Skip to main content

Singapura

Konsep 'Cloud Kitchen' bantu peniaga F&B luaskan lagi perniagaan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Apabila Cik Bella Khaja memulakan perniagaan makanan sihat "Sehat the Kitchen", beliau tidak terfikir untuk membuka kafe atau kedai secara fizikal.

Sebaliknya, usahawan berusia 36 tahun itu memilih untuk menyewa dapur awan atau 'cloud kitchen' di Jalan Pelikat, Serangoon.

Dapur awan adalah dapur pusat di mana pengendali makanan boleh menyewa ruang untuk menyediakan makanan khusus untuk penghantaran.

Ia juga memberi peluang kepada peniaga baru dan pemain industri makanan dan minuman (F&B) untuk mencuba konsep baru.

Ini lebih-lebih lagi dengan permintaan bagi khidmat penghantaran makanan dalam talian yang meningkat.

Menurut firma penyelidikan Statista, unjuran bagi keuntungan yang diraih sektor penghantaran makanan dalam talian di Singapura pada 2022 adalah sekitar S$668.27 juta.

Ia juga dijangka menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 9.59 peratus menjelang 2027.

Dengan kadar harga sewa kedai fizikal yang kian meningkat, industri dapur awan menjadi antara penyelesaian bagi para peniaga F&B di sini.

MAKANAN 'BESPOKE' PERLUKAN RUANG DAPUR AWAN
Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)
Dapur awan sangat sesuai dengan model perniagaan makanan sihat Cik Bella dan dua rakan niaga yang lain.

"Kalau kita buka kedai, restoran memang orang ramai. Kita dapat mengenali pelanggan yang datang, duduk, sembang. Kita dapat kenal mereka secara rasmi tetapi ‘cloud kitchen’ ini sangat spesifik dan adalah idea perniagaan kami," kata Cik Bella.

Ini juga kerana konsep hidangannya yang 'bespoke' atau yang direka khas bagi pelanggan yang menempah makanan tengah hari dan malam mengikut keperluan diet mereka.

Cik Bella berkata jumlah tempahan yang diterima dalam masa tiga bulan sejak ia beroperasi sangat memberangsangkan.

Ini meskipun harga makanannya agak tinggi.
Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)
"Makanan premium kita bermula daripada S$17 ke atas, memang mahal tetapi saya rasa tak ada harga yang boleh diletakkan pada kesihatan kita. Profil pelanggan kami, ramai yang berusia 28 tahun ke atas - golongan profesional, ibu-ibu yang sukar hendak masak. Jadi ramai juga pelanggan yang hendak turunkan berat badan.

"Di media sosial, pengikut kita lebih dari 1,000. Dari segi pelanggan, ada peningkatan 100 pelanggan dan kita telah mendapat keuntungan yang menjangkau lima angka. Itu menunjukkan bahawa memang ada permintaan untuk ‘meal prep’ yang halal dan sedap," kata Cik Bella.

Menurut Cik Bella, buat masa ini Sehat the Kitchen mengaturkan sendiri penghantaran makanan kepada pelanggan.

"Pada masa hadapan, kita mahu bekerjasama dengan Grab, khidmat penghantaran makan dan menggunakan khidmat penghantaran makanan yang lebih luas," dedah beliau.

DAPUR AWAN BOLEH BANTU PENIAGA DI PUSAT PENJAJA LUASKAN PERNIAGAAN
 
Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)
Konsep dapur awan ini bukan sahaja menarik golongan peniaga baru atau peniaga kecil-kecilan, bahkan menjadi huraian bagi pemilik gerai di pusat penjaja yang mahu meluaskan lagi perniagaan mereka.

Ini termasuk para pemilik gerai Kin Men Seng Heng yang menjual itik Hokkien halal yang direneh atau 'braised Hokkien duck' di Pusat Makanan Amoy Street.

Mereka bakal membuka sebuah dapur awan di kemudahan Tampines Food Co. di Tampines North pada 19 Dis ini.

Gerai yang baru dibuka pada Mac lalu menyaksikan penjualan melonjak naik tiga kali ganda sejak memperolehi sijil halal MUIS pada Jun.

Salah seorang pemilik gerai, Encik Nur Muhammad Ismail memberitahu BERITAmediacorp keputusan untuk membuka dapur awan berdasarkan peralihan dalam tabiat pelanggan.

"Kita buat kajian dan ramai pelanggan kami yang minta disediakan khidmat penghantaran kerana gerai kami di Amoy Street jauh.

"Selepas COVID, semua orang sudah malas untuk keluar sebenarnya. Mereka lebih suka menempah makanan untuk makan di rumah," kata beliau.

Bagi menampung permintaan yang dijangka bertambah, lebih banyak makanan perlu disediakan dan ruang yang lebih luas diperlukan.

Disebabkan itu juga, mereka menyewa dapur awan yang keluasannya tiga kali ganda lebih besar daripada gerai di Pusat Makanan Amoy Street itu.

Ini juga didorong oleh tempahan besar atau 'bulk orders" yang mereka terima.

"Kami menjangkakan penjualan akan meningkat sehingga tiga kali ganda kerana kita akan turut dibuka untuk tempahan makan malam.
Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)
"20 peratus pelanggan kami adalah pelanggan tetap yang membuat tempahan besar seperti rumah jagaan warga tua, hospital dan syarikat-syarikat berhampiran," kongsi beliau

Menurutnya lagi, keputusan membuka dapur awan adalah sebahagian rancangan jangka panjang untuk meluaskan lagi perniagaan

Ia juga sebagai percubaan untuk meningkat operasi sebagai persediaan untuk membuka lebih banyak cawangan dan mengambil tempahan lebih besar.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita