Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsep pandu lalu bazar Kampong Gelam diperkenal bagi kurangkan kesesakan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pengunjung dan pegerai di bazar Kampong Gelam mendapati laluan sehala dan konsep "pandu lalu" yang diperkenalkan para penganjur, berjaya mengurangkan kesesakan.

Di samping itu, bazar "Walk Thru Souq 2022" itu juga menggunakan sistem digital bagi mengawal jumlah pengunjung dalam satu-satu masa.

Walaupun pada hari bekerja, suasana di Bazar Ramadan di Kampong Gelam ini tidak kurang meriahnya dengan ramai yang datang berkunjung bagi mencari juadah berbuka sejak dibuka jam 3.00 petang tadi (4 April).

Mereka boleh memilih beraneka pilihan makanan dan minuman dari 22 gerai di bazar kendalian Laloolalang itu.

GERAI-GERAI DIBAHAGIKAN KEPADA 3 ZON

Gerai-gerai itu dibahagikan kepada tiga zon dan pergerakan para pengunjung kini dikawal rapi bagi memastikan mereka patuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19.

--

Para pengunjung hanya boleh mengikut satu haluan sahaja ke arah pintu keluar dan tidak boleh berpatah balik ke zon-zon lain.

Untuk kembali ke zon-zon lain, mereka perlu keluar dan beratur semula di pintu masuk.

Pengarah Projek Laloolalang Encik Den Sabari menekankan bahawa pihaknya amat mengambil berat mengenai tahap keselamatan dan kesejahteraan semua.

--

"Konsep 'Walk Thru Souk' ini amat menarik. Selalu kita dengar pandu lalu. Jadi objektifnya adalah kita mahu orang datang dari zon A jalan ke zon B, jalan ke zon C. Membeli dan terus keluar. Kalau anda lihat tak ada tempat makan atau duduk ataupun meja," ujar Encik Den Sabari.

Selain itu, para pegawai dan duta SafeEntry turut akan memantau aliran trafik para pengunjung.

Sekiranya jumlah pengunjung sudah mencecah jumlah had maksimum, para pengunjung tidak akan dibenarkan masuk buat seketika waktu sehingga ada yang keluar.

SISTEM DIGITAL DIGUNA BAGI PANTAU JUMLAH PENGUNJUNG

Untuk menjaga keselamatan para peniaga dan pelanggan, satu sistem digital juga digunakan untuk memantau jumlah pengunjung di setiap zon.

--

Ini agar mereka dapat mengawal kesesakan dan memantau jumlah pengunjung di sini.

Dengan sambutan yang menggalakkan dan lebih ramai pengunjung yang dijangkakan ke sini dalam minggu-minggu mendatang, Laloolalang akan mengerahkan lebih ramai tenaga kerja, termasuk para pegawai keselamatan.

Tambah Encik Den Sabari: "Bagi kami dalam media sosial, kami mengalu-alukan orang untuk datang tetapi kami menekankan ia adalah acara sebulan. Jangan kelam-kabut, jangan ramai-ramai ataupun rancang hari apa untuk datang. Hujung minggu tentunya ramai orang."

SISTEM BERATUR DIPERKENAL BAGI LICINKAN URUSAN PEMBELI

Para peniaga yang ditemui juga rata-rata akui sambutan yang diterima sejauh ini amat memberangsangkan.

Pelbagai pendekatan juga diperkenalkan bagi melicinkan lagi urusan membeli para pengunjung.

"Kami guna sistem beratur untuk mereka beratur jadi kita dapat mengawal daripada sesak. Jadi beratur tidak sesak. Mereka dapat resit dan mereka dapat tengok nombor dan dari situ mereka mengambil makanan. Dan lagi satu, kita pakai PayNow juga, jadi kita tanpa bayaran tunai," menurut pemilik KREAM, Cik Ikah Jamil.

Bazar di Kampong Gelam itu dibuka hingga jam 11.00 malam setiap hari dan akan berlangsung hingga 1 Mei ini.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan