Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsert 'Gita Raga' saji lagu-lagu dengan lirik puisi penulis mapan

Memberi penghormatan kepada karya-karya tokoh dunia kesusasteraan Melayu tempatan dalam bentuk lagu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memberi penghormatan kepada karya-karya tokoh dunia kesusasteraan Melayu tempatan dalam bentuk lagu.

Konsert 'Gita Raga' yang diadakan sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) bakal mempersembahkan lagu-lagu hasil lirik puisi para penulisan mapan seperti Allahyarham Mohamed Latiff Mohamed dan Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad.

Antaranya ialah lagu 'Larilah Jika Boleh' yang bersandarkan puisi bapa sastera Melayu, Allahyarham Dr Masuri S.N.

Lebih enam dekad kemudian, ia diberi nafas baru hasil sentuhan kreatif pemuzik tempatan dan bekas anggota kumpulan 'Lovehunters', Moliano Rasmadi.

"Kalau biasanya Pak Mol buat lagu, lirik datang kemudian. Kita buat lagunya dulu baru kita sesuaikan dengan seni kata. Tapi kali ini agak satu cabaran buat Pak Mol. Ini pertama kali Pak Mol buat lagu, lirik sudah siap, puisi dah siap. Kemudian Pak Mol kena letak melodi, itu yang susah," kata Moliano, yang pertama kali terlibat dalam acara SWF.

Lagu itu akan dinyanyikan Olynn Saleh.

"Maknanya sungguh mendalam. Tapi saya rasa ia juga memberi satu kesedaran pada saya. Kalau kita rasa macam terperangkap begitu kan jadi kita mesti pandai cari jalan untuk lari. 

"Kita bukan sahaja menyanyi, kita harus menghayati liriknya, jadi daripada situ baru kita dapat persembahkan dengan baik," ujar Olynn, yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang nyanyian.

Beliau akan juga menyanyikan lagu dari Lovehunters dan Nuradee.

Konsert di Panggung Victoria itu turut membariskan persembahan artis-artis legenda dan muda tanah air seperti Jatt Ali, Hanafie Warren dan Ryzall Noh.

Moliano yang lebih dikenali sebagai pemuzik lagu-lagu rok, menjanjikan penampilan berbeza yang belum pernah dilihat sebelum ini.

"Penonton-penonton boleh menjangkakan sebuah konsert yang lain daripada yang lain," kata beliau.

(Gambar: Syawal Yusoff)

KENALI KARYA-KARYA SASTERAWAN MENERUSI LAGU

Satu lagi karya menarik milik penulis dan sasterawan, Profesor Madya (AP) Hadijah Rahmat.

Puisi bertajuk 'Suara Dari Celah Batu’ yang ditulis pada 1981 itu juga diberi nafas baru dan disampaikan Aqmal N.

"Puisi ‘Suara Dari Celah Batu’ itu merakamkan rasa kesepian, rasa terpinggirnya masyarakat yang hidup dalam rumah pangsa. Jadi cukup dalam maknanya itu, penderitaan masyarakat.

"Bila saya dengar interpretasi yang dilakukan oleh Aqmal N, saya gembira juga sebab intensiti emosi itu ada dalam lagu tersebut," kata beliau.

Sebagai sasterawan, beliau sangat mengalu-alukan usaha di mana karya  seninya ditafsirkan dalam bentuk berbeza.

Sejak 1998, sekurang-kurangnya 15 karyanya sudahpun ditafsirkan ke dalam bentuk lagu.

"Lagu mempunyai satu tarikannya yang sendiri. Dia mudah untuk memikat pendengar. Untuk mengikuti, menghayati sesuatu teks tersebut. Mudah dan ini tidak memerlukan daya pemikiran yang tinggi.

"Lagu cara yang mudah untuk merakyatkan karya dan memberikan impak yang lebih mendalam, lebih berkesan dan berkekalan pada masyarakat," tambahnya. 

AP Hadijah turut memuji usaha penganjur untuk menarik masyarakat, khususnya golongan muda untuk menikmati dan menghargai keindahan dunia kesusasteraan Melayu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ini adalah usaha yang positif dan harus digalakkan. Mudah-mudahan itu adalah satu langkah yang akan terus menyedarkan pembaca, masyarakat kita yang muda ini untuk membaca dan meneliti dan akhirnya menghargai warisan, penulisan sastera kita yang cukup kaya, yang cukup indah, yang harus kita banggakan," jelas AP Hadijah.

Konsert selama sejam itu akan menampilkan persembahan 12 buah lagu dan lima deklamasi sajak.

Konsert 'Gita Raga' akan berlangsung pada Sabtu (5 Nov) jam 8 malam.

Tiket-tiket berharga antara S$25 hingga S$45 boleh didapatkan di SISTIC.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan