Konflik Israel-Hamas: 3 AP PAP fail usul parlimen
Gambar: AFP
SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Vikram Nair sudah memfailkan usulan bagi sidang parlimen seterusnya berhubung konflik Israel-Hamas. Didukung oleh dua AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang lain, usul tersebut menekankan komitmen Singapura sejak dahulu lagi terhadap huraian dua negara sebagai jalan keluar bagi konflik berkenaan.
Ia juga menggesa rakyat Singapura supaya memelihara keharmonian berbilang agama negara ini.
Dalam catatan Facebooknya pada Selasa (24 Okt), Encik Nair, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Negara, berkata bahawa beliau dan AP lain akan menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan "meruncing" di Gaza.
Pada 8 Oktober, Israel mengisytiharkan perang terhadap kumpulan Hamas, yang mengawal kawasan yang terletak bersebelahan dengan Israel, yang dikenali sebagai Carikan Gaza.
Ini adalah sebahagian daripada tindak balasnya terhadap serangan oleh kumpulan Hamas di beberapa bahagian Israel, yang mengorbankan kira-kira 1,400 orang, yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang awam. Ia juga mengambil lebih 200 orang untuk dijadikan tahanan.
Konflik tersebut, yang memasuki minggu ketiga, menyebabkan lebih 5,000 korban jiwa di Israel dan Carikan Gaza.
Encik Nair menyatakan bahawa usulnya, yang juga disokong oleh rakan Anggota Parlimen PAP Alex Yam dan Zhulkarnain Abdul Rahim, akan dibahaskan dalam sidang akan datang.
Bertajuk " Perpaduan, keselamatan, dan keamananan: Konflik Israel-Hamas", usul Encik Nair meminta Dewan agar:
- Menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang tidak bersalah dan orang awam yang cedera
- Menyokong penghantaran segera bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza
- Mengutuk mereka yang bertanggungjawab terhadap tindakan pengganas dan pelanggaran undang-undang antarabangsa
- Menyeru semua pihak agar memastikan keselamatan dan keamanan orang awam, termasuk pembebasan semua tahanan
- Mengulangi sokongan Singapura sejak dahulu lagi bagi huraian dua negara selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan
- Menggesa rakyat Singapura supaya memelihara dan menegakkan keharmonian keamanan berbilang kaum dan agama di tengah-tengah situasi yang sedang berlaku di Timur Tengah
Beberapa AP PAP juga sudah memfailkan pertanyaan parlimen berhubung konflik berkenaan, termasuk AP GRC Ang Mo Kio Nadiah Samdin dan Encik Zulkharnain, AP GRC Chua Chu Kang.
Cik Nadiah mengajukan pertanyaan tentang apa yang sedang dilakukan Pemerintah bagi memastikan bantuan kemanusiaan yang didermakan Singapura, boleh disampaikan kepada orang awam yang terjejas ekoran keganasan konflik tersebut, dengan berkesan dan pantas.
Sementara itu, Encik Zhulkarnain bertanya mengenai peranan asatizah agama dan masjid dalam menyokong masyarakat Islam tempatan dari segi kerohanian dan emosi, dalam memahami konflik dan krisis kemanusiaan yang melanda bumi Gaza dan Wilayah Palestin yang lain.
Mediacorp sudahpun menghubungi Parti Pekerja dan Parti Kemajuan Singapura untuk mengulas.
Sidang Parlimen seterusnya dijadual berlangsung pada 6 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.