Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kompak sosial Singapura yang kukuh boleh ubah cabaran jadi peluang: DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jika Singapura mengukuhkan perpaduan sosialnya, ia boleh mengubah cabaran menjadi peluang, kata Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong pada Selasa (28 Jun).

"Masih ada peluang yang boleh dimanfaatkan dalam apa jua cabaran yang kita hadapi. Kita boleh menjadi benteng kestabilan dan peluang kepada dunia dan meninggalkan Singapura yang lebih baik pada masa depan," kata beliau.

Berucap di majlis pelancaran agenda Melakar Hala Tuju Singapura, Encik Wong berkata Singapura kini berada "di satu persimpangan" dalam perjalanannya.

Dunia di sekeliling Singapura dan masyarakat Singapura sendiri sudah berubah dan akan terus berubah, tambah beliau.

"Seandainya kompak sosial kita gagal, sebahagian besar rakyat Singapura akan rasa terasing daripada masyarakat lain dan percaya sistem tidak berpihak kepada mereka.

"Kepercayaan terhadap Pemerintah dan segmen lain dalam masyarakat juga akan merosot, kata DPM Wong sambil menambah kita akan menjadi masyarakat yang kurang mempercayai satu sama lain, seperti kebanyakan penduduk lain di Asia dan Eropah. Singapura tegas Encik Wong pasti akan mengalami keretakan jika ia berlaku.

Singapura yang menjangkakan pemulihan kukuh daripada pandemik COVID-19 kini berdepan dengan masalah yang lebih membimbangkan, kata Encik Wong.

Perang di Eropah menjejas teruk kadar inflasi dan kemungkinan ekonomi mengalami kemelesetan, jika tidak pun pertumbuhan yang lemah, tambah beliau.

"Kami berdepan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, terutama sekali antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang menyebabkan gangguan rantaian bekalan serta membawa kepada dunia yang lebih berbahaya dan berpecah belah."

Dalam negeri, Singapura juga harus menangani trend sosial yang mempunyai kesan jangka masa yang panjang, kata Encik Wong.

Ia termasuk keadaan penduduk yang semakin menua, keprihatinan tentang mobiliti sosial yang kian perlahan serta kebimbangan yang semakin meningkat diri mereka digantikan oleh orang lain.

"Ini adalah kebimbangan benar dan sangat nyata dalam masyarakat kita yang tertekan. Bimbang tidak melakukan dengan cukup baik, takut akan ketinggalan," kata Timbalan Perdana Menteri Wong.

Dalam ucapannya, Encik Wong juga berkata beliau faham akan kebimbangan tersebut.

"Saya maklum ini adalah tekanan yang benar-benar dihadapi rakyat kita, mungkin lebih berbanding masa lalu. Saya harap kita akan berbincang secara jujur ​​tentang kebimbangan ini dan bagaimana kita boleh menanganinya bersama-sama."

Maka itu, agenda Melakar Hala Tuju Singapura akan mempertimbangkan beberapa tumpuan kepada usaha kepimpinan 4G, kata Encik Wong.

"Bagaimana kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk melengkapkan dan memperkasa penduduk kita, walau apa pun titik permulaan mereka dalam kehidupan, dan memastikan semua orang dapat memaksimumkan potensi mereka?" tambah Encik Wong.

"Bagaimana kita sebagai sebuah masyarakat boleh lebih meyakinkan rakyat Singapura dan menjaga keperluan mereka dengan lebih baik dalam dunia yang bergolak dan tidak menentu ini?"

Pasukan 4G juga harus mempertimbangkan bagaimana untuk membangunkan "tempat tinggal yang lebih baik" dan menguruskan sumber alam sekitar dan kewangan yang dikongsi bersama untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura pada masa ini dan masa depan dengan permintaan sumber yang semakin meningkat, kata Encik Wong.

"Dan akhir sekali, bagaimana kita boleh menyatukan rakyat kita dan memupuk rasa pemilikan dan tanggungjawab bersama yang lebih besar, supaya kita semua boleh bersatu sebagai sebuah negara untuk membawa Singapura ke hadapan?"

SISTEM MERITOKRASI

Encik Wong juga menyentuh sistem meritokrasi Singapura yang menurutnya masih "cara terbaik" untuk mengatur masyarakat.

"Ia menggalakkan penduduk untuk berusaha meraih peluang yang ada dengan sebaik mungkin, dan mengekalkan mobiliti," tambahnya.

Namun, meritokrasi juga ada buruknya, kata DPM Wong.

Sebagai contoh, golongan kaya mampu memberi lebih banyak peluang kepada anak mereka. Mereka yang berjaya juga secara semula jadi akan memberi peluang yang sama kepada anak mereka dengan pelbagai cara, tambah beliau.

"Jadi akan ada risiko kelebihan yang dinikmati akan terus memanfaatkan generasi ke generasi," kata Encik Wong.

"Kita tidak boleh gugurkan dasar meritokrasi namun saya percaya kita boleh memperbaikinya dan menjadikan meritokrasi lebih terbuka dan penuh belas ihsan."

Sebagai sebuah masyarakat, rakyat Singapura harus belajar untuk menghargai sumbangan setiap pekerja dalam setiap bidang, kata Encik Wong sambil menyifatkannya sebagai "perubahan yang paling penting".

"Ini bermakna menghormati semua, termasuk mereka yang berpendapatan rendah, yang memastikan masyarakat terus dapat berfungsi dalam pelbagai cara," tambahnya.

PERPADUAN SINGAPURA

"Sesetengah perkara tidak harus, tidak boleh dan jangan sekali-kali berubah seperti prinsip asas kami berhubung masyarakat berbilang kaum," kata Encik Wong.

"Kepelbagaian kita adalah satu sumber kekuatan namun ia juga memerlukan penyesuaian berterusan untuk memastikan kita dapat mencapai keseimbangan untuk meluaskan ruang bersama secara progresif sambil memberi setiap masyarakat ruang secukupnya untuk meneruskan kehidupan mereka."

Kompak sosial yang kukuh bukan sahaja harus memenuhi keperluan generasi sekarang namun harus merangkumi keperluan semua generasi," kata DPM Wong.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan