Konsert pertama Extra-Ordinary Stars, tampil golongan kurang upaya, artis tempatan & antarabangsa
(Gambar: DFW Creative) Danial Bawthan atau 'Wheelsmith'
SINGAPURA: Dalam dunia yang semakin rencam, barisan artis dan individu dari Extra-Ordinary People, Institusi Bertaraf Awam (IPC) tampil untuk menyebarkan rasa ihsan dan keprihatinan terhadap golongan kurang upaya dan kurang bernasib baik.
Ini melalui konsert Extra-Ordinary Stars yang diadakan di The Star Performance Arts Centre pada Jumaat malam (1 Dec).
Konsert selama dua jam itu menampilkan artis-artis dalam dan luar negara yang berkongsi pentas dengan para belia yang berkelainan upaya.
Antara yang membuat persembahan adalah ahli silap mata terkemuka Cyril Takayama, pemenang Project Supertar, Kelvin Tan dan penyanyi rap Melayu, Danial Bawthan, yang lebih dikenali menerusi nama pentasnya, Wheelsmith.
Bertemakan 'Memberi inspirasi kepada golongan kurang upaya dan kurang berkemampuan untuk kecapi impian," konsert itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik untuk mencapai impian dan berdikari.
Dana tersebut akan dijadikan sebagai pemacu untuk mereka menonjolkan bakat dan merealisasikan impian mereka. Para belia akan melalui latihan khas dan diberi peluang dan bantuan sepanjang hayat.
GURU TARI TABUR BAKTI, LATIH BELIA KURANG UPAYA
Guru tari dari ENF Entertainment dan BIGDREAM Works, Mohammad Ridzwan Rashid yang bertanggungjawab melatih belia kurang upaya dari APSN Chaoyang School terkesan dengan persembahan oleh anak muridnya.
"Persembahan yang membawa makna yang mendalam dalam hati saya adalah persembahan dari APSN Chaoyang School. Ini adalah kolaborasi dengan tiga kumpulan aktiviti ko-kurikular (CCA), iaitu tarian, ahli muzik dan koir yang memaparkan pelajar yang menonjolkan minay dan bakat dalam seni persembahan," kata Encik Ridzwan.

"Dengan keadaan pembelajaran yang berbeza-beza, persiapan untuk persembahan ini bermula awal. Tiga kumpulan CCA yang berbeza harus menyiapkan rutin yang akan selaras antara satu sama lain.
"Bekerja dengan lagu-lagu bertema Disney, para jurulatih harus berbincang dan bersetuju dalam pilihan lagu yang menumpukan kepada semangat daya bingkas, kemajuan dan keghairahan," tambah Encik Ridzwan.
Namun menurutnya cabaran yang paling besar adalah untuk membimbing sekitar 180 pelajar untuk membuat persembahan secara bersatu di atas pentas.
Beliau mereka koreografi untuk persembahan 'A Friend Like Me' daripada siri animasi 'Aladdin' dan 'Zero to Hero' dari animasi Hercules.

Konsert Extra Ordinary Stars itu adalah konsert pertama seumpamanya di Singapura yang menggabungkan artis-artis dan mereka yang kurang upaya.
Pengasas bersama dan Pengarah Extra-Ordinary People, Wee Boo Kuan berkata pihaknya harus memikirkan cara terbaik untuk menyatukan mereka dalam satu pentas.
"Kami harus mengenal pasti rakan-rakan kongsi dan artis yang benar-benar mempamerkan tujuan amal serta visi kami untuk mengetengahkan masyarakat yang lebih inklusif. Akhir sekali adalah kebolehan pasukan kami untuk menyesuaikan keupayaan dan kekuatan individu yang unik untuk memastikan konsert ini berjaya," kata Encik Wee.

"Bahagian belakang pentas perlu ada persediaan tertentu untuk membolehkan persembahan dijalankan. Misalnya, dalam persembahan 'Our Local Heroes', perlu ada tanjakan dan lif mengikut spesifikasi tertentu.
"Juga set berkenaan dan 'flow' perlu direka dengan mengambil berat tentang golongan kurang upaya. Setelah seseorang itu ada pemikiran inklusif dan niat yang betul, kesemua cabaran fizikal ini boleh diatasi," tambah Encik Wee.
Konsert 'Extraordinary Stars' dan 'An Extraordinary Celebration' ada sebahagian daripada huraian inovatif
untuk melakarkan hala tuju bagi individu berkeperluan khas hidup berdikari melalui bakat mereka dalam seni persembahan.
"Bagi 'An Extraordinary Celebration' kami menyatukan pelajar kurang upaya dan aliran normal untuk membuat persembahan bersama dalam auditorium di peringkat nasional. Buat 'Extraordinary Stars', kami mempertingkat usaha ini di peringkat antarabangsa," kata Encik Wee.
Beliau berharap dengan usaha ini akan juga memberi pendedahan kepada bakat luar biasa tempatan ke luar negara dan menjadi sebahagian daripada ekonomi gig.
Dana yang dikumpulkan pada malam itu akan disalurkan antara tiga pertubuhan, Extra-Ordinary People, Happee Hearts Movement dan persatuan YMCA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.