Skip to main content

Singapura

Konfederasi Sepaktakraw Singapura kini berdaftar secara rasmi dengan ROS; bakal bangunkan pelan induk 4 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Konfederasi Sepaktakraw Singapura (CSS) telah didaftarkan secara rasmi dengan Pejabat Pendaftaran Persatuan (ROS), berkuat kuasa 14 Jun 2024.

Menurut CSS, langkah ini menandakan satu langkah penting dalam sejarah persekutuan tersebut, yang akan membolehkannya untuk mencapai objektifnya dengan lebih berkesan dan ketara lagi.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa (2 Jul), CSS turut mendedahkan bahawa matlamat utamanya di sebalik pendaftaran itu adalah untuk menyatukan dan menggembleng kelab-kelab sepaktakraw di seluruh Singapura, di samping mempromosikan penyertaan aktif dalam kejohanan-kejohanan tempatan.

"Untuk mencapai matlamat ini, kami sedang membangunkan pelan induk 4 tahun yang komprehensif. Pelan ini memberi tumpuan kepada pembangunan belia (Bawah 18 Tahun), pertandingan elit (Bawah 21 Tahun dan Kategori Terbuka) yang menumpukan perhatian kepada pelbagai acara pemain lelaki dan wanita," menurut Encik Salim Ebrahim Marican,
Presiden CSS.

CSS, menurut Encik Salim, juga bertekad untuk menyediakan laluan dan peluang untuk para pemain terus mencatatkan kemajuan.

Ini di samping meningkatkan keupayaan teknikal para jurulatih sepaktakraw dan pegawai teknikal di Singapura.

Selain itu, CSS juga akan mendampingi sekolah-sekolah di merata Singapura.

CSS juga akan mengadakan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan seperti sekolah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), balai rakyat dan kelab-kelab sukan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dengan pendaftaran rasmi itu, CSS akan terus berusaha untuk menggilap bakat muda dan meningkatkan sukan tersebut ke tahap yang baharu.

CSS juga merancang untuk bertemu dengan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bagi memberi taklimat tentang perkembangan terkini dan mendapatkan keahliannya.

Ini diharap akan mengukuhkan lagi kedudukan CSS dan menyelaraskan usahanya dengan piawai antarabangsa.
Sumber : BERITA Mediacorp/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita