Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsert Persada Budaya: 500 penonton dihiburkan lagu malar segar

Ruang bagi meningkatkan kehadiran artis setempat, kumpulan budaya, kumpulan seni menunjukkan bakat bagi terus melestarikan budaya Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ruang bagi meningkatkan kehadiran artis setempat, kumpulan budaya, kumpulan seni menunjukkan bakat bagi terus melestarikan budaya Melayu.

Persada Budaya di Wisma Geylang Serai (WGS) diharap dapat menyemarakkan lagi landskap seni di sini.

Sebanyak 19 lagu pelbagai genre yang disampaikan dalam Konsert Persada Budaya di Wisma Geylang Serai semalam (28 Jan). 

Seramai 500 penonton dihiburkan pelbagai lagu malar segar yang dipersembahkan Orkestra Melayu Singapura serta artis-artis tempatan.

Konsert percuma itu bukan sahaja meraikan meraikan genre dan keindahan muzik tradisional Melayu tetapi juga platform untuk bakat-bakat tempatan menyerlahkan bakat mereka.

"Saya bangga melihat kita dapat menampilkan bukan saja artis-artis mantan kita, artis-artis veteran kita seperti Rahimah Rahim dan Zubir Abdullah. Tapi kita juga mempamerkan kebolehan dan bakat anak-anak muda kita. 

"Harapan saya ialah kita terus memberi peluang kepada mereka. Saya harap Persada Budaya di Wisma Geylang Serai ini terus jadi platform atau wadah untuk anak-anak muda kita datang ke mari mempersembahkan bakat-bakat mereka, menonjolkan bakat-bakat mereka tidak kira genre mereka," kata Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim  pula berkata: "Saya berasa gembira kerana dengan adanya landasan seperti ini dan juga program-program yang kita lakarkan, kita dapat melihat bagaimana bakat-bakat kita daripada mereka yang berkecimpung dalam nyanyian, tarian, dikir barat dan lain-lain mereka dapat memberikan satu nafas budaya dan juga kesenian Melayu di Singapura ini di landasan WGS."

Dr Muhammad Faishal berkata WGS akan terus melakarkan pelbagai program yang dapat menyumbang kepada pembangunan seni, budaya dan kesusasteraan kita di sini. 

Dalam pada itu, Dr Faishal yang merupakan Penasihat Utama WGS turut berkongsi tentang sambutan bazar Ramadan yang bakal diadakan. 

Menurutnya, maklum balas yang diterima menggalakkan dan ramai yang ghairah untuk berniaga dan membeli belah apabila ia dibuka kelak.

Beliau berkongsi bahawa pihaknya bersama dengan pengendali bazar ini sedang bekerja keras di belakang tabir bagi menyediakan pengalaman yang terbaik bagi semua.

Dr Faishal berkata gerai-gerai yang disediakan akan dapat memenuhi keperluan penyewa dan kekal dimampui.

"Kita menyediakan pelbagai pilihan. Ada yang gerai-gerai kecil kepada gerai-gerai yang lebih besar. Jadi gerai-gerai kecil kita boleh jangkakan sewanya mungkin satu bulan $2,000, 36 hari $2,000 dan kalau kita ambil yang besar mungkin lebih tinggi tapi kita mahu menyediakan landasan yang boleh dimampui oleh semua lapisan syarikat ataupun pengendali gerai-gerai ini.

"Yang penting, bagaimana kita boleh mendatangkan kebaikan kepada semua pihak. Bukan mudah tetapi dengan adanya cabaran-cabaran seperti pasca COVID ini dan juga kenaikan kos yang kita lihat di merata dunia, bagaimana kita boleh mendapatkan keseimbangan dari segi kos," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan