Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KOMENTAR: 'Burnout' dalam kalangan pekerja sosial perlu diberikan perhatian

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: 'Burnout' dalam kalangan pekerja sosial perlu diberikan perhatian

Gambar: Sumber Web

BERITAmediacorp: 'Burnout' adalah keletihan fizikal, mental dan emosi yang berpunca daripada tekanan yang berpanjangan disebabkan oleh beban kerja yang berat dan lingkungan yang tidak mendukung.

Burnout sering juga dikaitkan dengan simptom ibarat kemurungan (depression) dan kerunsingan (anxiety), serta simptom fisiologi seperti keletihan, kurang tidur, sering pening dan sakit kepala.

Antara ciri-cirinya adalah: kehilangan semangat dan minat untuk menjalankan tugas, bergelut untuk memberikan tumpuan kepada pekerjaan, rasa jenuh dan kurang pencapaian, prestasi yang menurun dan berpandangan sinis terhadap klien, pekerjaan dan kehidupan.

Jika dibiarkan, ia akan semakin menjejas prestasi pekerja dan menyebabkan peletakan jawatan dan kehilangan tenaga kerja.

burnout
PEKERJA SOSIAL ANTARA YANG BERISIKO 'BURNOUT'

Pekerja sosial adalah antara kumpulan karyawan yang sering berdepan dengan tekanan yang tinggi.

Mereka membantu kumpulan-kumpulan yang memerlukan perlindungan seperti kanak-kanak yang didera dan wanita yang dipukul bantai oleh pasangan mereka. Dalam membantu mangsa, pekerja sosial juga perlu berdepan dengan risiko berlaku keganasan ke atas diri mereka sendiri.

Pekerja sosial juga membantu mereka yang dirundung masalah kewangan, rumah tangga, pekerjaan, ketagihan, penyakit kronik, masalah kesihatan mental dan pelbagai cabaran kehidupan.

Setiap individu yang dibantu akan membawa bersama kepahitan kehidupan yang dikongsi dengan pekerja sosial mereka. Walaupun pekerja sosial bersikap profesional dalam mengendalikan kes, sebagai manusia biasa, mereka tetap akan merasakan keperitan yang dialami oleh klien mereka.

Oleh itu, pekerja sosial juga memerlukan penyeliaan (supervision) yang baik agar kesan emosi ini dapat diselenggara dan diproses. Jika tidak, ia akan terus menebal dan menjejas kesihatan mental dan emosi mereka pula.

tekanan

BACA: Meski tertekan jururawat tetap bersemangat ceriakan pesakit sempena CNY

PERSEKITARAN KERJA SEMAKIN MENCABAR

Keadaan pandemik juga semakin menambahkan lagi tekanan, termasuk pekerja sosial. Misalnya, mereka yang diberhentikan kerja disebabkan oleh pandemik juga mengharapkan pekerja sosial untuk membantu mereka. Mereka yang dahulunya dalam kalangan berpendapatan pertengahan dan kini melalui masa sukar adalah antara kumpulan klien baru yang dikendalikan oleh pekerja sosial.

Tetapi, peningkatan kes bukan sahaja merangkumi keperluan pekerjaan dan kewangan. Bantuan dari segi sokongan emosi juga diperlukan. Semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 2020 misalnya, pekerja sosial berdepan dengan peningkatan kes keganasan pasangan yang terpaksa duduk sebumbung dalam keadaan yang berpanjangan dan berisiko.

abuse
Penambahan kes perlu diseimbangkan dengan dukungan daripada majikan yang prihatin.

Malangnya, badan-badan amal yang menggajikan pekerja sosial juga berdepan dengan sumber kewangan yang terhad untuk mendapatkan pekerja sosial tambahan. Akibatnya, pekerja sosial terus memikul beban kes yang bertambah dan merasakan diri mereka tidak dipedulikan dan tidak dihargai.

Pekerja sosial bertugas di dalam suasana yang semakin sukar – permintaan dan jangkaan khidmat yang meningkat, sumber yang terhad dan pekerjaan yang semakin diteliti oleh media dan orang awam.

Keberkesanan mereka juga dipantau. Penilaian dan tindakan mereka juga kadangkala dipersoalkan oleh klien, ahli keluarga klien dan pihak luar. Jika mereka rasa bersendirian dalam menghadapi semua ini, mereka akan berasa ragu jika khidmat yang mereka berikan sepanjang kerjaya mereka ini benar-benar berbaloi.

PANDEMIK JEJAS KEBERKESANAN KHIDMAT

Pandemik juga telah menjejas cara pekerja sosial bertugas. Kerjaya yang menekankan perhubungan untuk menyampaikan khidmat kini perlu menimbangkan keselamatan dan kesihatan diri dan klien mereka.

Apabila waktu lawatan ke rumah dihentikan semasa penularan pandemik, pekerja sosial risau tentang kemaslahatan warga senja yang tinggal sendirian dan terpencil.


Walaupun penyesuaian dilakukan dengan menggunakan kaedah online, sesetengah pekerja sosial merasakan ia tidak sebaik yang khidmat yang ingin diberikan. Ada juga yang berasa usaha mereka kurang berkesan apabila program intervensi seperti kumpulan sokongan dan bengkel perlu beralih ke dalam talian dan bukan bertemu muka seperti dulu. Ini menambahkan rasa kurang berkesan dalam diri mereka.

BACA: Kadar kemurungan & keresahan dalam kalangan wanita hamil melonjak dek pandemik

Kesan pandemik telah membawa peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja barisan hadapan.

Pekerja sosial tidak terkecuali.

Kajian yang dijalankan pada Jun 2021 ke atas 308 pekerja sosial oleh Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) mendapati 56.5% daripada mereka mengalami kerunsingan (anxiety); dan 45.8% pula menghadapi kemurungan (depression).

SUSS berpendapat ini kerana kurang pengalaman dalam menempuh keadaan pandemik yang luar biasa dan belum pernah ditempuhi kebanyakan mereka.

Lagipun, tidak seperti pekerja perubatan barisan hadapan, pekerja sosial selalunya melakukan tugas di balik tabir yang jarang diiktiraf oleh masyarakat.

SUASANA YANG MENDUKUNG PENTING UNTUK ELAKKAN BURNOUT

bantuan
Bolehkah burnout dalam kalangan pekerja sosial dielakkan?

Keprihatinan dari orang atasan amat kritikal. Mereka perlu memastikan tugas yang diberikan tidak membebankan pekerja. Pada masa yang sama, mereka juga perlu memastikan para pekerja mereka diberikan penyeliaan yang peka kepada perubahan emosi dan tingkah laku agar simptom burnout ini dapat dikesan lebih awal.

Budaya kerja yang saling menyokong juga akan membantu. Sebagai ketua agensi, mereka boleh memastikan suasana yang selamat untuk pekerja sosial meluahkan stres (tekanan) yang mereka hadapi dan menggalak sikap saling bertanya khabar antara para pekerja mereka.

cry
PERLU TINGKATKAN DAYA TAHAN

Sebagai pekerja sosial, kita juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan daya tahan mengurangkan risiko burnout daripada berlaku. Setiap kita tentunya tahu tahap keberkesanan kita dalam memikul tugas dan tanggungjawab. Kita perlu bersikap realistik dan mengimbangi jangkaan setiap tugas yang dikerjakan agar tekanan dapat dikawal.

Apabila mula berasa tertekan, luahkan perasaan kepada orang-orang terdekat yang dipercayai. Walaupun ia tidak menjurus kepada satu huraian atau penyelesaian, sekurang-kurangnya, kita akan dapat mengeluarkan perasaan negatif dari dalam diri kita.

Timbulkan isu beban kerja dalam agenda untuk dibincangkan bersama penyelia supaya jalan keluar dapat difikirkan bersama.

Perbincangan terbuka akan dapat membantu untuk menilai keutamaan setiap tugas yang diberikan. Ini juga akan memberi petunjuk kepada orang atasan tentang apakah kemaslahatan pekerja yang perlu dipertimbangkan untuk mengelakkan burnout dalam kalangan pekerja mereka.

Yang penting sekali, kita juga perlu pastikan gaya hidup yang sihat seperti beriadah dan bersenam, di samping mengeratkan rangkaian sosial yang positif dan meluangkan masa untuk melakukan aktiviti yang disukai.

Amalkan sikap rahmah kepada diri sendiri agar kita dapat menyampaikan rahmah kepada orang lain.

MENGENAI PENULIS:
KOMENTAR
Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan