Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konsep kongsi ruang kerja semakin popular; dirangsang syarikat besar, bukan pekerja asing

Konsep kongsi ruang kerja semakin berubah sedang permintaannya terus meningkat dan bilangan pengendalinya juga semakin bertambah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Oct 2018 08:27PM Dikemas Kini : 14 Oct 2018 08:56PM

SINGAPURA: Konsep kongsi ruang kerja semakin berubah sedang permintaannya terus meningkat dan bilangan pengendalinya juga semakin bertambah.

Laporan berikut meninjau fenomena itu serta bagaimana ia mungkin berkembang pada tahun-tahun akan datang.

Kini terdapat lebih banyak ruang kongsi kerja yang tidak menampilkan ciri-ciri yang lazim dilihat di sebuah pejabat biasa, dengan ruang-ruang sedemikian cuba untuk mencari tukikan masing-masing.

Salah satunya adalah Core Collective yang ingin menyasarkan ruangnya kepada para karyawan kesihatan dan kesejahteraan jasmani.

Di Core Collective, para karyawan boleh menyewa ruang bagi tempoh yang fleksibel, selain mendapat peralatan, kemudahan serta sokongan tambahan.

Seperti Core Collective, Mox di Joo Chiat juga berjaya mencipta tukikan tersendiri sebagai ruang untuk golongan dalam bidang kreatif.

Ia menawarkan kemudahan seperti alat pencetak 3D, perkakas pertukangan, studio menjahit, studio fotografi dan juga ruang runcit.

Menurut Colliers, sejak lewat 2015 hingga hujung Jun tahun ini, bekalan ruang kerja fleksibel naik hampir dua kali ganda.

Ia dijangka meningkat lagi 30 peratus bagi seluruh tahun ini dan 20 peratus pada tahun depan.

Bilangan pengendalinya juga naik seganda sejak 2014 manakala jumlah tempatnya melonjak lebih 80 peratus dalam tempoh yang sama.

Menurut para penganalisis, peningkatan pada permintaan bagi ruang sedemikian sebenarnya dirangsang oleh syarikat-syarikat lebih besar, dan bukan pekerja bebas yang disangkakan ramai.

Syarikat Fave, misalnya, berpindah ke ruang kerja yang dikongsi pada Jun lalu dan menurutnya, ia telah mengurangkan kos sewa sebanyak 30-40 peratus, selain memberikan lebih fleksibiliti.

Sedang permintaan bagi ruang kerja kongsi terus bertambah, para penganalisis menjangkakan lebih banyak akan dibuka di kawasan-kawasan beli-belah memandangkan ruang di kawasan pusat bandar agak terhad.

Malah tahun ini sahaja, empat pengendali sudahpun membuka ruang sedemikian di kawasan Orchard yang secara tradisinya sebuah kawasan beli-belah.

Ada kemungkinan trend itu akan berterusan sedang para pemilik bangunan cuba menangani keadaan pasaran runcit yang semakin hambar.

Namun pada dasarnya, kenaikan populariti ruang kerja sedemikian adalah disebabkan oleh perubahan pada sekitaran pekerjaan sekarang, yang mana lebih ramai pekerja kini lebih mengutamakan soal kesihatan dan inginkan keseimbangan antara tuntutan pekerjaan dengan kehidupan.

Masyarakat yang terbina menerusi ruang-ruang sedemikian juga merupakan satu lagi bonus yang saling memanfaatkan para usahawan.

Dengan bertambahnya ruang sebegini, tidak mustahil sekiranya ia menjadi bahagian penting dalam kehidupan bekerja di zaman moden ini. 

Sumber : CNA/NT/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan