Konflik Timur Tengah: Badan-badan Islam SG terbitkan buku panduan dengan pelbagai nasihat berteraskan agama
MUIS pada 22 Nov 2023 menerbitkan satu buku panduan online yang mengandungi pelbagai nasihat berteraskan nilai-nilai agama. (Gambar: MUIS, Fadel Senna/AFP)
Buku panduan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Rangkaian Belia Asatizah (AYN) itu mengandungi pelbagai nasihat berteraskan nilai-nilai agama, berhubung konflik tersebut.
Ia menekankan pandangan Islam yang menolak penindasan dan keganasan, tidak kiralah siapa pelakunya dan kepentingan menjaga nyawa manusia serta menolak permusuhan antara satu sama lain.
Selain itu, buku panduan itu juga menggariskan bagaimana seorang Muslim itu patut merujuk kepada tafsiran oleh cendekiawan agama dan memahami konteks kandungan-kandungan keagamaan yang dimuatnaikkan ke media sosial berhubung konflik yang berterusan.
Ini di samping giat mendampingi golongan muda agar mereka mempunyai perspektif lebih jelas dan luas terhadap "isu-isu yang dekat di hati".
Semua nasihat seperti itu memberi penekanan terhadap pandangan Islam, menurut MUIS.
"Nasihat ini perlu dijadikan sandaran bagi masyarakat. Kita berhak berasa sedih dan marah atas apa yang berlaku di bumi Palestin," ulas Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohd Murat Md Aris.
"Namun, reaksi kita berhadapan isu ini haruslah berpandukan teras ajaran dan tradisi yang kita warisi daripada Rasulullah s.a.w."
MUIS menerusi satu kenyataan media turut menjelaskan bahawa buku panduan itu adalah hasil daripada forum yang diadakan bersama Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (PERGAS), Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Rangkaian Belia Asatizah (AYN) baru-baru ini.
Mereka yang terlibat dalam forum berkenaan meneroka cara-cara untuk Kepimpinan Agama membimbing masyarakat Islam dari segi pemahaman mahupun cara memberikan respons terhadap konflik antara Israel dengan Hamas.
MENGAPA BELIA PERLU DIDEKATI?
MUIS dalam kenyataan media itu turut menegaskan bahawa masyarakat Muslim di Singapura dalam satu kedudukan yang unik dan tidak sama dengan masyarakat di negara-negara lain.
Ini menekankan lagi pentingnya memelihara keamanan di Singapura, selain tidak mendedahkannya kepada sebarang risiko perselisihan faham disebabkan konflik-konflik geopolitik.
Satu kumpulan yang mahu diberi perhatian adalah belia, yang disifatkan MUIS sebagai "sering kali idealistik dan berkobar-kobar tentang membawa perubahan positif kepada dunia".
"Penting untuk menyediakan mereka dengan satu rangkaian sokongan yang baik, terdiri daripada orang seperti keluarga, rakan-rakan, guru atau asatizah.
"Orang-orang sebegini boleh membantu memperbaharui niat mereka, memberi pandangan terhadap perspektif mereka, dan membolehkan mereka mempunyai pandangan adil," nasihat MUIS.
Badan agama itu menambah, buku panduan yang diterbitkan turut berkongsi beberapa panduan untuk mengenal pasti tanda-tanda 'burnout' (terlalu lelah) yang memberi kita isyarat untuk menjaga diri walaupun apabila melakukan kerja-kerja sokongan.
Orang ramai boleh mendapatkan buku panduan yang diterbitkan MUIS menerusi pautan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.