Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KOMENTAR: Singapura Dalam Ikatan Sastera Nusantara

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Singapura Dalam Ikatan Sastera Nusantara

Salah sebuah sesi gig puisi. (Gambar: National Library Board)

BERITAmediacorp: Selepas 46 tahun, Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) masih lagi bersemangat kental dalam menyatukan sasterawan berbahasa Melayu di Asia Tenggara. Inilah pancaran daripada PSN ke-20 anjuran Angkatan Sasterawan ’50 pada 25 hingga 26 Februari di Wisma Geylang.

Ikatan serantau atau dipanggil Nusantara masih bersemangat berdasarkan laungan ketetapan Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-20 (PSN20) anjuran Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS’50) baru-baru ini.

Dihadiri 150 peserta dari Brunei, Indonesia, Malaysia, selatan Thailand dan negara tuan rumah, Singapura pada 25 dan 26 Februari lalu di Wisma Geylang Serai, PSN20 telah menyampaikan ketetapan atau resolusi kental.

Bertemakan ‘Sastera Dama Era Negara Bijak’, para penulis dan pengkaji sastera Melayu merumuskan bahawa teknologi perlu dikuasai dan bukan sebaliknya dalam menghasilkan sastera bermutu berdasarkan nilai-nilai jati diri, kewibawaan dan kearifan tempatan.

Perhimpunan itu menegaskan lagi bahawa pengajaran bahasa dan sastera Melayu di rantau ini sewajarnya menggunakan teks-teks sastera hasil karya-karya pengarang dari wilayah Nusantara yang merentasi geopolitik negara.

PERUBAHAN MAKNA

PSN dirintis di Singapura pada 1977 selang reda sedekad isu Konfrontasi yang memecahkan ikatan rumpun Melayu.

Makna baru ‘Nusantara’ telah direkayasa dalam rangka membina semula jambatan persefahaman lewat persuratan. Menurut Setiausaha I ASAS’50 ketika itu, Encik Mohd Gani Ahmad (@Megadona):

“Bila kami pilih istilah ‘Nusantara’ dan bukan Asia Tenggara, kami dihujani teguran keras. Ini kerana istilah itu dulunya gambaran cita-cita siasah kerajaan silam Majapahit dan rejim Sukarno,” ujar Encik Mohd Gani, 82 tahun, seorang pesara guru.

Istilah ‘Nusantara’ disebut Gajah Mada (1290-1364M), patih atau bendahara (perdana menteri) Kerajaan Majapahit, sebagai impian besarnya untuk menguasai rantau ini dalam abad ke-13 Masihi. Ia disemboyankan semula sewaktu rejim Sukarno melancarkan penentangan bersenjata dan diayah kerana marah akan terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 1963 (Singapura sebahagian Malaysia sehinggalah pada 9 Ogos 1965).

“Visi ASAS’50 adalah untuk membawa perubahan membina dalam Nusantara sebagai Dunia Melayu yang rukun atau harmoni kerana ikatan sejarah, darah dan tamadun,” ujar Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016), pendiri utama ASAS’50.

Bahkan lejangan daripada prakarsa ASAS’50 telah mendorong berlangsungnya Pesta Drama Nusantara anjuran Persatuan Kemuning Singapura pada 1982. Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) pula merintis Pertemuan Guru-Guru Nusantara pada 24 November 1983. Pertemuan Wartawan Nusantara anjuran Persatuan Wartawan Melayu Singapura diadakan pada 21-22 Ogos 1988. (Rujuk: ‘Yang Terukir’: 2015)

CENDEKIAWAN MELAYU

Mengapa daya besar sedemikian tercetus di Singapura?

Pertama-tama, Singapura pernah menjadi pusat cendekiawan Melayu dalam abad ke-14M dan antara 1830-1960, menurut almarhum Prof Pendeta Ismail Hussein (1932-2014). Beliau mengagumi Singapura sebagai “pencetus semula jadi” bagi memicu apa jua perkembangan di rantau ini.

Terbukti gerakan ikatan budaya Nusantara yang mendapat suntikan makna yang baru di Singapura telah bersambut baik.

Malah Prof Ismail telah memanfaatkan Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang diketuainya untuk menjadi sekretariat atau urus setia PSN sehingga kini. Lejangan (momentum) itu telah membawa kepada terbentuknya Sekretariat Dunia Melayu Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Kini hanya PSN dan PGN yang masih cergas diadakan pada skala kerantauan.

Dalam pada itu telah wujud ikatan bersandarkan kerjasama antara pemerintah iaitu Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (Mabbim) dan Majlis Sastera Asia Tenggara. Juga tidak ketinggalan ialah Mabims iaitu singkatan, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang menentukan kerjasama agama, termasuk kalendar atau takwim Islam.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Walaupun gerakan kebudayaan Nusantara amat bersandarkan penggunaan bahasa Melayu baku, namun berlaku semacam paradoks. Antara lain, ini kerana pendidikan sastera sebagai penyalur bahasa dan budaya kurang diutamakan dalam sistem pendidikan rantau ini.

Hakikat para sasterawan rantau dikenali kerana adanya usaha untuk mengkaji sastera serantau.

Misalnya nama-nama sasterawan dari Indonesia dari Hamka sehingga Taufik Ismail atau Shahnon Ahmad dari Malaysia dikenali di Singapura, terutama dalam kalangan pelajar aliran Melayu lewat karya mereka sebagai teks sastera.

Sayangnya bak dihimbau oleh sasterawan besar Indonesia, Taufik Ismail, sastera kian diketepikan dalam sistem pendidikan Indonesia, negara penampung rumpun Melayu terbesar. Beliau menyifatkan hal ini sebagai “cerita duka”.

Mentelah lagi, edaran bahan bacaan bercetak berbahasa Melayu dihadang di Indonesia oleh dasar perlindungan yang sudah berakar lama sejak zaman penjajah Belanda.

Perkara ini telah lama dibincangkan di peringkat Mabbim dan Mastera tetapi masih terbeku. Oleh itu, ada semacam rasa terkilan apabila jalinan menerusi pembacaan tadi masih terhalang oleh faktor-faktor yang sudah lama dikenal pasti tetapi tidak diatasi dengan tuntas.

Gerakan ikatan Nusantara juga memerlukan ‘darah muda’ kerana para tokoh pendirinya sudah banyak yang berpulang atau tidak dapat aktif lagi.

Misalnya, ASAS’50 masih lagi menonjolkan ahli jawatankuasa yang dalam usia persaraan kerana sukarnya mendapatkan para ahli muda sebagai pengganti.

NEGARA BIJAK

ASAS’50 sengaja memilih tema cabaran teknologi demi memastikan masyarakat yang kian taksub dengan peranti canggih tidak melupakan sastera, kata pesara guru, Abdul Samat Ali, antara pendukung utama badan ini.

Sayangnya, bak diluahkan Sasterawan Sesepuh, Hj Suratman Markasan, 92 tahun (mungkin peserta tertua pada acara ini), bahasa dan sastera Melayu kurang diminati mutakhir ini.

Fenomena ini membuat beliau sebak kerana khuatir berlaku zaman kelam bagi persuratan Melayu di watan ini.

Adakah hal serupa berlaku di negara-negara jiran?

Media massa di Malaysia, misalnya, mendedahkan meluasnya trend bahan bacaan lucah yang dibaca anak muda lewat telefon bimbit dan komputer.

Bukan saja bahan begini berisi kandungan yang cacat akhlaknya, bahkan penggunaan bahasa yang rancu dan nilai sastera yang menghinakan.

Oleh itu, PSN20 boleh menjadi detik singkapan yang serius untuk mengatur orakan langkah selanjutnya demi memastikan laluan teguh bagi persuratan Melayu.

MENGENAI PENULIS:

raman
(Gambar: Mohd Raman Daud)

Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan