Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsert inklusif terbesar S'pura kembali selepas dua tahun

Selepas menunggu dua tahun, impian Cheong Nur Fadisha Qistina dan Mohamad Dahny Mikhail Mohamad Nazree untuk beraksi di atas pentas sekali lagi, akhirnya tercapai.

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert inklusif terbesar S'pura kembali selepas dua tahun

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Selepas menunggu dua tahun, impian Cheong Nur Fadisha Qistina dan Mohamad Dahny Mikhail Mohamad Nazree untuk beraksi di atas pentas sekali lagi, akhirnya tercapai.

Kedua-duanya yang berusia 13 tahun dari Sekolah Perikatan Palsi Serebrum Singapura (CPAS) bukan sahaja akan bernyanyi malah menjadi hos bersama pengacara dan personaliti Melissa Sidek, sepanjang konsert Extra•Ordinary Celebration tahun ini.

"Menakjubkan kerana mempunyai peluang untuk membuat persembahan di pentas yang besar adalah peluang yang terbaik dan perasaan yang baik," kata Dahny.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Qistina dan Dahny mula menyertai konsert anjuran pertubuhan amal Extra•Ordinary People itu sejak ia pertama kali dianjurkan pada 2018.

Namun, apabila COVID-19 melanda dan konsert itu terpaksa dibatalkan, kedua-duanya berasa sedih dan kecewa.

"Saya suka mendengar suara saya melalui mikrofon bila saya menyanyi. Saya harap untuk menjadi seorang penyanyi apabila saya dewasa," kata Qistina.

"(Menyanyi) adalah cara terbaik untuk mengekspresikan diri dan memberi lebih keyakinan," ujar Dahny pula:

Justeru, apabila konsert tahun ini diumumkan semula, kedua-duanya gigih berlatih untuk persembahan satu malam itu.

Kali ini, mereka akan membawakan lagu-lagu klasik medley kumpulan ABBA seperti 'Super Trouper' dan 'I Have A Dream' yang membuka tirai konsert pada Rabu (16 Nov).

PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN TURUT DISAJIKAN

Selain persembahan muzik, konsert satu jam setengah itu turut menyajikan persembahan berunsur kebudayaan seperti silat yang cukup bertenaga daripada para pelajar APSN Tanglin.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Turut berasa ghairah berpeluang membuat persembahan ialah pasangan teman rapat, Lily Nadyra Suhaimi dan Soffiyah Wafiqah Mahmood, 16 tahun.

Kedua-duanya yang sudah mempelajari silat sejak berusia 13 tahun lagi teruja untuk menunjukkan kehandalan mereka di atas pentas.

"Saya rasa sangat bahagia kerana ini bukan pertama kali saya membuat persembahan di dalam konsert ini. Saya sudah membuat persembahan empat tahun dulu pada 2018," kata Lily yang juga mempunyai saudara kembar berkongsi pentas dalam persembahan yang sama.

(Gambar: Syawal Yusoff)

GABUNGAN PESERTA PELBAGAI SPEKTRUM

Lebih 350 peserta menjayakan konsert tahun ini.

Selain peserta daripada sekolah-sekolah pendidikan khas (SPED), para pelajar daripada sekolah aliran utama juga turut serta menyokong persembahan-persembahan ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Edisi ke-empat konsert terbesar bagi menggalak dan meraikan sikap inklusif itu kembali diadakan secara fizikal di Pusat Budaya Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Menurut penganjur, konsert tahun ini juga lebih interaktif kerana turut melibatkan penonton.

Presiden Singapura, Halimah Yacob hadir sebagai tetamu kehormat.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa