Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsert amal Projek Kasih berjaya kumpul lebih S$1.27j

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Edisi ke-10 konsert amal Projek Kasih berjaya mengumpul S$1,277,130, melepasi sasaran awal yang ditetapkan Persatuan Ain iaitu sebanyak S$700,000.

Konsert amal tahun lalu meraih kutipan dana sebanyak S$1,485,281.

Konsert selama dua jam di Teater Mediacorp pada Jumaat (10 Jan) itu turut diserikan dengan kehadiran Penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Haji Md Yusof Ismail, menyatakan keyakinannya terhadap sikap murah hati masyarakat Singapura,

 
(Gambar: Persatuan Ain)
"Kita memang yakin akan sikap murah hati masyarakat Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam. Selagi badan amal menganjurkan pungutan dana dengan niat murni untuk membantu mereka yang memerlukan," kata Dr Haji Md Yusof.

Beliau juga menegaskan bahawa ketelusan dalam pengurusan dana amat penting bagi memastikan sokongan berterusan daripada masyarakat.

"Sekiranya badan amal itu sendiri mengamalkan sikap telus dan terbuka dalam pentadbiran dana, masyarakat kita meski dalam berhati-hati, tetap ingin memberikan sumbangan mereka dan menyokong apa jua tujuan murni. Lebih-lebih lagi ketelusan itu begitu ketara sekali," tambah beliau.

Sumbangan terbesar yang diterima oleh Persatuan Ain dalam konsert amal tahun ini datang daripada Sunny Low Dance Production Studio, yang menyumbang sebanyak S$360,000 kepada organisasi tersebut.

Konsert tahun ini, yang mengangkat tema "Rapuh, Setitis Ihsan Segunung Harapan", bertujuan menekankan bagaimana rasa ihsan dapat memberikan harapan kepada pesakit barah yang sedang melalui kesusahan dan kedukaan.

Personaliti terkenal, Marina Yusoff dan Khairudin Saharom, sekali lagi berganding sebagai pengacara.

"Kita sebagai masyarakat ibarat aur dengan tebing. Kekuatan kita terletak pada bagaimana kita menyokong dan mengangkat mereka yang lemah,"kata Khairudin.

Beliau menambah bahawa Projek Kasih tahun ini memberikan impak yang lebih mendalam dan berbeza berbanding tahun-tahun lalu.

"Ia menyentuh hati kerana menampilkan bagaimana penyakit barah tidak mengenal usia, bangsa, atau taraf. Kami tahun ini mempersembahkan kisah-kisah yang sangat menyentuh, daripada kanak-kanak hingga warga emas yang turut terkesan dengan cabaran kesihatan ini," kata Khairudin lagi..
 
(Gambar: Persatuan Ain)
(Gambar: Persatuan Ain)
Penyanyi terkenal, Ziana Zain, meluahkan rasa syukur dan terima kasih kerana diundang untuk membuat persembahan di konsert amal Projek Kasih.

"Saya memang suka buat acara sebegini terutama sekali untuk mengumpul dana bagi mereka yang memerlukan. Ini untuk meningkatkan kesedaran kepada semua di mana kita sebenarnya, kita duduk makan senang, pergi mana-mana senang, buat perubatan pun masih mampu," ujar Ziana.

Beliau turut menekankan pentingnya acara ini dalam memberi sokongan kepada pesakit barah.

"Acara ini membuka kepada semua untuk menderma untuk mereka yang menghidapi barah, dan ini salah satu acara yang dapat mengurangkan beban. Ini bukan sahaja mengutip derma tetapi memberitahu para pesakit barah bahawa kita juga prihatin terhadap mereka dan mereka tidak disisir, dan dengan sumbangan yang telah diberikan, ini menunjukkan yang kita mengambil berat," kata Ziana lagi.
 
(Gambar: Persatuan Ain)

Kutipan derma boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:
1) Paynow ke UEN: T00SS0163F
2) Lelaman: aindonate.sg/pk25

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan