Komik boleh jadi jendela ilmu, pupuk minat baca dalam bahasa ibunda dalam diri kanak-kanak

(Gambar: Nurfazirah Azman) Cik Nazatul Fadzlin Fadil dan anak lelakinya, Abdul Syafi Iman
Ini termasuk memperkenalkan mereka dengan bahan bacaan dalam bahasa ibunda.
Cik Nazatul mula memperkenalkan mereka dengan bahan-bahan bacaan yang lebih "ringan" seperti komik untuk mereka berjinak-jinak membaca dalam bahasa Melayu.
“Apabila anak saya membaca komik, dia pelajari perkataan perkataan yang kita jarang gunakan. Macam apabila dia membaca cerita bersifat wira, wirawati perkataan seperti 'menghapuskan’, ‘jaguh’, ’kuasa’ jadi dia akan tanya saya 'ibu apa maksud ini' dan sebagainya dan dia gunakan di sekolah,” kata Cik Nazatul yang mempunyai dua orang anak.
Selain itu, buku komik yang agak tipis juga membolehkan anak-anaknya untuk membawa bersama buku-buku itu apabila mereka keluar berjalan-jalan.

"Komik itu tipis jadi mereka tidak akan berasa begitu terbeban untuk membaca. Jadi senang untuk anak saya membawa komik itu apabila dia berjalan dan terakhir sekali apabila anak saya membaca komik, dia dapat membuat kaitan antara komik tersebut dan siri animasi yang ditonton di kaca televisyen," kongsi Cik Nazatul kepada wartawan Nurfazirah Azman.
PERPUSTAKAAN KOMIK NLB TAWARKAN 7,500 BUKU
Usahanya itu kini lebih mudah dengan pembukaan perpustakaan komik oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) di Pusat Beli-Belah Anchorpoint pada 22 September lalu.
Ia menyediakan 7,500 buku dalam koleksi komik dan juga grafik novel dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.
Menjelang tahun hadapan, lebih 3,500 buku akan ditambahkan dalam koleksi tersebut dan membawa jumlah keseluruhan buku kepada 11,000 buku.

“Reka bentuknya, stailnya yang diilhamkan oleh komik-komik vintaj pada zaman dahulu yang menggunakan warna-warna yang terang dan juga pergerakan 'Pop Art'. Selain itu ada juga kod-kod QR yang tertera di wallpaper tersebut yang mana para pengunjung dapat imbas menggunakan aplikasi 'NLB mobile app' dan mereka akan dibawa ke satu laman untuk meminjam atau mencari buku elektronik yang khas untuk mereka,” jelas Pustakawan (Bahasa Melayu) NLB, Nur Fitri Muhammad Syafran.

Menurutnya, koleksi buku kanak-kanak yang tersedia di situ membawa tema-tema yang boleh diteladani dan dijadikan iktibar.
"Kami ada genre-genre yang popular seperti persahabatan, tanggungjawab, kesemua ini mengajar kanak-kanak tentang prinsip-prinsip kehidupan yang penting, yang harus mereka ada dan selain itu juga kita ada cerita-cerita yang berlatarkan belakangkan luar negara ataupun budaya-budaya yang asing jadi menerusi buku-buku ini mereka dapat mempelajari tentang budaya luar dan memahaminya dan menghargai budaya-budaya tersebut," kata Cik Nur Fitri.
Perpustakaan sementara ini akan dibuka di pusat beli-belah itu hingga 24 September 2024.
Jika sambutan yang diterima memberangsangkan, NLB merancang untuk memperluas jangkauan ke beberapa lagi pusat membeli-belah di merata Singapura.
.jpeg?itok=sKKeB9XH)
Selain meluaskan lagi perbendaharaan kata kanak-kanak, bahan bacaan komik juga dikatakan boleh merangsang imaginasi dan kreativiti mereka dengan ilustrasi dan grafik yang menarik.
“Ia datang dalam bentuk visual, lebih banyak visual daripada teks yang diketengahkan dalam kandungan komik dan ia juga dihasilkan dalam bentuk panel. Ada bingkai tertentu jadi dengan sendirinya kanak-kanak itu dapat fokus kepada jalan cerita. Kosa kata yang digunakan dalam setiap bingkai itu memerikan apa yang hendak disampaikan dan teks yang digunakan mudah difahami," kata Pensyarah Sastera kanak-kanak dan Remaja di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Kartini Anwar.

"Kanak-kanak didedahkan kepada informasi yang mungkin mereka sebelum ini belum tahu. Selain daripada itu kemahiran membaca ini juga dapat memupuk kemahiran sosial mereka. Membaca juga menggalakkan pelajar, untuk menggunakan pemikiran kritis sebab mereka juga digalakkan menggunakan perspektif mereka daripada bahan yang mereka baca itu," ujar Dr Kartini.
Namun begitu, beliau juga mengingatkan ibu bapa untuk turut mendedahkan anak-anak mereka kepada bahan bacaan lain.
“Kalau kanak-kanak ini terlalu kerap didedahkan kepada bahan bacaan yang mempunyai visual, apabila mereka harus berhadapan dengan bahan bacaan hanya teks sahaja tanpa visual, mereka akan mendapati kesukaran. Kita juga harus memastikan bahawa kanak-kanak, peringkat ke peringkat, mereka juga dilatih untuk membaca teks-teks yang tidak mempunyai visual,” jelas Dr Kartini.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.