Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KOMENTAR: RRG dan ACG contoh kerjasama Pemerintah & masyarakat banteras pengganasan

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: RRG dan ACG contoh kerjasama Pemerintah & masyarakat banteras pengganasan

Anggota JI diberkas di Indonesia. (Gambar: AP)

BERITAmediacorp: Pada Disember lalu, Singapura memperingati ulang tahun ke-20 penangkapan anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI). Pada akhir tahun 2001, mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang untuk melancarkan serangan pengganas di beberapa lokasi di negara ini.

Ini termasuk rancangan menggunakan bom trak untuk menyerang Kedutaan Amerika Syarikat dan Israel, bangunan-bangunan komersial yang menempatkan firma Amerika dan bas ulang-alik yang membawa anggota tentera Amerika dan keluarga mereka di kawasan Sembawang ke Stesen MRT Yishun.

Mujur, rancangan jahat mereka ini berjaya dipatahkan apabila aktiviti kumpulan JI dikesan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD). ISD berjaya menahan 13 anggota JI pada akhir 2001 manakala lebih banyak penangkapan dilakukan pada tahun 2002.

Seperti negara-negara lain yang berdepan dengan ancaman serupa ketika itu, Singapura juga meningkatkan tahap keselamatan negara, di samping melakarkan strategi menentang JI dan ancaman pengganasan. Namun, keunikan Singapura dalam usaha ini adalah pendekatannya melibatkan kumpulan-kumpulan masyarakat termasuk para pemimpin agama dan masyarakat.

Bandar Singapura (Gambar: Mediacorp)
Bandar Singapura (Gambar: Mediacorp)

RRG DAN ACG

JI adalah kumpulan pengganas yang menggunakan agama sebagai alat utama untuk mencapai matlamat mereka.

Konsep-konsep agama seperti jihad, syariah dan hijrah telah dipesongkan JI demi mewajarkan tindakan ganas mereka. Fahaman agama mereka pun sangat tegar.

Pemerintah Singapura pada ketika itu akur bahawa ideologi songsang yang dipegang JI harus diluruskan.

Ia sedar bahawa untuk memastikan usaha pemulihan dan menentang ekstremisme berjalan di landasan yang betul, mereka perlu mendapat kepercayaan anggota masyarakat.

Langkah pertama ialah dengan membentuk satu badan kolektif pakar agama dan cendekiawan Islam tempatan.

Maka lahirlah Kumpulan Pemulihan Keagamaan atau RRG yang ditubuhkan oleh sekumpulan asatizah tempatan secara sukarela pada tahun 2003. Matlamat utama mereka adalah untuk membantu Pemerintah memulihkan fahaman agama tahanan JI.

Sifat RRG sebagai badan sukarela adalah penting kerana ia mengisyaratkan kebebasan daripada pemerintah, walaupun ia bekerjasama secara erat dengan Pemerintah. Dengan cara begini, RRG mempunyai rasa pemilikan (sense of ownership) dan tanggungjawab kolektif terhadap masyarakat.

Kredibiliti RRG sebagai sebuah kumpulan agama serta kepentingan usahanya itu mendapat sokongan padu daripada para ulama mapan Singapura pada ketika itu.

Pemimpin agama seperti Allahyarham Ustaz Syed Ahmad Semait, Allahyarham Ustaz Ahmad Sondhaji Mohamad dan Ustaz Mohamad Rais antara lain tampil membantu RRG khususnya dalam membimbing proses penghasilan manual kaunseling bagi pemulihan tahanan JI.

Manual yang diusahakan RRG itu memainkan peranan penting dalam menentang ideologi JI.

Selain para ulama, masyarakat Muslim tempatan turut memikul tanggungjawab membantu proses pemulihan tahanan JI. Beberapa organisasi Melayu/Islam (MMO) seperti Mendaki, AMP, Taman Bacaan dan juga Masjid Khadijah telah berganding bahu dan menubuhkan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi atau ACG.

ACG yang terdiri daripada rangkaian badan-badan ini ditubuhkan demi menyediakan sokongan emosi, sosial serta kewangan kepada keluarga tahanan khususnya isteri dan anak-anak mereka.

Pendekatan ACG tertumpu kepada aspek kesejahteraan dan keperluan keluarga di samping persekolahan anak-anak mereka.

Kepentingan usaha ACG ini dapat dilihat apabila keluarga tahanan yang secara tiba-tiba kehilangan ketua keluarga diberikan sokongan dengan pelbagai bantuan sehingga mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Selain mengusahakan bantuan, ACG juga turut berusaha mengesan sebarang kemunculan fahaman radikal yang mungkin ditonjolkan anggota keluarga tahanan dan menanganinya dengan baik. Pendekatan ini amat penting dalam memutuskan rangkaian fahaman tegar dalam institusi keluarga.

KERJASAMA PEMERINTAH-MASYARAKAT

Penubuhan RRG dan ACG adalah contoh di mana masyarakat dapat berganding bahu dengan Pemerintah dalam perkara yang menjadi kepentingan awam dan negara. Dalam menentang pengganasan yang dilandaskan agama, pelibatan masyarakat perlu demi membasmi ideologi yang mungkin boleh berakar umbi dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Kerjasama Pemerintah-masyarakat seperti yang ditonjolkan RRG and ACG boleh menjadi satu model bagi dunia.

Ia menunjukkan bahawa usaha memerangi pengganasan boleh dipertingkatkan melalui prinsip asas kepercayaan dan sinergi.

Dalam hal ini, terdapat sekurang-kurangnya empat isu yang berkaitan dengan sinergi ini.

PERTAMA - ancaman pengganasan ini harus dilihat sebagai isu keselamatan negara dan bukan masalah sesuatu agama.

KEDUA - menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan, contohnya, penyertaan para ulama sangat membantu.

KETIGA - menangani isu amanah sebagai asas, contohnya, apabila elemen sekular (seperti Pemerintah Singapura) perlu dicampur dengan isu agama yang sensitif.

KEEMPAT - kepentingan menambat hati tahanan dengan menangani keperluan psikologi mereka dan juga membantu ahli keluarga mereka.

Ringkasnya, kejayaan pencegahan pengganasan memerlukan dialog dan kerjasama antara Pemerintah dan pelbagai agensi bukan pemerintah — pendekatan "seluruh masyarakat" (whole of community approach).

Masyarakat luas dan sektor swasta harus dilihat oleh Pemerintah sebagai pihak yang berkepentingan dan rakan kongsi utama dalam mencegah dan menentang pengganasan.

POLIS
Pegawai Polis Singapura (Gambar: CNA)

HASIL KERJASAMA ERAT
Setelah dua dekad dan hasil kerjasama yang erat antara Pemerintah dengan masyarakat, 52 daripada 56 tahanan JI telah dapat dibebaskan. Proses integrasi mereka dalam masyarakat juga berjalan dengan baik secara umumnya.

Ramai daripada para tahanan mensyukuri pendekatan dan bantuan yang telah dihulurkan kepada mereka. Pendekatan ini mampu mengubah persepsi sebahagian daripada mereka bahawa penahanan ISA adalah satu pengalaman yang sangat negatif.

Dengan bantuan yang dihulurkan kepada keluarga para tahanan, mereka juga telah maju dalam kehidupan masing-masing.

Ada dalam kalangan anak-anak tahanan yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi bahkan berjaya dengan cemerlang.

Kesemua ini berjaya dicapai berkat gandingan dan kerjasama erat antara Pemerintah dan masyarakat serta usaha dan kerja keras kumpulan-kumpulan masyarakat seperti RRG, ACG dan lain-lain.

Pakar antipengganasan Profesor Bruce Hoffman dari Universiti Georgetown mengiktiraf kepentingan melibatkan keluarga tahanan dalam program menentang pengganasan. Beliau mengatakan:

“Usaha perintis RRG di Singapura menjadi model dan inspirasi dalam usaha menentang radikalisasi di mana-mana. Pendekatan RRG bukan sahaja kepada golongan radikal tetapi kepada keluarga mereka adalah contoh yang paling berkesan bagi pendekatan yang paling inovatif dan baru untuk menangani fenomena ini."

Kemunculan kumpulan bermotifkan agama yang ganas seperti JI bukanlah alasan untuk mengasingkan mereka daripada masyarakat.

Sebaliknya, ia adalah peluang untuk mendekati dan menyepadukan mereka semula ke pangkuan masyarakat. Cara ini adalah asas bagi pendekatan menambat hati dan minda mereka (winning hearts and minds).

Mengenai pendekatan memerangi pengganasan di Singapura dalam konteks pemerintahan yang sekular dan masyarakat majmuk, Profesor Hoffman selanjutnya berkata: “Yang paling penting, ia membuktikan bahawa tidak ada peperangan terhadap Islam, seperti yang sering didakwa oleh golongan radikal dan masyarakat sememangnya boleh hidup bersama dengan aman dan harmoni.”

Dr Mohamed Ali
Dr Mohamed Ali (Gambar: Dr Mohamed Ali)

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohamed Bin Ali adalah Kaunselor dan Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Beliau merupakan antara asatizah yang telah berkhidmat dalam RRG sejak ia ditubuhkan pada April 2003.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan