Komen Speaker Tan Chuan-Jin memalukan tetapi tidak mungkin akan ditegur, kata penganalisis
Gambar fail Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.
Demikian menurut para penganalisis yang ditemui Mediacorp.
Encik Tan pada Selasa (11 Jun) memohon maaf kerana menggunakan "bahasa yang tidak sesuai dalam parlimen" semasa dewan bersidang pada April tahun ini.
Menurut satu catatan di reddit, Encik Tan berkata "f****** populist" dengan nada yang rendah selepas memanggil Anggota Parlimen (AP) Vikram Nair (PAP-Sembawang) untuk menjawab AP Jamus Lim (WP-Sengkang).
Dalam satu hantaran Facebook, Encik Tan berkata bahawa beliau sudah memohon maaf kepada AP Parti Pekerja itu dan pemohonan maaf beliau telah "diterima dengan baik".
Pemerhati politik Eugene Tan berkata selain kebertanggungjawapan peribadi, Speaker boleh ditangani oleh Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) Parlimen, yang boleh mengegurnya.
Profesor Madya Undang-Undang dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu turut menjelaskan bahawa Ketua Dewan boleh merujuk perkara yang melibatkan tingkah laku yang tidak sesuai dengan parlimen atau pelanggaran sebarang hak istimewa parlimen kepada jawatankuasa tersebut. Memandangkan COP dipengerusikan oleh Speaker, jika perkara itu melibatkan Speaker, maka Speaker akan digantung daripada berkhidmat dalam jawatankuasa itu.
Seorang AP juga boleh cuba memohon agar Speaker dirujuk kepada COP, tetapi ini memerlukan AP untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan daripada Dewan.
Meskipun kata-kata Encik Tan "tidak sesuai", ia tidak "benar-benar teruk", menurut profesor madya itu.
Dua penganalisis berpendapat perkara itu mungkin berakhir dengan permohonan maaf Speaker.
"Memandangkan perkara itu mungkin dianggap sebagai sudah ditutup oleh kedua-dua AP Jamus Lim dan Speaker, maka tidak mungkin perkara itu akan diperbesar-besarkan lagi," kata Prof Madya Tan.
TIADA ALASAN BAGI KELAKUAN SEDEMIKIAN: PENGANALISIS
Para penganalisis politik memberitahu Mediacorp bahawa selain daripada isu teguran rasmi, insiden itu telah memalukan Encik Tan dan tidak sesuai untuk seseorang Speaker.
"Sebagai Speaker, beliau perlu lebih berhati-hati mengenai reaksinya terhadap ucapan serta komen yang dikeluarkan oleh rakan-rakannya dalam parlimen," ungkap Profesor Madya Tan.
Dr Felix Tan, seorang penganalisis politik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata perlu ada, sekurang-kurangnya beberapa bentuk teguran untuk Speaker.
"Tiada sebarang alasan bagi kelakuan sedemikian," tegas Dr Tan.
"Selain itu, jelas sekali ia adalah sesuatu yang tidak menghormati pandangan orang lain dan tidak wajar untuk memperlekehkan ucapan seseorang hanya kerana dia tidak bersetuju dengan kandungannya. Sebagai Speaker, sudah tentu dia sepatutnya lebih tahu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.