Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Komen NCMP Leong Mun Wai "menghina Parlimen", kata Zaqy Mohamad

Anggaran Waktu Membaca:
Komen NCMP Leong Mun Wai "menghina Parlimen", kata Zaqy Mohamad

AP Leong Mun Wai semasa berucap di Parlimen pada 4 Mac 2022.

SINGAPURA: Komen-komen yang dimuat naik oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai menghina Parlimen, kata Timbalan Ketua Parlimen Zaqy Mohamad. 

Berucap di Parlimen hari inia (8 Mac), Encik Zaqy meminta AP Parti Kemajuan Singapura (PSP) untuk memohon maaf secara rasmi setelah memuat naik catatan ke Facebook bahawa Speaker Parlimen menggunakan masa tamat perbahasan "sebagai alasan" untuk tidak membenarkannya berucap di Parlimen. 

Encik Zaqy berkata, catatan Encik Leong pada Isnin (7 Feb) mencadangkan bahawa Speaker Tan Chuan-Jin dengan sengaja tidak membenarkan Encik Leong berucap semasa perbahasan parlimen semalam "atas sebab-sebab tidak betul". 

Pada hujung sesi Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Leong berulang kali meminta untuk membuat penjelasan menyusuli pembentangan program-program kementerian tersebut. Namun, diberitahu bahawa masa sudah tamat. 

Pada malam itu juga, Encik Leong memuat naik catatan tersebut ke Facebook dan menyertakan rakaman video pertukaran di Parlimen untuk mengadu kerana tidak diberikan peluang untuk berucap. 

"Catatan dan video Encik Leong mempersoalkan Speaker dan proses Parlimen, dan ia tidak memberi gambaran betul tentang prosiding COS untuk MOM yang berakhir semalam," kata Encik Zaqy, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan dan Tenaga Manusia. 

"Dan catatan itu seolah-olah menyatakan bahawa Speaker boleh membenarkan Encik Leong bertanya, tetapi dengan sengaja tidak melakukan sedemikian atas sebab-sebab tidak betul.

"Ini menjatuhkan maruah dan menghina Parlimen. Ia melanggar Akta Parlimen (Hak Istimewa, Imuniti dan Kuasa)."

LEONG DIMINTA UNTUK MEMINTA MAAF 

Encik Zaqy hari ini (8 Mac) meminta Encik Leong untuk "melakukan perkara yang betul" dan memadamkan video, catatan Facebook dan komen-komennya sebelum itu, sekaligus memohon maaf di Parlimen dan juga di Facebook.

Encik Zaqy juga menyatakan perkataan-perkataan yang harus diungkapkan oleh Encik Leong untuk memohon maaf atas catatan media sosialnya dan meminta Encik Leong mematuhi arahan tersebut menjelang hujung perbicaraan Parlimen pada Selasa (8 Mac). 

"Selepas itu, Parlimen boleh memutuskan sama ada dan sekiranya perlu, apakah langkah-langkah seterusnya yang wajar, bergantung kepada respons Encik Leong kepada permintaan saya," katanya. 

"Saya menyedari bahawa anggota tersebut tidak berada di Parlimen, kami akan memaklumkan kepadanya kenyataan dan permintaan ini secara rasmi supaya beliau sedia tahu." 

Dalam catatan Facebook yang bertajuk 'This Is How The Speaker Prevents A Member From Speaking' (Inilah Cara Speaker Menghalang Anggota Daripada Berucap), Encik Leong menyatakan: "Hari ini, saya kehilangan peluang untuk memberi respons kepada kenyataan  'mengelirukan' oleh Tan See Leng pada Jumaat lalu kerana Speaker menggunakan alasan masa tamat untuk tidak membenarkan saya untuk berucap." 

"Masa tamat perbicaraan ditetapkan oleh Speaker sebelum sesi, tetapi terdapat fleksibiliti kerana Parlimen sedang berlangsung lebih awal dari jadual tahun itu. Ramai AP dibenarkan untuk berucap sebelum saya. Beliau sepatutnya tahu yang saya mempunyai isu yang masih belum dihuraikan daripada perbicaraan pada Jumaat lalu." 

Encik Leong kemudian memberikan butiran menerusi catatan Facebook mengenai isu-isu tenaga manusia hijrahan yang beliau ingin kemukakan di Parlimen, iaitu isu yang sudah berulang kali beliau ketengahkan di Parlimen. 

Catatan Facebook Encik Leong disusuli komen pada petang Isnin, yang mendakwa Speaker "tidak memberi saya peluang langsung" untuk memberikan penjelasan. Beliau juga menambah bahawa ia: "Sangat tidak masuk akal". 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan