Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konflik Ukraine-Rusia jejas kos tenaga S'pura 'dengan ketara', kata Menteri MTI

Antara perkara utama yang akan memberi kesan kepada Singapura akibat konflik di Ukraine adalah kos tenaga. Harga minyak bagi petrol dan diesel di sini dijangka naik bersama-sama dengan kadar elektrik baik untuk perniagaan mahupun isi rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Konflik Ukraine-Rusia jejas kos tenaga S'pura 'dengan ketara', kata Menteri MTI

Sebuah stesen minyak di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 01 Mar 2022 08:01AM Dikemas Kini : 01 Mar 2022 10:33AM

SINGAPURA: Antara perkara utama yang akan memberi kesan kepada Singapura akibat konflik di Ukraine adalah kos tenaga. Harga minyak bagi petrol dan diesel di sini dijangka naik bersama-sama dengan kadar elektrik baik untuk perniagaan mahupun isi rumah.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong menyentuh tentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine ketika berucap semasa perbahasan Belanjawan di Parlimen pada Isnin (28 Feb).

Beliau berkata meskipun kesan serta-merta dan langsung terhadap ekonomi serta syarikat-syarikat Singapura selama ini "dapat diuruskan" buat masa sekarang, krisis itu "mengaburi unjuran ekonomi kita" dan risiko kehilangan nilai dalam pelaburan "juga meningkat dengan ketara".

"Satu bidang utama yang akan memberi kesan ketara kepada kita disebabkan oleh konflik di Ukraine adalah harga tenaga kerana kita mengimport kebanyakan keperluan tenaga kita."

Beliau menarik perhatian bahawa konflik tersebut masih berkembang dan keadaannya boleh berubah dengan cepat.

“Dengan sekatan-sekatan dikenakan terhadap Rusia oleh pelbagai negara dan gangguan pada bekalan, harga sedunia bagi tenaga dan produk lain dijangka meningkat pada minggu-minggu mendatang."

Beliau berkata harga gas asli cecair (LNG) sudah naik seganda sejak enam bulan lalu kepada sekitar AS$35 (S$47.50) bagi setiap sejuta Unit Terma Britain sekarang.

Penanda aras Brent Crude bagi minyak juga melonjak menjangkaui AS$100 (S$135) setiap tong beberapa hari lalu berbanding purata AS$71 (S$96) tahun lalu.

Semua perubahan itu akan dirasakan oleh semua pemandu, perniagaan dan keluarga di Singapura, menaikkan lagi kos kehidupan.

Selain harga tenaga, konflik itu juga akan memberi tekanan lanjut terhadap rantaian bekalan sejagat memandangkan Rusia dan Ukraine adalah pengeksport utama barang keperluan seperti gandum serta logam seperti nikel dan paladium.

Ini akan menaikkan harga barangan yang menggunakan barang keperluan tersebut sebagai sumber jangka pertengahan, tambah Encik Gan.

Sektor perkilangan dan binaan serta industri semikonduktor dan pasaran barangan teknologi lebih meluas adalah bidang-bidang yang mungkin terjejas oleh gangguan itu.

Pemerintah sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat utama untuk menyemak rancangan kesinambungan perniagaannya untuk mengurangkan gangguan. Namun, Singapura juga mesti bersedia bersepan kesan susulan pada aliran perdagangan dan pelaburan.

Encik Gan memberi jaminan di Parlimen bahawa Pemerintah mengambil strategi berbilang serampang untuk menguruskan risiko rantaian bekalan dan strategi itu sudahpun dipertingkatkan sejak pandemik COVID-19, terutamanya bagi barangan penting.

Strategi-strategi itu termasuk mempelbagaikan import, menyimpan stok, menghasilkan barangan dalam negeri jika berdaya maju serta memperolehi bahan-bahan daripada sumber alternatif sekiranya perlu.

Menggulung ucapan beliau, Encik Gan menekankan betapa konflik di Ukraine adalah satu peringatan bahawa sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka seperti Singapura mudah terjejas kepada perubahan antarabangsa yang tidak diduga.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan