Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsep unik S. Kadarisman Cafe peringati seniman filem klasik Melayu

S. Kadarisman Cafe di Tembeling Road baru dibuka tahun baru ini dan menawarkan konsep yang unik.

Anggaran Waktu Membaca:
02:01 Min
Ingat lagi bintang filem Melayu lama, S. Kadarisman?  Anda kini boleh melihat pameran khas barang milik peribadi seniman popular itu sambil menjamu selera di kedai makan yang baru dibuka  keluarganya.

SINGAPURA: S. Kadarisman Cafe di Tembeling Road baru dibuka tahun baru ini dan menawarkan konsep yang unik.

Masuk sahaja ke dalam kedai dan para pelanggan akan merasa seakan-akan dibawa kembali ke era kegemilangan filem Melayu tahun-tahun 50-an hingga 60-an dengan reka hiasan dan irama lagu nostalgia yang mengisi ruang kedai makan tersebut.

Dibuka pada 1 Januari 2021, kafe yang diilhamkan keluarga Allahyarham S. Kadarisman itu menyediakan sudut yang dikhususkan bagi mempamerkan barangan milik peribadi pelakon dan pengarah tersebut. Ini termasuk koleksi paip tembakau, alat bantuan pendengaran dan kaca mata beliau.

Pencapaian Allahyarham yang terkenal dengan filem-filem seperti Antara Dua Darjat dan Tiga Abdul, juga dipamerkan.

"Pameran yang ada ini semua peninggalan arwah bapa saya kepada kami adik beradik. Arwah bapa sangat berminat menyimpan paip. Saya rasa paip ini yang menjadi simbolnya. Bila beliau ambil gambar mesti ada paip," kata Cik Khairubi S. Kadarisman.

Menurut cucu Allahyarham Kadarisman pula, Cik Rozeelawati Mohd Amin, idea untuk mengadakan pameran berkenaan disarankan oleh suaminya, Encik Normanshah Omar, pemilik kedai makan S. Kadarisman Cafe sebagai mengenang kembali seniman berbakat besar itu.

Lantas, sambil menjamu selera para pelanggan dapat bergambar bersama barang-barang peninggalan S. Kadarisman yang nama sebenarnya Shahadat Kadarisman Raden Deswaren.

MAKANAN KEGEMARAN S. KADARISMAN DIJUAL

Pelbagai jenis makanan ditawarkan dalam menu kedai makan tersebut termasuk makanan fusion, makanan Melayu, makanan India dan bermacam-macam lagi.

Ini memandangkan kedai makan S. Kadarisman Cafe ini adalah peluasan pada khidmat katering majlis kahwin yang ditawarkan sejak 2004 lagi oleh keluarganya.

Namun, apa yang menonjol ialah para pelanggan juga dapat menikmati makanan kegemaran seniman popular itu yang meninggal dunia lebih 30 tahun lalu.

"Di sini, pelanggan boleh mendapatkan lauk-lauk kegemaran arwah datuk saya termasuk asam pedas yang ada setiap hari, siput sedut dan kuah lemak cili padi. Itu semua kegemaran beliau," kata Cik Rozeelawati.

PEMINAT LUAR NEGARA HARAP DAPAT KE KEDAI MAKAN

Khabar mengenai pembukaan kedai makan S. Kadarisman Cafe bukan sekadar menarik minat di Singapura sahaja.

Malah, para peminat filem-filem Melayu klasik di luar negara juga tidak sabar untuk menjamu selera di kedai makan istimewa tersebut.

Maklumlah, seniman S. Kadarisman bukan sahaja terkenal di Singapura tetapi juga di Kuala Lumpur.

"Sekarang pun dah banyak yang mesej kami di Facebook, Instagram yang kenal arwah Datuk saya. Mereka cakap mereka tak sabar nak datang ke sini untuk tengok kafe kami," kata Cik Rozeelawati.

HARAPAN UNTUK S. KADARISMAN CAFE

Keluarga S. Kadarisman melahirkan harapan menerusi perniagaan mereka akan terus terpahat nama seniman S. Kadarisman sebagai karyawan filem klasik.

"Saya berharap dengan pembukaan kafe yang anak saudara saya mulakan ini, nama arwah bapa kami akan menjadi harum semula," kata Cik Khairubi.

"Saya juga berharap orang-orang di luar sana termasuk para belia kita tahu bahawa arwah bapa saya ini seorang legenda. Beliau boleh melakonkan bermacam-macam watak," tambahnya lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa