Kondo, apartmen privet layak daftar geran baru pasang pengecas kenderaan elektrik
Geran baru untuk pembiayaan bersama kos komponen pengecas kenderaan elektrik (EV) tertentu akan disediakan di kondominium dan apartmen privet yang merancang untuk memasang pengecas-pengecas tersebut.
Seorang pemilik mengecas kenderaan elektriknya di tempat letak kereta (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)
SINGAPURA: Geran baru untuk pembiayaan bersama kos komponen pengecas kenderaan elektrik (EV) tertentu akan disediakan di kondominium dan apartmen privet yang merancang untuk memasang pengecas-pengecas tersebut.
Geran Pengecas Kenderaan Elektrik Dikongsi akan membiayai bersama kos pemasangan 2,000 pengecas di kediaman-kediaman sedemikian sebagai insentif penerimaan awal penggunaan kenderaan elektrik, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (19 Jul).
Pemerintah mengumumkan bahawa ia menyasarkan untuk memasang 60,000 kemudahan pengecas EV di merata Singapura menjelang 2030, dengan 40,000 daripadanya akan ditempatkan di tempat letak kenderaan awam, sementara lagi 20,000 akan dipasang di premis-premis privet.
Para pemilik pengecas, tidak kira pengendali pengecas EV atau pemilik kediaman boleh memohon bagi mendapatkan geran itu untuk menampung tiga kos pendahuluan: sistem pengecas, yuran pekerja elektrik berlesen serta kos kabel dan pemasangan (dihadkan pada S$1,000).
Geran tersebut akan membiayai separuh daripada kos tersebut, dengan had keseluruhan S$4,000 untuk setiap pengecas.
Hanya pengecas dengan fungsi pintar yang membolehkan pengguna memantau dan mengambil tindakan terhadap data penggunaan kuasa dengan membuat penyesuaian kepada kadar mengecas akan dibiayai bersama.
Untuk memangkin penggunaan awal pengecas di sebanyak mungkin kediaman, geran itu hanya akan membiayai pemasangan pengecas untuk sehingga satu peratus tempat meletak kereta di setiap kediaman, tambah LTA.
Geran Pengecas Kenderaan Elektrik Dikongsi akan ditawarkan kepada pembangunan swasta yang merangkumi unit kediaman kecuali hartanah bertanah, rumah kedai, hotel, asrama, apartmen dan dormitori pekerja.
Permohonan dibuka dari 29 Julai hingga 31 Disember 2023 atau sehingga 2,000 pengecas diluluskan untuk pembiayaan bersama, bergantung yang mana lebih awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.