Kompak sosial SG diperbaharui bakal saksikan pendekatan baru terhadap kejayaan, kemahiran: Lawrence Wong
SINGAPURA: Singapura sedang menyemak semula bagaimana ia mentakrifkan kejayaan dan kemahiran sebagai sebahagian daripada kompak sosial negara ini.
Ini merupakan anjakan penting yang terbit selepas perbincangan hampir setahun, gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, atau Forward SG.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong juga menekankan anjakan utama yang lain, seperti sistem sokongan sosial yang dirombak dan semangat perpaduan sosial yang diperbaharui.
Beliau berkata demikian semasa berucap di persidangan ulang tahun ke-35 Institut Pengajian Dasar pada Isnin (12 Jun).
Berhubung pendekatan baru ke arah kejayaan, beliau menyatakan dengan mendekati warga Singapura, menunjukkan bahawa ia adalah "kurang mengenai mengecapi impian di penghujung perjalanan dan lebih tentang tujuan serta rasa kepuasan sepanjang perjalanan".
Selain daripada meraikan mereka yang naik ke tahap terunggul dalam profesion tertentu, mereka yang memilih untuk meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga mereka untuk menjadi ibu bapa dan penjaga yang baik patut dihargai juga, ungkap Encik Wong.
Beliau menambah bahawa mereka dengan bakat dalam pelbagai bidang seperti seni dan sukan, atau mereka yang menyediakan khidmat dalam perkhidmatan runcit, patut diiktiraf.
Encik Wong menekankan bahawa kompak sosial yang diperbaharui mesti lebih inklusif dan tidak terhad kepada beberapa haluan yang dipilih untuk maju saja, dengan sebilangan daripadanya diberi kedudukan yang lebih tinggi berbanding yang lain.
SOKONGAN SOSIAL DAN SEMANGAT PERPADUAN
Singapura akan melakukan lebih banyak usaha untuk memberi jaminan kepada mereka dalam kumpulan pertengahan yang luas dan mereka yang mudah terdedah bahawa ia boleh memenuhi keperluan mereka dan mereka tidak akan dibiarkan ketinggalan, tekan Encik Wong pada Isnin.
Beliau mengetengahkan beberapa perkara utama yang kini diberikan tumpuan, termasuk sokongan bagi mereka yang tidak bekerja, keluarga berpendapatan rendah, kumpulan yang mudah terdedah serta golongan warga emas.
Mereka yang tidak bekerja akan menerima bantuan bagi keperluan harian mereka, sedang mereka melalui latihan kemahiran serta proses mencari pekerjaan. Manakala, bantuan bagi keluarga berpendapatan rendah bertujuan untuk membolehkan dan memperkasa mereka untuk terus maju ke hadapan, meningkatkan gaji mereka dan mengurangkan jurang yang sudah awal wujud dalam kehidupan anak-anak mereka.
Terdapat juga bantuan yang dihulurkan kepada kumpulan yang mudah terdedah termasuk mereka yang kurang upaya serta warga emas, dari segi jagaan jangka panjang, aturan tempat tinggal dan keperluan persaraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.