Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Konflik Iran-Israel: Kesan pada ekonomi akan lebih dirasakan dengan kenaikan harga minyak, rantaian bekalan terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengamat ekonomi menjangkakan impak konflik Iran-Israel kepada ekonomi akan lebih teruk dirasakan dalam beberapa bulan mendatang jika pergolakan di Timur Tengah berterusan.

Ini akan diburukkan lagi dengan kesan pada rantaian bekalan dan harga minyak yang lebih tinggi.

"Singapura tidak boleh lari daripada impak situasi global sama ada di Timur Tengah atau dengan negara lain. Kita melihat ada senario atau situasi risiko inflasi mungkin masih ada di peringkat tinggi buat masa akan datang," jelas Pakar Ekonomi dan Strategi Mata Wang, Maybank, Saktiandi Supaat kepada wartawan Syawal Yusoff.

Ini berikutan serangan yang dilancarkan Iran ke atas Israel pada 14 April.
RANTAIAN BEKALAN TERJEJAS, BOLEH SEBABKAN HARGA MINYAK NAIK

Konflik Iran-Israel itu juga kata Encik Saktiandi boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan.

Sebagai sebuah hab perdagangan global, impak sebegini boleh menjejas ekonomi Singapura.

Jika ketegangan di Timur Tengah itu terus berlarutan, ia juga akan mendorong kenaikan harga minyak dan memberi impak kepada kadar inflasi.

"Banyak kontena juga masih melalui Timur Tengah. Jadi bagaimana situasi di sana akan memberi kesan kepada rantaian bekalan. Melalui perkapalan umpama. Itu juga kita melihat ia boleh meningkatkan harga barangan buat masa akan datang," tambahnya, yang juga AP GRC Bishan-Toa Payoh.

PERMINTAAN BAGI TENAGA HIJAU, ALTERNATIF MENINGKAT

Menurut Encik Saktiandi, keadaan itu mungkin mendorong permintaan lebih tinggi untuk sumber tenaga alternatif seperti tenaga hijau.

Namun permintaan yang tinggi juga boleh menjejas harga bagi tenaga alternatif itu.

"Umpamanya kita mengimport tenaga hijau atau hidrogen atau pelbagai apa tenaga hijau lain di daripada sebelah Eropah umpamanya untuk datang sini itu akan terjejas juga saya rasa. Jadi penting untuk Singapura umpamanya dan negara-negara di rantau ASEAN ini untuk mencari kepelbagaian dari segi sumber-sumber tenaga hijau, bukan dari satu sumber sahaja," ujar beliau.

Meskipun belum lagi ketara kesannya, Encik Saktiandi menjangkakan impaknya akan lebih dirasakan dalam bulan-bulan mendatang.

"Kesan mungkin bukan sekarang tetapi satu bulan atau tiga bulan atau enam bulan akan datang memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi dan jika pertumbuhan ekonomi menurun sedikit, saya rasa impaknya kepada perdagangan akan dihadapi oleh situasi ekonomi global secara sejagat," jelas Encik Saktiandi.

SEKTOR PELANCONGAN, PENERBANGAN KE TIMUR TENGAH AKAN TERJEJAS

Beliau juga menjangkakan perjalanan ke Timur Tengah akan terjejas dan ini boleh memberi kesan kepada agensi pelancongan yang menawarkan pakej ke rantau itu.

Ini juga termasuk penerbangan dengan transit perjalanan di lapangan-lapangan terbang di Timur Tengah.

Kata Encik Saktiandi: "Penerbangan melalui Timur Tengah ke Singapura mungkin perlu diubah alih sedikit atau mungkin berkurang jika situasi di sana meningkat. Mereka yang melalui Timur Tengah umpamanya daripada Eropah mungkin akan mengurangkan keinginan mereka untuk ke luar negara. Sektor pelancongan memerlukan situasi yang stabil. Jika ada situasi-situasi atau krisis seperti ini pergolakan mungkin akan menjejas keinginan sentimen pelancong-pelancong."

Dari segi logistik pula, Encik Saktiandi berkata harga barangan yang diimport atau melalui Timur Tengah juga dijangka akan meningkat.
TINGKATKAN KEMAHIRAN ANTARA LANGKAH TANGANI KESAN

Bagi membantu meringankan impak inflasi, Encik Saktiandi menasihatkan agar masyarakat mengambil langkah-langkah proaktif.

Selain mengambil peluang dengan nilai emas serta mata wang dolar Amerika Syarikat yang tinggi ketika ini, beliau turut menekankan pentingnya untuk terus meningkatkan kemahiran.

"Peningkatan kemahiran untuk warga Singapura penting kerana naik turun ekonomi global kita tidak tahu apakah alirannya atau tujuan yang akan kita hadapi lima hingga 10 tahun akan datang. Sentiasa mempunyai kemahiran yang berguna untuk ekonomi Singapura yang akan mungkin berubah secara cepat buat masa akan datang," kata Encik Saktiandi.

Beliau menambah ini dapat memberi keyakinan kepada para pelabur dari segi potensi tenaga kerja Singapura.

"Mereka (Pelabur) tahu bahawa kemahiran warga Singapura sentiasa 'up to speed' sentiasa ada sentiasa dinaiktarafkan dengan peningkatan yang kita naikkan, jadi memberi mereka rangsangan untuk memberi gaji yang lebih tinggi kerana kita memberikan pengeluaran yang lebih baik di Singapura," jelasnya.

Sejak serangan 14 April, keadaan di Timur Tengah terus tegang dengan Israel berikrar akan balas serangan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan