Skip to main content

Singapura

KOMENTAR: Kesaksian Sejarah Orang Pulau

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Bercerita itu adalah usaha untuk melanjutkan hayat.

Bercerita memerlukan daya ingatan, sekali gus menghendaki kemampuan memetik apa yang wajar dan patut untuk dibilang, dibuang, dijulang dan diulang.

Dengan kesanggupan bercerita mungkin saja akan menelurkan rasa cita kepada si pencerita dan para pendengar.

Baik sejarah dan memori sosial ia memerlukan pencerita atau tukang cerita.

Ada pencerita mengumpul bahan dan kajian, ada pencerita diwariskan ingatan dari generasi terdahulu. Ada juga pencerita yang sekadar mengadun bahan tebakan.

Begitulah hari ini kita memerhatikan minat kepada sejarah, termasuk memori sosial dan perihal warisan, sama ada jenisan warisan benda dan warisan tidak tampak (intangible heritage). Minat ini semakin menggebu minat dan ini petanda sihat.

Dalam filsafat sosial, hadir dalam sejarah diperkirakan sangat penting, kadang-kadang diseiraskan sebagai mencipta sejarah itu sendiri. Hadir dalam sejarah boleh saja dalam pelbagai bentuk. Sering dalam kesarjanaan ilmiah di mana sejarah ditulis daripada perspektif pengkaji yang pastinya terpengaruh oleh ideologi kelompok yang melatari masyarakat atau pemikiran sang pengkaji itu sendiri. Selain ranah kesarjanaan, hadir dalam sejarah juga boleh terungkap dalam produksi seni.

Hadir dalam sejarah itu juga boleh dipanjangkan sebagai suatu kesaksian sejarah. Baik penulisan sejarah, mahupun produksi seni, bentuk kesaksian sejarah itu harus terus dilakukan, tanpa harus ada kesimpulan muktamad. Sejarah harus terus diceritakan, sekiranya ia mahu diingati secara berkesan.

Begitulah usaha dalam persembahan “Air Da Tohor” yang dipentaskan semasa Pesta Raya 2023 anjuran The Esplanade pada hujung minggu lalu.
Gambar: Esplanade
Pementasan gaya dokumentari dan imbasan memori ini hasil gandingan Asnida Daud dan Firdaus Sani, yang lewat-lewat ini sangat aktif mengkedepankan wacana tentang Orang Pulau atau Orang Laut dalam kalangan awam Singapura.

Mereka berdua berasal daripada keluarga yang nasabnya sudah sekian lama menjadi penduduk pulau-pulau Selatan, yang sejak tahun 1970-an telah menjalani penempatan semula di tanah besar Singapura. Hasil dari perkenalan dan berbagai pengalaman, kedua-duanya bergabung untuk menghasilkan sebuah produksi seni yang sederhana, cermat tetapi bersemangat.
Gambar: Esplanade
Justeru penampilan mereka dalam doku-pementasan ini sangat bererti, yang digubal jalur cerita hasil dari kajian, ingatan dan penyertaan dari mereka yang benar-benar telah melalui kehidupan di pulau-pulau Selatan.

Penempatan semula penduduk pulau-pulau Selatan ke tanah besar Singapura, adalah fasa sejarah yang penting. Di satu sisi, sebagai warga Singapura, perancangan ini harus dapat membawa mereka masuk ke dalam arus pembangunan.

Namun di satu sisi penempatan ini juga membawa sisi 'displacement' atau penggusuran yang membawa kesan besar kepada penduduk pulau-pulau Selatan.

Pertama, penyesuaian untuk mendapatkan sara hidup kerana sewaktu bermastautin di pulau, mereka menyara hidup sebagai nelayan. Kehidupan baru di estet perumahan HDB pastinya tidak membenarkan ini. Sara hidup yang terjejas membawa kesan ekonomi yang mendadak kerana hidup di tanah besar memerlukan kemahiran dan sijil pendidikan untuk membolehkan mereka mengecap kestabilan ekonomi.

Secara sosiologikal juga tidak mudah untuk penduduk dari pulau-pulau Selatan membuat penyesuaian dengan cepat. Struktur masyarakat yang tersusun secara kolektif dengan rangkaian dukungan kerabat dan tetangga, amat berbeza dengan kehidupan keluarga nuklear di tanah besar yang masing-masing dengan unit rumah flat tersendiri.

Inilah antara yang dipaparkan dalam pementasan ini yang terbahagi kepada empat segmen yang masing-masing dengan tema tersendiri, namun berkait sebagai sebuah narasi.

Pementasan ini tidak berjela walau di peringkat awal berlegar agak perlahan. Penataan muziknya menggetar dan iringan suara latar sangat hidup, betapa lagi menggema suara mantap Asnida yang garau dan lemak. Firdaus membuka pentas dengan adegan Mantera Laut yang mengingatkan kita akan kepercayaan dan upacara memberikan sesajian untuk menghormati semangat yang ada pada roh leluhur dan penunggu alam.

Persekitaran dihormati kerana ia memberi sumber alam untuk manusia melanjutkan kehidupan dan keselamatan. Dari sudut artistik, pembukaan seperti ini mirip upacara buka panggung, sebagaimana yang terlazim dalam persembahan Makyong dan Wayang Kulit.

Rangka Bubu Sebagai Milik Budaya

Segmen yang menarik ialah “Rangka Bubu”, yakni jeratan untuk menangkap kehidupan laut. Alat dan kepandaian ini telah dicipta dan diperturunkan kepada penduduk pulau Selatan. Rangka Bubu ini dipasang mengikut kesesuaian paras laut dan ia melambangkan ketukangan dan peralatan asas yang dimiliki masyarakat tersebut. Ia juga melambangkan punca menyara kehidupan agar keluarga terjamin makan minum dan pakai. Bubu inilah juga suatu lambang kehidupan ekonomi mereka yang terputus sejak mereka dipindahkan ke tanah besar.

Dengan itu mata pencarian mereka terputus dan bayangkan bagaimana ramai dari masyarakat ini harus menyesuaikan kehidupan yang sememangnya amat mencabar di kota metropolitan ini.

Segmen “Kami Tak Akan Mati” memberi sekelumit kenangan masyarakat ini yang suka memakan ikan buntal yang dikatakan lazat, betapa menyiapkannya untuk masakan sangat memerlukan kepandaian membuang racun dari ikan tersebut. Masakan seperti ini mengumpulkan keluarga dan sanak saudara dengan bergotong-royong berbagi kerja dan hasil.

Segmen “Pelindung” mengaitkan seni silat mempertahankan diri dengan penampilan Isiah Majid dan anak didik silatnya. Silat Cindai, khasnya untuk kaum perempuan menjadi pilihan. Dengan kain sarong atau kain basahan, seni silat ini satu cara kaum perempuan tangkas mempertahankan diri.

Baik masakan ikan buntal dan silatan yang ditampilkan, ia mungkin bertujuan untuk menggambarkan kehidupan sosial masyarakat pulau-pulau Selatan. Yang menarik, ketokohan ini diberikan kepada peranan perempuan. Merekalah penjaga kearifan tempatan (local wisdom). Asnida, dalam pementasan ini, mengambil peranan sebagai Sang Penyeru, watak perempuan di pulau dan di rumah pangsa.

Dengan sulaman artistik, segmen yang terpisah-pisah ini menjadi sebuah doku-pementasan yang utuh dengan pesan yang jelas untuk digarap.

Pementasan berakhir dengan sisipan forum soal-jawab yang dipimpin oleh Adlin Mosbit, (pementasan hari Sabtu) yang juga menjadi dramaturgi bagi pementasan ini. Sesi ini berguna bagi menjelaskan beberapa perkara, selain mengingatkan kita akan prejudis dan stigma yang sering dilekatkan pada individu dan masyarakat.

Lantas mengingatkan kita kepada pemitosan yang dicipta terhadap kelompok yang tergusur dalam sejarah sebagai kerdil, jahil dan terkepil.

Perempuan Penyimpan Memori

Ternyata dalam masyarakat tradisional, perempuan memainkan peranan sebagai penyimpan kepandaian, ingatan dan pengalaman.

Cerita dan pepatah petitih, termasuk loghat bahasa dari ibu melanjutkan ingatan kepada anak-anak. Cerita ingatan melemak dan melunak dalam otak sehingga ia menjadi inti kepada jati diri anak-anak tersebut. Itulah mungkin yang terserlah kepada Asnida dan Firdaus.

Khasnya bagi Firdaus yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini bergiat untuk menggerakkan memori sosial, warisan dan kejatidirian masyarakat itu atau generasi muda yang lahir dari linkungan masyarakat tersebut.

Usaha sebegini wajar disebut sebagai kesaksian sejarah. Asnida dan Firdaus walaupun tidak dilahirkan dan membesar di pulau-pulau Selatan, tetapi mereka dibesarkan daripada masyarakat yang masih mendambakan kenangan hidup di pulau-pulau tersebut. Sekali sekala, ada yang berkesempatan kembali ke pulau mereka betapa harus akur akan regulasi dan 'route' pelayaran yang dibenarkan.

Pastilah penduduk pulau-pulau Selatan bukan saja melihat tanah pulau mereka berubah dengan deras sejak mereka dipindahkan, begitu juga mereka melalui proses modenisasi yang berderas di Singapura.

Seperti masyarakat lain, mereka memiliki ingatan, kenangan dan identiti tersendiri. Keluarga mereka, yakni ibu bapa dan datuk nenek mereka menjalani sendiri proses pemindahan ke tanah besar.

Pastinya kehibaan dan kedukaan tersebut sukar mereka padamkan. Sewaktu proses penempatan semula itu, sayangnya tidak banyak dan serancak usaha untuk mendokumentasi proses penempatan semula. Mungkin ada beberapa rakaman sejarah lisan dan satu dua kajian ilmiah, namun ia tidak mudah untuk dirujuk oleh awam. Akhirnya cerita tentang Orang Pulau/Orang Laut tersudut dan dilupakan.

Merakam Sejarah

Yang berlalu dalam sejarah sudah meninggalkan pergi dan tak akan kembali lagi. Itulah suratan sejarah. Tetapi itu bukan bererti sejarah mentakdirkan kita untuk melupakan peristiwa, pengalaman dan kenangan.

Terkadang juga pengalaman dan memori sosial seperti ini terakam dalam ranah kesusasteraan. Dalam novel-novel Penghulu yang Hilang Segalanya oleh Suratman Markasan dan Ombak oleh Jamal Ismail merakam suka duka penduduk pulau-pulau Selatan. Selain sastera, usaha mendokumentasikan warisan dan kajian ilmiah harus dipergiat dan digalakkan.

Pastinya usaha dalam bentuk seni seperti pementasan ini wajar mendapat tempat. “Air Da Tohor” bukan saja karya seni yang kreatif tetapi juga suatu upaya untuk merangkul kesaksian sejarah sehingga ia menjadi mesej sosial yang wajar diselidiki, dipertanyakan dan sepentingnya sama dirasakan oleh khalayak bahawa setiap masyarakat punya hak membilang cerita mereka, baik yang gembira atau duka.

Sebagai karya seni yang berkesan, seharusnya ia dapat menelurkan kesedaran kita sebagai warga senegara dan menuangkan empati kita kepada mereka yang telah melalui proses penempatan semula, tercabut dari kampung halaman yang kelak nanti mempengaruhi kemampuan mereka beradaptasi dalam persekitaran yang baru.

Membingkai Wacana Lewat Pementasan

Usaha mementas ini dapat kita telusuri tiga konsep yang pernah dibangunkan oleh Nancy Fraser, seorang pakar ekonomi politik dan filsafat sosial. Tiga konsep itu adalah sisi pengiktirafan (recognition); sisi pengagihan (redistribution) dan sisi perwakilan (representation).

Ketiga-tiga sisi ini umumnya dapat kita tarik dari tema yang termuat dalam pementasan ini kerana ia mengungkapkan segi identiti dari gaya hidup masyarakat pulau-pulau Selatan serta anak cucu mereka.

Namun identiti saja tidak mencukupi kerana segi pengagihan yakni sara ekonomi adalah faktor penting untuk menjamin keberlangsungan menyambung hidup. Tanpa sumber ekonomi menyara hidup, keluarga dan masyarakat pulau-pulau Selatan tidak akan dapat bertahan.

Sebaliknya usaha membilang sedikit cerita tentang masyarakat mereka adalah upaya perwakilan yang tampil untuk menyebut dan menyuarakan versi sejarah dan memori sosial yang mereka pernah lalui.

Menceritakan Sendiri

Sesungguhnya setiap masyarakat punya hak untuk merakam dan membilang sejarah masing-masing. Terkadang ada sejarah yang dituliskan oleh orang luar, mungkin saja dengan perspektif asing.

Namun penting “orang dalam” atau ahli dalam masyarakat menggerak kesedaran sejarah melalui pelbagai cara, dengan matlamat menghadirkan versi atau tanggapan sejarah mereka.

Dalam wacana warisan Melayu Singapura, sering kita mendengar tentang kelompok dari suku Jawa, Bawean, Bugis, Minangkabau dan Banjar.

Pasti usaha ini wajar disambuti. Namun, harus juga kita berusaha untuk menjenguk warisan dan sejarah masyarakat Orang Pulau/Orang Laut yang pernah satu ketika menjadi sebahagian besar daripada penduduk Melayu Singapura.

Semoga usaha dalam bentuk seni membicara dan membilang cerita Orang Pulau/Orang Laut terus mengombakkan imaginasi, membutirkan pasir ingatan di sepanjang pantai sejarah.

Desir ombak merubah pantai di laut yang sama. Begitulah denyut sejarah, yang meluas dan mendalam, betapa yang sering kita lihat adalah ombak menggulung di pantai. Bagi yang peduli, setiap perubahan pantai wajar kita ceritakan.

Dari pengalaman dan tekad masyarakat ini, harus dapat mengajar kita bahawa kesaksian sejarah adalah sebahagian daripada tugas dan amanah zaman.

Saksikanlah!
Gambar: Esplanade
MENGENAI PENULIS:
Dr Azhar Ibrahim Alwee adalah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita