Skip to main content

Singapura

Komen Naib Presiden Persatuan Guaman mengenai kes rogol cetuskan kemarahan; digesa minta maaf

Seorang pemegang jawatan dalam Persatuan Guaman Singapura mencetuskan kemarahan online atas catatannya di LinkedIn mengenai kes jenayah bekas pelakon Wah!Banana yang disabitkan dengan serangan seksual.

Anggaran Waktu Membaca:
Komen Naib Presiden Persatuan Guaman mengenai kes rogol cetuskan kemarahan; digesa minta maaf

Encik Chia Boon Teck, Naib Presiden Persatuan Guaman Singapura. (Gambar: Chia Wong Chambers)

Diterbitkan : 24 Mar 2025 06:20PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 06:21PM
SINGAPURA: Seorang pemegang jawatan dalam Persatuan Guaman Singapura mencetuskan kemarahan online atas catatannya di LinkedIn mengenai kes jenayah bekas pelakon Wah!Banana yang disabitkan dengan serangan seksual.

Peguam Chia Boon Teck, Naib Presiden Persatuan Guaman Singapura, mengulas mengenai kes berprofil tinggi yang melibatkan Lev Panfilov dalam catatan media sosialnya pada hujung minggu lalu, tetapi kata-katanya telah mengundang kritikan daripada masyarakat undang-undang, dengan ramai peguam menyifatkan komennya sebagai memalukan mangsa.

Encik Chia, yang bukan peguam bela bagi kes Panfilov, telahpun menurunkan catatan itu dan menjelaskan komennya dalam responsnya kepada Mediacorp.

Panfilov, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura dari Rusia, didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu (21 Mac) kerana merogol, mencabul kehormatan dan menyerang seorang wanita secara seksual yang ditemuinya melalui Tinder pada 12 Jan 2021.

Panfilov bertemu mangsa di restoran Wine Connection pada hari kesalahan itu dilakukan sebelum mereka berdua kembali ke biliknya, di mana dia menyerangnya secara seksual. Panfilov masih belum dijatuhkan hukuman atas jenayah itu.

Mengeluarkan keputusan bersalah pada Jumaat lalu, Hakim Pang Khang Chau berkata bahawa mangsa adalah saksi yang "sangat meyakinkan". Hakim memetik beberapa perkara untuk menyokong keputusan itu dan akhirnya mendapati terdapat penjelasan yang munasabah.

Encik Chia, yang merupakan pengarah urusan bersama firma guaman Chia Wong Chambers, mengulas kes itu dalam catatannya di LinkedIn, dengan mengatakan bahawa banyak tanda tanya timbul daripada laporan media mengenai kes tersebut yang dibacanya. Walaupun catatan asal tidak lagi tersedia, ia telah dikongsi melalui tangkapan skrin oleh pengguna LinkedIn yang lain.

"Sesiapa sahaja yang terjebak dengan insiden sedemikian haruslah melindungi diri mereka daripada serangan, atau tuduhan menyerang," kata Encik Chia dalam catatan asalnya.

Encik Chia kemudian menyenaraikan 10 perkara daripada laporan itu, setiap satu diikuti dengan komennya. Encik Chia juga merujuk kepada empat tuduhan yang disabitkan dengan Panfilov dan menyatakan: "Wow. Adakah dia (mangsa) terjaga sepanjang insiden itu?"

Dalam satu lagi komen, Encik Chia memetik umur mangsa dan pekerjaannya sebagai pelakon dan peragawati.

Beliau juga menarik perhatian kepada bagaimana mangsa "berharap untuk mendapatkan nasihat tentang penulisan skrip daripada (Panfilov)" dan mengulas: "Pada waktu lewat sebegitu di atas katil seorang lelaki Rusia yang baru dia kenali melalui Tinder?"

Komen Encik Chia telah menimbulkan kemarahan daripada para peguam terkemuka, termasuk Cik Stefanie Yuen Thio, yang merupakan rakan kongsi pengurusan bersama di TSMP Law Corporation. Cik Thio mengkritik komen Encik Chia dalam catatan LinkedIn dengan kata-kata yang tegas, mengatakan bahawa isu itu melangkaui "sekadar mengulas tentang kes jenayah".

Cik Thio menyamakan komen Encik Chia dengan memalukan mangsa, yang katanya "bertentangan dengan apa yang sebenarnya dikatakan oleh mahkamah sebagai pemeriksaan balas yang sesuai".

"Saya terkejut dengan sikap seorang individu yang memegang jawatan sebagai ketua Badan Peguam. Sila menjelaskan diri anda kepada masyarakat undang-undang - kedua-dua anggota lelaki dan wanita. Dia harus mengundurkan diri daripada Majlis Persatuan Guaman," tambahnya.

Peguam terkemuka lain, termasuk peguam jenayah Shashi Nathan dari Withers KhattarWong dan peguam Clarence Lun dari Fervent Chambers, juga menyuarakan sentimen yang sama. Ada yang meminta Encik Chia untuk memohon maaf dan mengundurkan diri daripada jawatan yang dipegangnya dalam Persatuan Guaman.

Menurut profilnya di laman web firma guamannya, Encik Chia telah menjadi naib presiden Persatuan Guaman sejak Ogos 2023, dan menyandang jawatan bendahari sebelum itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Persatuan Guaman menyatakan bahawa ia sedia maklum mengenai catatan di media sosial oleh Encik Chia dan sedang meneliti perkara itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita