positif dan membantu golongan yang memerlukan.

Konsert tahun ini adalah hasil kerjasama Pertubuhan-Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Woodlands dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Hasil dari pengumpulan dana dari konsert itu disalurkan sepenuhnya kepada RLAF bagi menyediakan bantuan kemanusiaan untuk mangsa perang di Gaza.

(Gambar: Suara Utara)

JUMLAH DIKUMPULKAN LEBIH DARI SASARAN

Sambutan buat konsert tahun ini juga cukup memberangsangkan sehingga menarik lebih 700 penonton.

"Pada 2022, itu adalah pertama kali kita buat konsert Suara Utara iaitu selepas pandemik COVID-19. Jadi ramai yang waswas dan khuatir jikalau mereka boleh hadir atau tidak tetapi kali ini, kita dapat lebih ramai sambutan berbanding konsert yang lepas iaitu dalam lebih 700 penonton. Saya percaya muzik dapat menyatukan semua rakyat, " kata Anggota Jawatankuasa Suara Utara, Deanna Manto.

Jumlah dana yang dikumpulkan juga lebih daripada sasaran awal.

Secara keseluruhan, sebanyak S$171,565.92 dikumpulkan.

"Saya sangat terharu kali ini konsert kita dapat membuat sesuatu dengan kerjasama dengan RLAF iaitu dengan kutipan lebih daripada S$171,000.

"Kita menjangkakan mungkin dalam $150,000 tetapi kita mendapat lebih daripada itu. Jadi ini adalah satu yang agak baik, menunjukkan bahawa rakyat Singapura di sini bersatu untuk menolong sesama insan," kongsi Cik Deanna.

(Gambar: Suara Utara)
Ia juga merupakan usaha pertama seumpamanya oleh GRO Woodlands untuk menyokong usaha RLAF.

Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar juga hadir bagi menyokong usaha itu.

"Kali ini kita hendak adakan sebuah konsert rok sekali lagi tetapi kali ini kita mahu sesuatu yang lebih bermakna jadi kita tambahkan komponen amal.

"Memang ramai orang sekarang yang mengambil berat tentang apa yang sedang berlaku di Gaza. Jadi kami fikir, mengapa tidak kami cuba dan melakukan sesuatu untuk membantu mereka di Gaza dan mengumpulkan dana untuk bantuan kemanusiaan untuk mereka di Gaza," kata Cik Mariam.
(Gambar: Suara Utara)

AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA, BERI MAKLUMAN

Pihak penganjur juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan acara berjalan dengan lancar dan elak sebarang gangguan yang tidak diingini.

"Saya rasa mereka yang datang semua faham yang mereka ingin menikmati konsert dan ingin berada dalam persekitaran yang selamat. Bagi mereka yang hadir, kami sudah memberikan makluman mengikut piawaian Kementerian Dalam Negeri (MHA) menerusi SMS dan di media sosial.

"Apa yang mereka boleh lakukan dan tidak boleh lakukan seperti jangan menggunakan baju yang ada lambang atau bendera (Palestin). Jadi kami beri peringatan kepada semua yang datang," kongsi Cik Mariam.


Selain mengumpulkan dana, konsert itu juga diadakan untuk memperkasa inisiatif Suara Utara untuk menyediakan program-program yang memberi platform kepada para penduduk untuk berkongsi bakat mereka.

Mereka juga mendapat bimbingan daripada mereka yang berpengalaman dalam industri.

Konsert kali ini menampilkan persembahan oleh para artis termasuk Aweera, Fuad Rahman dan Eiss Ismail.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan