Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Komitmen padu masyarakat penting untuk bertitik tolak daripada peranan tradisional wanita, tegas Presiden Halimah

Usaha membantu kaum wanita mencapai aspirasi mereka boleh dimainkan sesiapa sahaja dalam masyarakat – tidak kira dengan menangkis tanggapan bersifat berat sebelah, menyokong perjuangan mereka ataupun setidak-tidaknya dengan sama-sama menggalas tanggungjawab dalam rumah tangga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha membantu kaum wanita mencapai aspirasi mereka boleh dimainkan sesiapa sahaja dalam masyarakat – tidak kira dengan menangkis tanggapan bersifat berat sebelah, menyokong perjuangan mereka ataupun setidak-tidaknya dengan sama-sama menggalas tanggungjawab dalam rumah tangga.

Gagasan ini ditegaskan oleh Presiden Halimah Yacob semasa melancarkan sebuah buku hari ini (6 Mac) yang memaparkan kisah penuh inspirasi 20 wanita Melayu/Islam Singapura yang bangkit dan memberanikan diri mengharungi pelbagai cabaran hidup demi mendaki tangga kejayaan.

Buku bertajuk “Unprecedented – To the Beat of Her Own Drum” (Tidak Terkalahkan – Mengikut Rentak Sendiri) disunting oleh sekumpulan relawan belia.

Dalam ucapannya, Presiden Halimah menekankan betapa sebarang perubahan memerlukan komitmen segenap masyarakat dan beliau menarik perhatian kepada pemikiran yang masih mencengkam kaum wanita walaupun dalam konteks semasa.

“Sejak September 2020, Pemerintah menganjurkan satu siri Perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura, bersama pelbagai rakan masyarakat. Satu isu yang sering kali dibangkitkan adalah keperluan untuk masyarakat bertitik tolak daripada pemikiran bahawa wanita seharusnya hanya menguruskan rumah tangga dan menjadi suri rumah,” kata Presiden Halimah. 

(Gambar: Zinkie Aw/MCI)

(Gambar: Zinkie Aw/MCI)

Maka itu, perjalanan berinspirasi 20 wanita Melayu/Islam yang baru dibukukan dan kini dijadikan wadah sebagai bacaan orang ramai juga satu “sumbangan penting” sedang peranan wanita dalam masyarakat berubah-ubah.

“Menyampaikan cerita terbukti sejak sekian lamanya satu cara yang berupaya membentuk budaya dan berkongsi nilai-nilai (penting kepada masyarakat),” ujarnya.

“Setiap kisah kehidupan yang dirakam dalam buku ini berpotensi menggerakkan hati seorang wanita muda di dalam masyarakat untuk menjadi yang terbaik. Menerusi kisah mereka juga, kita akan melihat diri kita dalam orang lain dan begitu juga sebaliknya (lalu bertanya)… jika mereka boleh melakukannya, mengapa tidak saya?”

Presiden Halimah seterusnya melahirkan harapan agar buku itu akan menyentuh hati ramai anggota masyarakat - tidak kira jantina, bangsa atau agama. Beliau turut menyeru mereka yang sudah mengecap kejayaan supaya “mendampingi dan menyumbang kembali” kepada masyarakat.

KISAH BEKAS PESAKIT SKIZO YANG JADI GRADUAN NUS

Secara umumnya, wanita-wanita yang ditampilkan dalam buku hasil usaha sama Kelab MENDAKI dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menerusi YWILD (Dialog Wanita Muda dalam Kepemimpinan) datang daripada pelbagai latar belakang.

Pencapaian mereka semuanya cukup luar biasa, termasuk kisah kejayaan wanita bernama Sumaiyah Mohamed, 31 tahun.

Pada usia 19 tahun, beliau tiba-tiba hilang dorongan untuk belajar di universiti.

Malah Cik Sumaiyah tidak mahu meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakannya. Setelah diperiksa di hospital, Cik Sumaiyah tidak disangka-sangka didiagnosis dengan kemurungan dan skizofrenia. Beliau terpaksa dirawat di hospital selama dua bulan.

Namun semangatnya untuk bangkit semula begitu kental. Berkat sokongan keluarga dan rakan-rakannya juga, Cik Sumaiyah berjaya menggenggam ijazah kepujian dalam bidang psikologi dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sungguhpun demikian, pengertian Cik Sumaiyah tentang kejayaan bukan sekadar memperolehi ijazah atau kerjaya yang diburu.

“Kejayaan bagi saya adalah untuk terus tekun memberi manfaat kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan perhatian. Walaupun kita menghadapi cabaran tetapi kita harus tetap tabah, kuatkan diri dan mempunyai sikap penyayang,” kata Cik Sumaiyah yang kini bertugas sebagai seorang pakar bertauliah dan penyelaras program Kelab Heal.

Di pertubuhan itulah, Cik Sumaiyah menyumbang kepakarannya dalam bidang psikologi untuk membantu pemulihan para pesakit mental bangkit daripada cabaran-cabaran yang dihadapi.

Dengan kisah kehidupannya diterbitkan dalam buku “Unprecedented – To the Beat of Her Own Drum”, Cik Sumaiyah berharap ia akan menjadi sinar harapan kepada sesiapa saja yang sedang melalui nasib sepertinya dahulu.

“Saya harap orang lain di luar sana dapat memahami perjalanan kita dan tahu yang pemulihan itu ada. Kita harus sokong, dorong dan dukung orang seperti saya ini,” tambah beliau yang percaya bahawa dengan membantu seseorang membina keyakinan diri, ia boleh menjadi tunggak kejayaannya.

Cik Sumaiyah sudah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

HASIL PENJUALAN BUKU AKAN DISALURKAN KEPADA BADAN AMAL

Untuk membaca kisah-kisah inspirasi wanita seperti Cik Sumaiyah, anda boleh membeli buku “Unprecedented – To the Beat of Her Own Drum” menerusi laman ini.

Kesemua hasil penjualan buku tersebut akan disalurkan kepada Casa Raudha, iaitu institusi yang menyediakan tempat selamat bagi wanita dan kanak-kanak daripada keganasan rumah tangga.

Misi pertubuhan itu, menurut YWILD, terutama sekali relevan di tengah-tengah pandemik yang melanda sekarang ini.

Sejauh ini, Kelab MENDAKI sudah mendapat lebih 300 ikrar untuk membeli buku tersebut daripada Yayasan MENDAKI, PPIS, Casa Raudha, SMCCI Dewi, MESRA dan ramai lagi penderma dan agensi masyarakat lain.

Setiap buku dijual pada harga S$25.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan