Konflik Timur Tengah tingkatkan ancaman keselamatan global, termasuk bagi SG: K Shanmugam
Konflik yang berterusan di Timur Tengah meningkatkan landskap ancaman keselamatan di peringkat global, termasuk bagi Singapura, kata Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (8 Apr).
Asap berkepul naik menyusuli serangan terhadap Tehran, Iran pada 7 April 2026. (Gambar: AFP/Atta Kenare)
Encik Shanmugam berkata pelibatan pelaku negara, proksi dan rangkaian militan di rantau Timur Tengah "meningkatkan risiko serangan dan insiden limpahan di luar konflik yang berlaku".
Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan dari Anggota Parlimen Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee) mengenai sama ada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menilai sama ada terdapat risiko ancaman lebih tinggi disebabkan oleh situasi di Timur Tengah.
Beliau juga bertanya bagaimana rakyat Singapura dapat membantu melindungi "kestabilan dan keselamatan domestik" negara itu.
Dalam jawapan bertulis, Encik Shanmugam berkata sejak konflik Israel-Hamas bertambah runcing pada Oktober 2023, ISD menahan atau mengeluarkan perintah sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kepada enam rakyat Singapura, di mana radikalisasi mereka "tercetus atau didorong oleh konflik yang sedang berterusan di Timur Tengah".
Encik Shanmugam berkata konflik di Timur Tengah bertindak sebagai titik perhimpunan bagi naratif pelampau.
"Kumpulan pengganas dan sekutu mereka memanfaatkan konflik tersebut untuk menyebarkan propaganda online yang mewajarkan keganasan dan menghasut serangan pengganas," katanya.
"Naratif pengganas itu juga meningkatkan risiko seseorang menjadi radikal sendiri, terutama sekali di ruang siber."
Beliau berkata sebuah Singapura yang berwaspada dan bersatu padu adalah perlindungan terbaik terhadap ancaman tersebut.
Rakyat Singapura digalakkan untuk kekal berwaspada dan segera laporkan sebagai aktiviti mencurigakan, termasuk kes-kes disyaki radikalisasi kepada pihak berkuasa, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.
“Kita juga harus menolak dengan tegas mana-mana naratif ekstremis atau polarisasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat kita.
"Ini adalah peranan penting yang boleh dimainkan dan harus dimainkan oleh setiap orang," katanya.
Encik Shanmugam menarik perhatian kepada kempen terkini SGSecure, sambil berkata ia adalah peringatan penting mengenai peranan setiap rakyat Singapura dalam memastikan keselamatan Singapura.
Gerakan SGSecure diperkenalkan pada 2016 untuk menyedarkan, melatih, dan mendorong rakyat Singapura untuk memainkan peranan dalam mencegah dan menangani serangan pengganas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.