Komitmen pemerintah wujudkan 100,000 pekerjaan, latihan pada 2021 beri keyakinan dan kelegaan: Amrin Amin
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin mengalu-alukan komitmen Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing untuk mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dan latihan dalam tempoh setahun akan datang - tiga kali lebih tinggi berbanding jumlah biasa setiap tahun.

Para pekerja di daerah perniagaan Raffles di Singapura. (Gambar fail: AFP/ROSLAN RAHMAN)
SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin mengalu-alukan komitmen Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing untuk mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dan latihan dalam tempoh setahun akan datang - tiga kali lebih tinggi berbanding jumlah biasa setiap tahun.
Encik Amrin berkata demikian dalam catatannya di laman Facebook hari ini (15 Jun), sebagai mengulas siaran nasional Encik Chan pada Ahad yang menekankan Pemerintah akan "menjaga setiap rakyat Singapura".
Ini dengan mengambil kira bahawa "ayah, ibu, anak lelaki atau anak perempuan seseorang itu tidak dapat bekerja atau menyaksikan pendapatan mereka merosot" sebagai antara penyesuaian "memeritkan" yang harus dilalui semasa COVID-19.
"Ini penting. Mewujudkan pekerjaan, menyelamatkan perniagaan kita supaya mereka boleh terus mengambil rakyat Singapura bekerja. Tetapi mesti ada tempat dan individu untuk meminta bantuan.
"Kami akan menubuhkan pusat pekerjaan di setiap bandar untuk memberi panduan dan memadankan pekerja yang diberhentikan dengan pekerjaan baru," kata beliau.
Encik Amrin juga menegaskan dalam sesuatu krisis itu wujud peluang dan Singapura harus mencari peluang tersebut.
Ini dengan membangunkan kekuatannya sebagai pemain global terbuka, terhubung dan boleh dipercayai, membina pelabuhan dan prasarana lain supaya dapat menyambung semula operasi apabila iklim kembali pulih serta mengembangkan jejak digital dan antarabangsa.
"Kami akan baik-baik sahaja," ujar Encik Amrin.
HO CHING ULAS PENJANA PEKERJAAN
Sehubungan itu, Ketua Eksekutif Temasek Holdings Cik Ho Ching turut mengulas mengenai isu serupa.
Beliau memberi pendapat tentang tiga aspek yang dapat mewujudkan pekerjaan bagi masyarakat.
"Penjana pekerjaan terbesar, terutama sekali pekerjaan baik, adalah kecekapan kos dan ekonomi nilai tambah yang tinggi.
"Penjana pekerjaan kedua terbesar adalah pendidikan -kemahiran, ilmu dan keupayaan berfikir serta melakukan, merancang dan menyampaikan," ujar beliau.
Cik Ho Ching juga menambah penjana pekerjaan ketiga adalah tingkah laku sebagai individu, keluarga dan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.