Skip to main content

Singapura

Konsert amal Projek Kasih berjaya kumpul lebih S$1.18 juta

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Edisi ke-11 konsert amal Projek Kasih berjaya mengumpul derma sebanyak S$1,186,458 setakat Jumaat malam (16 Jan).

Jumlah yang dikumpul itu melepasi sasaran awal yang ditetapkan Persatuan Ain iaitu sebanyak S$850,000.

Namun, kutipan dana itu kira-kira 20 peratus lebih rendah daripada jumlah yang diraih semasa konsert amal tahun lalu iaitu sekitar S$1.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail berkata: "Alhamdulillah, masyarakat Singapura memang kita tahu pemurah walaupun berhati-hati, tetapi kemungkinan besar mereka sudah melihat akan khidmat yang Persatuan Ain berikan kepada pesakit barah dan keluarga mereka."

Jumlah kutipan itu juga dijangka meningkat memandangkan saluran derma masih dibuka selepas konsert berakhir.

"Selalunya, sesudah Projek Kasih, nombor dan kod QR masih berterusan hingga ke hujung bulan. Apa yang berlaku selalunya, terdapat penambahan selepas konsert Projek Kasih. Ini lazimnya (berlaku) dari tahun ke tahun kerana ada penderma yang.. menunggu masa yang lebih sesuai (untuk menderma)," kongsi Encik Md Yusof.

Related article image
Penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail (kiri). (Gambar: Persatuan Ain)

Dana yang terkumpul semasa konsert amal itu akan digunakan untuk menyokong para pesakit barah dan keluarga mereka, menerusi perkhidmatan dan program yang dijalankan Persatuan Ain.

Bertemakan "Selaut Kasih, Selangit Sayang", konsert amal tahun ini mencerminkan sokongan berterusan Persatuan Ain kepada pesakit barah dan keluarga mereka.

Usaha itu diperkukuhkan lagi dengan pelancaran kumpulan sokongan "Grieve and Bereavement" oleh Persatuan Ain, bagi menyediakan khidmat khusus buat para penjaga selepas pemergian ahli keluarga mereka akibat barah.

"Kami mengadakan program itu untuk memulihkan semangat mereka meneruskan hidup, untuk mereka kembali bergaul ke pangkuan masyarakat," menurut Encik Md Yusof.

Konsert selama dua jam di Studio Mediacorp pada Jumaat malam (16 Jan) itu turut diserikan dengan kehadiran Penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob.

PERSEMBAHAN PARA ARTIS TERMASUK MIMIFLY

Related article image
Penonton dihiburkan dengan persembahan para artis, termasuk dari seberang tambak, Mimifly. (Gambar: Persatuan Ain) 

Sepanjang dua jam, para penonton dihiburkan dengan persembahan oleh para seniman tempatan termasuk Ramli Sarip, Jatt Ali, Hazrul Nizam, Eka Mairina, Syakirah Noble, kumpulan Nadi Singapura, dan penyanyi muda, Sarah Syazlina.

Cukup istimewa lagi, artis dari seberang tambak Mimifly, juga membuat persembahan khas.

Para penonton juga dibawa menyelami kisah dan perjalanan para pesakit barah oleh hos Khairudin Saharom dan Marina Yusoff, yang menonjolkan ketabahan mereka dalam mengharungi penyakit itu.

Related article image
Persembahan duet oleh Hazrul Nizam dan Eka Mairina. (Gambar: Persatuan Ain) 

Usaha murni itu diharap dapat menyuntik semangat dan harapan kepada pesakit barah dan keluarga mereka, serta menyatukan masyarakat.

Orang ramai masih boleh menderma kepada kempen Projek Kasih dengan cara-cara berikut:

1. PayNow ke UEN: T00SS0163F

2. Lelaman: aindonate.sg/pk26

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita