Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota hiburkan 10,000 peminat; cipta rekod baharu Buku Rekod
Ratu Rock Ella mencipta sejarah dan dimasukkan dalam Buku Rekod Singapura sebagai artis solo Malaysia pertama dengan penjualan tiket terbanyak dalam masa dua jam.
SINGAPURA: Ratu Rock Ella mencipta sejarah dan dimasukkan dalam Buku Rekod Singapura sebagai artis solo Malaysia pertama dengan penjualan tiket terbanyak dalam masa dua jam.
Ia ternyata satu kenangan 'Istimewa' buatnya dan hadiah bermakna sempena ulang tahunnya ke-57 yang disambutnya baru-baru ini (31 Julai).
Selama dua malam, Ella menghiburkan peminatnya dalam konsert "Sold Out" Jilid Akhir Ella Puteri Kota' yang berlangsung selama dua malam (17 dan 18 Ogos) di The Star Theatre.
Kira-kira 10,000 peminat setia tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan eksklusif legenda tersebut.
Mereka membentuk lautan merah-hitam di konsert itu, mengikut kod warna pakaian yang diminta oleh pihak penganjur konsert.
Ramai juga yang datang memakai jaket kulit dan skaf bandana untuk menghidupkan lagi tema rock pada dua malam tersebut.
PEMINAT TERBANG KE SG UNTUK SAKSIKAN KONSERT ELLA
Selain peminat dari Singapura, ada juga yang datang dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Bahkan ada yang sanggup membeli tiket untuk kedua-dua malam persembahan dan bayaran tambahan buat sesi 'Meet-and-Greet' bersama idola mereka itu.
Di samping merayakan kerjaya gemilang Ella selama 35 tahun dalam industri muzik, para peminatnya juga meraikan ulang tahun penyanyi pujaan mereka itu.
Selama tiga jam, para peminat dibawa menyusuri ‘Layar Impian’ dengan 30 buah lagu popular Ratu Rock itu.
"Saya rasa amat gembira dan terharu. Saya juga terperanjat dan saya kagum dengan Singapura yang sangat luar biasa. Tentunya penyertaan penonton dengan saya juga luar biasa, dan juga lagu-lagu yang dinyanyikan - mereka menyanyi-bersama dan juga setiap gerak-geri mereka membuat saya sangat terasa dan terharu," luah Ella kepada BERITA Mediacorp.
Selain stamina menyanyi yang hebat, Ella atau nama sebenar, Nor Zila Aminuddin juga ligat menari dan berjaya menguasai pentas bagi menghiburkan penonton.
Hasilnya, lagu-lagu ikonik seperti 'Permata Biru' dan 'Sepi Sekuntum Mawar Merah' menjadi 'Penawar' 'Rindu' buat para peminat setia.
Konsert pada malam kedua juga menyaksikan kemunculan istimewa Amy Search, yang disambut sorakan luar biasa para penonton.
Ella juga menyanyi duet bersama suaminya, Azhar Husaini Ghazali.
Pada malam pertama, Ella juga bergandingan dengan anak saudaranya penyanyi, Kaka Azraff.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.