Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Komen Leong Mun Wai mengenai jadi orang terakhir berucap di parlimen cemar kesaksamaan Speaker: Seah Kian Peng

Anggaran Waktu Membaca:
Komen Leong Mun Wai mengenai jadi orang terakhir berucap di parlimen cemar kesaksamaan Speaker: Seah Kian Peng

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai (kiri) dan Speaker Parlimen Seah Kian Peng.

SINGAPURA: Meskipun beliau telah menarik balik secara terbuka komen yang dibuatnya kerana mendakwa merupakan orang terakhir yang dipanggil untuk berucap di Parlimen, kata-kata Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai tetap mencemarkan keadilan dan kesaksamaan Speaker.

Demikian ditegaskan Speaker Seah Kian Peng pada Selasa (2 Jul).

Berucap di Parlimen pada permulaan sidang yang berlangsung pada Selasa, Encik Seah berkata bahawa meskipun Encik Leong telahpun memberi penjelasan berhubung perkara itu dengannya dan juga menarik balik kenyataannya, beliau tidak menawarkan permohonan maaf.

"Saya ingin memberi amaran kepada para anggota bahawa ini merupakan perkara serius dan penghinaan sedemikian tidak boleh diiulangi lagi, tidak kira apa pun niat seseorang anggota itu," tekan Encik Seah.

"Prosiding parlimen dan tingkah laku anggota yang dipilih, tanpa kawasan undi atau dilantik, Ketua Pembangkang, menteri atau mana-mana pemegang jawatan lain, bukan urusan yang seharusnya dipandang ringan dan tidak boleh dianggap sebagai satu jenaka."

Encik Leong, yang merupakan anggota jawatankuasa eksekutif Parti Kemajuan Singapura (PSP), diwawancara oleh hos podcast Yah Lah But iaitu Haresh Tilani dan Terence Chia dalam satu episod yang berjudul "Mengapa Pemerintah Tidak Boleh Sentiasa Memimpin & Mengapa Gen Z Akan Berjaya." (“Why Governments Cannot Lead All The Way & Why Gen Z Will Be Successful”).

Dalam episod tersebut yang dimuat naik pada 14 Mei lalu, Encik Tilani berkata: "Saya rasa, sekurang-kurangnya bagi (perbahasan) yang kami hadir, setiap kali Speaker kata, okay, terdapat sebarang pertanyaan, anda salah seorang yang pertama untuk mengangkat tangan."

Sebagai respons, Encik Leong menjelaskan: "Dan orang yang terakhir untuk dipanggil."

PENJELASAN YANG DIBERIKAN MELALUI EMEL DAN SECARA BERSEMUKA

Menyusuli kenyataan yang dibuat itu, Encik Seah menarik perhatian bahawa beliau meminta maklumat mengenai beberapa ketika di mana Encik Leong dipanggil untuk mengutarakan pertanyaan tambahan dan memberi penjelasan di Parlimen, dari Ogos 2023 - apabila beliau memegang peranan itu - sehingga Mei tahun ini.

"Rekod tersebut menunjukkan bahawa tiada sebab bagi kenyataan itu," jelas Encik Seah.

Beliau bertegas bahawa memandangkan Encik Leong pernah dipanggil lebih awal daripada anggota-anggota lain "pada kebanyakan ketika", kenyataannya iu merupakan "satu gambaran yang amat salah terhadap prosiding parlimen itu".

"Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Encik Leong dilayan secara berlainan berbanding anggota lain dan penjelasannya serta pertanyaan tambahannya tidak diutamakan," jelas Encik Seah.

"Kenyataan itu mencemarkan keadilan dan kesaksamaan saya dalam memanggil para anggota. Ini merupakan cerminan tingkah laku saya terhadap prosiding parlimen."

Encik Seah juga berkata bahawa beliau telah menulis kepada Encik Leong pada 22 Jun, untuk memintanya menjelaskan sebab kenyataan tersebut dibuat.

NCMP terbabit menjawab tiga hari kemudian, dengan menjelaskan bahawa kenyataan tersebut merupakan satu komen berunsur gurauan yang dibuat untuk
menimbulkan 'mood' santai dalam konteks podcast tersebut, dan beliau tidak mempunyai niat langsung untuk mempertikaikan kesaksamaan Encik Seah.

Dia memuat naik satu catatan di Facebook pada hari yang sama, di mana beliau menjelaskan bahawa: "Ia sama sekali bukan satu komen yang dibuat terhadap kesaksamaan Speaker. Speaker telah, pada beberapa ketika, memanggil saya sebelum anggota lain."

"Hal hari ini bukan insiden pertama berkait Encik Leong," tegas Encik Seah.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan